Kukejar Kau Lari
Bab 24
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1651

Bacaan








BMW Sport 5 siri yang dipandu oleh Hardy berhenti di hadapan sebuah tanah lapang yang dipenuhi lalang. Hardy tidak pula bertanya Nadira, itukah tempat yang dicari. Sepanjang perjalanan Hardy lebih banyak mendiamkan diri. Melayan perasaan. Jika tidak kerana sudah berjanji akan menemani Nadira, dia tidak akan pernah mahu bertemu dengan Zariq.

“Sejak tadi abang diam je.” Nadira membuka tali pinggang keledar.

“Tak ada apa. Malam tadi tak cukup tidur...tak ada mood nak sembang.”

Hardy tidak berbohong. Memang itulah hakikatnya. Dia tidak dapat melelapkan mata apabila membayangkan saat pertemuan Nadira dan Zariq. Tentu dia hanya akan menjadi pemerhati yang serba tidak kena.

“Oh, abang mengantuk ya? Hmmm...maafkan Nadira dah susahkan abang.”

“Taklah. Kita dah sampai, kan? Mana Al-Mustaqim?” Hardy mengubah topik. Tidak ada hati untuk memperkatakan tentang dirinya.

“Nadira pasti ni tempatnya...tapiii...kenapa nampak pelik? Tak ada apa-apa pun.” Nadira agak sangsi.

“Macam mana sekarang?”

“Entah...Nadira keluar dulu. Tinjau-tinjau.” Hanya itu pilihan yang Nadira ada.

Sebaik keluar dari perut kereta, Nadira termangu. Tempat di mana dia sedang berdiri diperhati sekitarnya. Nadira memejamkan mata, cuba mengingati tentang rumah Al-Mustaqim. Tidak ada tanda-tanda yang meyakinkan. Dia hanya berpandukan belukar kecil yang agak jauh dari tempat itu.

“Kenapa semua dah berubah? Mana rumah Al-Mustaqim? Mana semua orang? Mana?” Nadira mula sebak.

Sudah ada takungan air mata di tepi matanya. Suaranya tersekat-sekat. Kegembiraan yang dibayangkan sebelum bertolak ke Ulu Telom telah musnah dalam sekelip mata. Impiannya tidak kesampaian. Yang kelihatan hanyalah tanah lapang yang dipenuhi lalang yang tinggi.

“Nadira yakin ke ni tempatnya? Mungkin Nadira dah tersilap. Cuba ingat semula baik-baik. Bawa bertenang.” Pujuk Hardy yang telah keletihan setelah memandu dari Kuala Lumpur selama beberapa jam tanpa rehat.

Separuh dari hati Hardy berasa lega kerana dia tidak akan berhadapan dengan Zariq. Itu satu bonus buatnya. Sebahagian dari dirinya pula berasa kasihan melihat kesungguhan Nadira yang sia-sia. Impian yang terpendam selama 10 tahun musnah dalam sekelip mata.

“Ya...inilah tempatnya. Abang tengok sana tu...sebelah tu ada kebun kelapa sawit. Walaupun pokoknya dah tua tapi Nadira masih ingat.” Jari dituding ke arah kebun kelapa sawit di sebelah kanan kawasan tanah lapang tapak Al-Mustaqim.

“Nadira dan Zariq selalu raut sama-sama daun kelapa sawit untuk dijadikan penyapu lidi. Ya...situlah...Nadira masih ingat.”

“Ya ke?” Tidak ada apa lagi yang Hardy dapat perkatakan.

Perasaan Nadira menjadi lesu. Mungkin lebih letih dari badan Hardy yang terpaksa memandu seorang diri. Tidak terlintas di fikirannya dia akan melalui semua itu. Nadira telah membayangkan sesuatu yang mudah. Sebaik kereta berhenti dan parkir di hadapan Al-Mustaqim, Haji Embong, Zariq dan seluruh penghuni rumah itu akan menyambutnya dengan gembira. Malangnya ia tidak berlaku.

“Semuanya dah berubah, abang! Dah berubah.” Keluar lagi air mata Nadira.

“Nadira pasti ini tempatnya?” soal Hardy lagi. Nadira angguk.

Matanya menatap belukar di belakang tanah lapang. Belukar itu seakan sedang melambai Nadira. Mungkin ada sesuatu yang telah ditinggalkan oleh Zariq di situ. Sesuatu yang boleh dijadikan petanda untuk Nadira menjejak Zariq. Seperti yang pernah mereka janjikan dulu. Tanpa membuang masa Nadira mula melangkah ke arah tanah lapang yang dipenuhi lalang.

“Nak ke mana tu?”

“Nadira nak ke belukar belakang tu! Abang tunggu je dalam kereta! Abang penat kan.” Sahut Nadira tanpa menoleh. Dia tidak mahu menyusahkan Hardy. Hardy mahu menghantarnya ke Ulu Telom pun sudah cukup baik.

“Tak payahlah! Semak tu!” larang Hardy. Dia khuatir kalau-kalau ada haiwan berbisa di tempat itu.

Nadira tidak menghiraukan laungan Hardy lagi. Dia mesti ke belukar itu. Mahu tidak mahu Hardy terpaksa keluar dari perut kereta. Berlari-lari anak mengekori Nadira. Di dalam kepalanya membayangkan kalaulah ada ular berbisa di dalam rimbunan lalang, alangkah ngerinya. Seumur hidupnya belum pernah melihat lalang yang subur terhampar di hadapan mata. Dia hanya kenal kota batu. Kesibukan penghuni bandaraya Kuala Lumpur dan kesesakan lalu-lintasnya.

“Nadira! Tunggu abang!”

Tangannya menepis lalang yang mengganggu laluannya. Nadira sudah jauh di hadapan. Dia seperti sedang berjalan di kawasan lapang tanpa ditumbuhi lalang. Ah! Anak kampung memang lasak. Getus hati Hardy.

“Tak usah ikut Nadira! Abang tunggu dalam kereta! Rehat! Nanti abang akan drive semula ke Kuala Lumpur!” laung Nadira.

Nadira lebih selesa jika bergerak bebas seorang diri. Mahu sendirian di belukar yang menyimpan kisah dirinya bersama Zariq. Dia tidak mahu Hardy tahu semua itu. Itu bukan urusan Hardy.

“Abang nak ikut.” Hardy berdegil. Tiada sahutan dari Nadira. Mahu melarang takut Hardy akan berkecil hati. Akhirnya Nadira membiarkan saja.

Dengan aturan langkah yang kelam-kabut Hardy berjaya bersaing dengan Nadira. Termengah-mengah nafasnya. Ada kesan calar pada jarinya gara-gara helaian lalang yang tajam telah menghiris jari yang menguak lalang yang menghalang laluan. Terasa pedih tetapi Hardy menahannya. Malu pada Nadira jika dia memperlihatkan kelemahannya.

“Betul! Ya...betul! betul”

“Apa yang betul?” Hardy menggegam jari-jarinya supaya tidak terasa perit.

“Inilah pagar yang memisahkan Al-Mustaqim dengan belukar tu. Jadi memang betullah ini tapak Al-Mustaqim!” Nadira bertambah yakin.

“Dah tak ada rumah Al-Mustaqim, dah tak ada Zariq, dah tak ada semua...apa yang Nadira cari?

Kita balik jelah.” Pujuk Hardy sambil menepuk nyamuk yang mahu berkenal-kenalan dengan anak muda kota Metropolitan.

“Tak abang! Masih ada sesuatu dalam belukar tu!” Malangnya pujukannya tidak diendahkan oleh Nadira.

Stubborn!” rungut Hardy. Mujur Nadira tidak mendengarnya.

‘Eiii, kalaulah ada lipas dalam ni.’ Setiap langkah kaki Hardy dipenuhi debaran.

Tidak padan dengan gagahnya, masih juga takutkan lipas. Bila membayangkan saja sudah naik bulu romanya, inikan pula kalau ia muncul dari rimbunan lalang. Lipas ada di tanah berlalangkah? Fikirnya. Dilihatnya langkah Nadira begitu laju. Langsung tidak bermasalah.

“Nadira...apa laju sangat tu! Tunggulah abang!” Cuba dipanjangkan langkahnya tetapi kakinya asyik tersadung.

“Lecehlah abang ni! Orang dah kata tunggu je dalam kereta...tak nak!” marah Nadira. Dia berhenti sebentar.

‘Bukan main dia...dah berani marah aku. Tapi kenapa aku tak rasa nak marah ya?’ Sambil berjalan Hardy melayan tanda-tanya tentang dirinya. Jawapan masih tidak juga ditemui.

Apabila Hardy sudah hampir, Nadira meneruskan langkahnya dengan lincah. Dia telah memijak kawasan belukar. Matanya liar mencari pokok yang menjulang tinggi. Lebih tinggi dari pokok-pokok yang lain. Sayangnya tidak nampak. Dia menarik nafas hampa.

Dia berlari-lari pula, memeriksa setiap batang pokok. Satu per satu. Hardy ternganga. Tidak memahami apa yang sedang dilakukan oleh Nadira. Terasa mahu membantu tetapi tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

“Cari apa?” laungnya

“Pokok!” sahut Nadira dari jauh.

‘Dah tak kenal pokok ke dia ni. Ada berbaris-baris pokok, masih nak cari pokok lagi.’ Hardy mentertawakan Nadira.

“Nadira...ini pokok...itu pokok...sana tu pokok...sana lagi tu pokok. Nak pokok macam mana lagi?” sindir Hardy yang mulai merasakan Nadira sedang melakukan perbuatan yang kurang cerdik.

“Diamlah!” bentak Nadira tiba-tiba.

Setelah 10 tahun baru kedengaran Nadira berani mengherdik Hardy. Itu pun kerana pokok. Baru Hardy tahu pokok lebih penting buat Nadira berbanding dirinya. Bentakan Nadira tidak membuat Hardy marah tetapi dia berasa gelihati kerana dia telah dikalahkan oleh sebatang pokok yang sedang dicari oleh Nadira.

‘Hailah...nasib badan!’

“Abang! Boleh tolong Nadira tak?”

“Apa abang boleh tolong?” Hardy separuh hati.

“Tolong Nadira cari pokok yang ada nama Nadira. Cepat jumpa kita boleh cepat balik KL.”

“Sudah...cari pokok ada nama pulak.” Ujar Hardy perlahan. Sudah tentu tidak didengari oleh Nadira. Hardy geleng kepala. Nadira memang budak kampung yang tidak membuatnya marah-marah lagi.

“Okeylah...abang cari pokok yang ada nama Nadira.” Terpaksa juga Hardy melakukan perkara yang kurang cerdik seperti Nadira. Apa boleh buat, hatinya sudah menjadi lembut. Selembut agar-agar yang selalu dimasak oleh Sulastri.

“Tak nampak pokok yang paling tinggi.” Nadira tidak lagi mendengar suara Hardy.

Hatinya mula sebak. Jika pokok itu tidak ditemui, kedatangannya ke Ulu Telom hanya sia-sia. Sudahlah tidak nampak bayang Al-Mustaqim, apatah lagi Zariq dan Haji Embong. Terasa hendak jatuh lagi air matanya tapi ditahankan. Nadira mulai buntu. Dia yakin tempat di mana dia sedang berdiri itulah tertegaknya pokok yang dicari. Di situ banyak paku pakis seperti 10 tahun dulu.

‘Adeiii...tak seronoknya cari pokok. Dah banyak yang aku tengok, tak ada satu pun yang ada nama dia.’ Hardy curi tulang. Dia meletakkan punggungnya pada perdu sebatang pokok yang hampir mati. Dia mahu berehat. Penat.

Sepertimana Hardy, Nadira juga tidak mahu mencari lagi. Bukan kerana penat tapi putus asa.

Tidak ada lagi pokok yang terlakar namanya dan Zariq. Nadira terdongak-dongak mencari Hardy. Mahu mengajaknya balik saja ke Kuala Lumpur. Balik bersama hati yang kecewa.

“Abang!”

“Sini!...sini!” Hardy melambai.

Laju langkah Nadira menghampiri Hardy. Dia mahu meninggalkan belukar itu secepat mungkin agar hatinya tidak terhiris lagi. Jika dia terus berada di situ, bayangan 10 tahun dulu akan melukai perasaannya.

Sebaik berada di hadapan Hardy yang sedang duduk di perdu pokok, mata Nadira membulat. Matanya digosok beberapa kali hingga merah. Kemudian dia menghampiri pokok itu lalu mencium bertubi-tubi. Hardy bangkit dan memerhati gerak-geri Nadira.

“Ini dia! Terima kasih, abang. Dah tolong Nadira cari. Inilah pokoknya!” Gembira sungguh Nadira.

‘Bila masa pulak aku cari? Haishhh...kira ya jelah.’ Hardy gelihati.

“Abang tengok ni ada nama Nadira dan Zariq. Zariq yang hiris kulit pokok ni dengan pisau tajam Mak Som. Tapi kulit pokok ni dah merekah. Pokoknya dah tua dah. Tengok ni!”

Tangan Nadira mengopek kulit kayu yang sudah pecah. Lakaran namanya dan Zariq tembus hingga ke batang pokok. Pisau Mak Som memang betul-betul tajam. Lebar senyuman Nadira. Diusapnya nama Zariq. Hardy yang melihat hanya mengetap bibir. Ada perasaan kurang senang telah mengganggunya.

“Dah jumpa pokok ni, apa nak buat? Takkan nak cabut dan bawak balik ke Kuala Lumpur. Kereta abang belum jadi lori angkat kayu lagi.” Ringan mulut Hardy menyindir Nadira. Apa yang diluah mengikut kata hatinya yang sedang sebal.

“Merepeklah abang ni. Takkanlah nak cabut pokok ni.”

“Habis tu?”

“Nadira cuma nak korek tanahlah, abang.” Jelas Nadira lalu terbongkok-bongkok seolah-olah sedang mencari dan memastikan sesuatu. Hardy hanya mampu menggeleng.

“Nadira...Nadira...jauh-jauh kita datang, cuma nak cari pokok...korek tanah...lepas ni apa lagi?” Letih lesu Hardy melihat kerenah Nadira.

“Lepas korek tanah, tengok dalam botol pulak!” balas Nadira selamba.

“Adoi...boleh ke Tampoi abang macam ni!” Hardy bengang.

Kata-kata Hardy tidak dihiraukan oleh Nadira. Dia sedang mencari ranting yang besar untuk dijadikan alat mengorek tanah. Setelah berjumpa, dia mulai mengorek tanah berhampiran perdu pokok. Bertentangan dengan ukiran namanya dan Zariq. Hardy terus memerhati.

“Kalau abang nak balik cepat, tolong Nadira korek tanah pulak. Abang ada ong la. Tadi abang dah jumpa pokok ni...mana tau lepas ni abang jumpa botol.” Sengaja Nadira mahu memancing Hardy. Membodek.

‘Hihihi...bukan dia tau pun aku tak cari pokok ni.’ Ejek Hardy dalam hati.

Sekali lagi dengan berat hati Hardy merelakan dirinya menolong Nadira. Izin dalam paksa. Jika tidak dituruti dibimbangi mereka akan terpaksa bermalam di dalam belukar yang dipenuhi nyamuk itu. Hardy mematahkan sebatang kayu yang agak besar untuk mengorek tanah yang ditunjukkan oleh Nadira.

“Kalau abang dah jumpa botol, berhenti korek tau.”

‘Kalau abang dah jumpa botol. Berhenti korek tau...huh! bodoh punya kerja!’ Hardy mengajuk dan mengejek Nadira lagi.

Jika dia melakukan hanya untuk Nadira, Hardy tidak kisah. Malahan dia akan melakukan apa saja untuk adiknya itu. Yang pasti dia terpaksa melakukan untuk Zariq juga. Siapa Zariq yang dia perlu bersusah-payah untuknya?

Hardy mengorek tanah laju-laju. Mujur tanah tidak keras dan tidak perlu mengeluarkan banyak peluh untuk melakukannya. Tidak sampai 5 minit Hardy sudah dapat merasakan ada benda keras yang berlaga dengan kayu yang digunakan.

“Hah! Agaknya itu botolnya tu.” Nadira gembira. Ranting di tangannya cepat-cepat dilemparkan jauh-jauh.

“Biar Nadira tengok!” Hardy beralih tempat. Membiarkan Nadira melakukan apa yang dia mahu. Biar hatinya puas.

“Betul! Inilah botol yang kami tanam dulu. Betul! Betul! Cuma dah kotor je.”

Hardy membersihkan debu tanah pada kedua tangannya. Itu juga kali pertama dia bermain dengan tanah. Sesekali ekor matanya menjeling Nadira yang begitu asyik menonggengkan botol dalam pegangannya. Sebelah matanya dikecilkan supaya sebelah mata lagi dapat melihat jauh ke dalam botol. Nadira melakukan perkara yang sama berkali-kali. Cerianya bertukar mendung semula.

‘Dah sedih balik. Tak faham aku dengan perempuan! Datang bulan agaknya.’ Tidak sudah-sudah Hardy mengejek Nadira. Dia tidak sebal dengan Nadira tapi dengan Zariq.

“Kau dah tipu aku, Zariq! Kau tipu aku!” Tiba-tiba Nadira menangis kuat.

‘Pulak dah! Drama sungguh!’ Hardy agak terkejut.

“Apa budak tu dah buat pada Nadira?” soalnya separuh hati. Mahu membiarkan Nadira begitu saja tidak sampai hati pula. Itulah yang Hardy tidak faham. Sehari dua ini dia terlalu berlembut dengan Nadira. Adik yang dulu digelar sebagai budak kampung.

“Zariq dah janji pada Nadira. Kalau kami terpisah, dia akan tinggalkan nota dalam botol ni. Dia mesti beritau ke mana dia dah pergi! Tak kiralah kalau dia dah berpindah ke, dah kerja ke atau apa je.”

“Oh macam tu. Kesian Nadira.”

‘Nasib baik tak ada nota!’ Mulut Hardy berkata lain, hatinya pula berbisik lain.

“Nadira bencilah macam ni! Dulu masa Nadira nak tinggalkan Al-Mustaqim, Zariq tak ucap selamat jalan pada Nadira jugak. Sampai hati!” Tangisan Nadira masih ada, hanya kedengaran agak perlahan berbanding sebelumnya.

“Nadira sangka Zariq sayang Nadira. Kami dah janji akan tetap ingat satu sama lain...tapi dia dah tipu Nadira.”

“Nanti cari lagilah. Tak payah menangis.” Hardy betul-betul tidak tahu bagaimana mahu memujuk perempuan. Lelehan air mata Nadira saja sudah membuat dia sesak nafas. Mengapalah perempuan terlalu murah dengan air mata?

“Tak patut Zariq buat Nadira macam ni. Nadira tak pernah lupakan dia. Hari-hari ingat dia. Dia dah tipu Nadira. Zariq penipu!...pembohong!...pendusta!...apa lagi?” Nadira mahu melepaskan perasaan sedihnya. Biar dia lapang dan lega.

“Errr...auta!...hipokrit!...apa lagi ya? Entah...cukuplah tu Nadira. Tersedak-sedak pulak dia.” Tambah Hardy beria-ia kemudian melarang pula. Hardy sudah sama pening seperti Nadira.

“Arghhh! Benci!...benci!” lalu botol di dalam pegangan dilempar kuat ke batang pokok. Nadira mahu melihat botol itu pecah depan matanya.

“Kenapa baling?”

“Nak pecahkanlah.” Nadira mengambil semula botol itu lalu melemparnya untuk kali kedua. Masih tidak pecah.

“Ohhh, nak pecahkan botol pulak.”

Hardy mengambil botol itu dari tangan Nadira. Dengan tenaga lelakinya botol dihempas kuat ke perdu pokok. Semahu-mahunya. Dengan sekali hempasan saja botol telah pecah berkecai. Diam-diam Hardy tersenyum. Mengharapkan Nadira akan terus melupakan Zariq sepertimana pecahnya botol yang yang dihempasnya sebentar tadi.

“Zariq...aku akan cari kau lagi. Aku tetap akan cari.”

Malangnya ucapan Nadira telah membuat angannya terhenti separuh jalan. Hardy melepaskan keluhan panjang. Nampaknya dia akan merasai penat berkali ganda ketika memandu pulang ke Kuala Lumpur semula. Penat hati dan perasaan. Juga penat tubuh badan. Atau adalah perlu untuknya bermalam saja di Cameron Highlands untuk menghilangkan kepenatan itu?



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku