Kukejar Kau Lari
Bab 25
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1458

Bacaan









Setiap kali Zariq berada di atas bukit sudah pasti dia akan banyak termenung. Tajol bosan bila melihat Zariq seperti itu. Kawan baik merangkap adik-beradik sebumbung Al-Mustaqim itu akan melontar batu-batu kecil ke dalam tasik yang terletak di bawah kaki bukit. Mulut Zariq kerap benar menyebut-nyebut nama Nadira.

Sesudah perit kerongkongnya, Zariq diam. Mencangkung. Kelopak matanya dirapatkan. Muka Nadira cuba digambarkan. Bagaimanalah Nadira sekarang. Uh! Rindunya setiap kali mengingati senyuman Nadira sebelum meninggalkan Al-Mustaqim. Terasa dekat tapi jauh. Seolah-olah ada depan mata tapi tidak dapat disentuh.

“Nadira...aku selalu ingat kau. Aku masih ingat janji kita dulu...tapi...tapiii, kenapa kau dah pecahkan botol tu. Aku yakin memang kau yang pecahkan. Tak ada orang lain yang tau tempat kita tanam botol tu.”

“Alah! Sudahlah...jom kita balik. Botol yang dah pecah bukan boleh ditampal-tampal lagi. Sebab botol pun nak bising-bising. Mana tau ada budak-budak main kat belukar tu, lepas tu jumpa botol tu...lepas tu dorang pecahkan.”

“Banyaklah, lepas tu...lepas tu kau, Jol. Aku bagi sebijik karang!”

“Kau bagi aku ambik. Bukan susah.”

Berdekah ketawa Tajol. Gelihati melihat Zariq yang menjadi tidak menentu setiap kali teringatkan Nadira. Tidak sudah-sudah kesalnya sebab tidak menunjukkan muka sewaktu Nadira meninggalkan Al-Mustaqim 10 tahun dulu. Entah kenapa walaupun perkara itu sudah begitu lama berlalu tapi sangat susah untuk Zariq melupakan Nadira.

“Aku nak sangat jumpa Nadira. Aku pun hairan, kalau ya dia dah jumpa botol tu tentu dia dah baca nota aku...tapi kenapa dia tak cari aku? Aku kecewa Jol bila tengok serpihan kaca je yang ada.”

Zariq lesu. Selesu air tasik di kaki Bukit Gondol. Selesu angin yang kurang bertiup pada pagi itu. Hanya keinginannya untuk bertemu masih belum berhenti. Azamnya akan terus mencari dan memburu Nadira. Dalam hatinya dia sedang berkira-kira hendak ke Kuala Lumpur untuk mencari adiknya itu. Kuala Lumpur boleh tahan luasanya. Bolehkah dia menemui Nadira?

“Tapi kan Jol, kami dah janji. Kalau bukan aku yang letakkan nota, dia pun boleh. Aku rasa betullah kau kata, ada budak-budak jumpa botol tu. Aku rasa dia tak datang ke belukar tu atau cari aku. Agaknya dia dan senang-lenang ya Jol...duduk KL sana. Tu yang tak ingat kat aku.”

“Heh! Tak fahamlah aku. Tadi kau kata dia yang pecahkan botol. Sekarang kau dah termakan cakap aku pulak. Tak tetap pendirian betul!. Rileks sudahlah...ni macam tak siuman je.”

“Ya ke Jol? Kau tengok aku macam tak siuman ya?”

Risau pula Zariq bila mendengar kata-kata Tajol. Tidak dapat dibayangkan kalau muda-muda lagi sudah tidak waras. Tentu dia akan keluar masuk hospital bahagia. Apa akan jadi dengan janjinya kepada Haji Embong? Dia mesti menjaga orang tua itu yang sudah semakin uzur. Itu janjinya bersama Tajol.

“Kau ni menakutkan akulah, Jol”

“Takut ke? Aku ingat kau spesis yang langsung tak tau takut. Asyik membelasah orang je kerja kau.” Tajol ketawa.

“Aku belasah orang bersebab. Macam kau jugak, kan. Kau pun tau kenapa aku...kau...jadi macam tu.”

“Hmmm...ya, betul. Kau rasa Nadira akan suka ke kalau tau benda-benda tu semua?”

“Kalau dia masih Nadira yang dulu, aku rasa dia akan faham Jol...tapi tak taulah kalau Nadira dah berubah. Manusia kan...kita tak boleh jangka.”

Terpaksa Zariq mengakui hakikat itu. Dia sedar masa dan keadaan mampu mengubah seseorang. Sama ada berubah kepada yang baik atau sebaliknya. Ada juga betulnya apa yang Tajol cuba ingatkan. Ada juga gunanya Tajol pada masa kecemasan seperti itu. Sewaktu kepalanya sedang pusing kerana terlalu memikirkan tentang Nadira.

Sebiji batu kecil diambil lalu dilontar kuat ke dalam tasik di kaki bukit. Percikan air mengocak air tasik yang tenang. Zariq mengulangi lagi. Air tasik memercik seperti tadi. Diulangi untuk kali ketiga. Tasik bergelora. Zariq senyum. Seronok pula dapat mengocak air tasik. Lega sedikit hatinya.

“Aku tau Nadira. Hati kau pun macam air tasik yang dilontar batu. Kau mesti tak tenang kan. Macam aku. Aku percaya, Nadira! Aku percaya!”

“Hah! Dah mula balik! Aku ingat dah insaf tadi. Gelilah ketiak aku tengok kau macam ni. Tak padan dengan berengaknya kau bila berdepan dengan orang yang pernah kau belasah. Macam langit dengan bumi.”

Sekali lagi Tajol menegur. Rupa-rupanya Zariq tidak makan saman. Sedar sekejap selepas itu membebel lagi. Air tasiklah...itulah...inilah. Hai Zariq...Zariq. Terasa hendak ditinggalkan saja Zariq di atas Bukit Gondol itu tapi Tajol masih sedar diri. Dia yang menumpang Kancil Zariq. Terpaksalah Tajol terus mendengar omelan Zariq tapi berada di Ulu Telom memang mendamaikan.

“Zariq...aku tidur dulu, boleh?”

“Tak ada kerja ke nak tidur atas bukit ni.”

“Memanglah kita datang sini bukan nak kerja, kan. Cuma nak dengar bebelan kau tu. Daripada dengar kau asyik sebut, oh! Nadira...Nadira...Nadira, tak sudah-sudah. Lagi baik aku buat tahi mata. Mana tau aku mimpi jumpa puteri yang jaga tasik tu. Mana tau kan.”

Kali ini terhambur ketawa Zariq. Barulah dia tau kawan baiknya itu sudah kebosanan dengan ragamnya. Kasihan Tajol. Salah Tajol juga, setiap kali dia hendak ke Bukit Gondol sudah pasti Tajol hendak ikut sama. Ke mana saja Zariq pergi, mesti ada Tajol. Masih seperti beberapa tahun dulu.

“Cabullah mulut kau tu. Kalau puteri tasik ikut kau balik, ada berani ke?”

“Kau rasa puteri tasik terliur ke tengok aku. Sedangkan manusia macam kita pun takut nakdekat aku ni. Maklumlah terlebih lawa.” Tajol terbahak-bahak sambil membetulkan cermin matanya. Mujur badannya yang bulat-bulat masa kecil dulu sudah berubah segak.

“Ya jugak...aku lupa pulak yang kau ni memang orang kata...apa tu? Haaa...rupa tak ada, budi bahasa pun kurang. Sesuai sangatlah dengan kau.” Zariq menyambung ketawa sedangkan ketawa Tajol terhenti begitu saja.

“Kau marah ke Jol.” Tidak sedap hati pula bila Zariq melihat perubahan Tajol.

“Aku bukan budak kecik. Sikit-sikit nak marah. Biasalah tu.”

Tajol meletakkan badannya pada hamparan rumput bukit. Dia berbaring sambil merenung langit. Biru bersih. Hanya ada sedikit awan di sana sini. Anak matanya beralih ke Zariq pula. Zariq masih merenung ke dalam tasik. Apa saja yang Zariq sedang fikirkan. Sudah pasti tentang Nadira yang jauh di mata dekat di hati.

“Zariq...kau pernah terfikir tak? Apa kesudahan hidup kita ni.”

“Kenapa tiba-tiba tanya?”

“Saja aku nak tau pendapat kau.”

“Haaa...kalau untuk diri aku, aku tak pasti lagi. Tak fikirkan sangat. Biarlah semuanya bergerak sendiri je. Ikut aturan Allah. Cuma satu...selagi aku tak dapat gembirakan ayah, tak senang hati aku ni.”

Dua sahabat itu diam. Setiap kali teringatkan Haji Embong ada kepiluan di hati mereka. Kedegilan mereka untuk tidak mahu berpisah dengan Haji Embong beberapa tahun dulu adalah pilihan yang tepat.

Sekarang ini merekalah anak lelaki yang sentiasa mengambil berat tentang Haji Embong. Kadang-kadang Midi, Cik Ah, Busyra dan yang lain-lain masih juga sudi mengunjungi orang tua itu. Hanya Nadira yang tidak pernah menjengah sejak dia meninggalkan Al-Mustaqim.

Ada masanya Zariq merasakan tidak wajar untuk Nadira terus melupakan Haji Embong. Terlalu banyak pengorbanan Haji Embong untuk mereka. Hingga ke hari ini orang tua itu masih menyebut-nyebut tentang Nadira. Mungkin dia juga seperti dirinya dan Tajol. Merindui Nadira yang sudah menjadi sebahagian dari keluarga mereka selama beberapa tahun lamanya.

“Kau tau tak Jol?”

“Kau belum cakap manalah aku nak tau. Cer cerita...cer.”

“Entah...payah aku nak cakap.”

“Dah sudah...macam tu pulak. Ada-ada je kau ni.”

“Huuu...kadang-kadang aku tak puas hati dengan Nadira. Aku rasa dia macam kacang lupakan kulit. Kadang-kadng benci pun ada dengan sikap dia yang langsung tak ingat ayah. Masa yang lain pulak aku rindu nak jumpa dia.”

Tajol duduk semula. Sama-sama memandang ke dalam tasik. Dia tidak menafikan apa yang dirasai olah Zariq tidak ada beza dengan perasaannya. Dia juga berasa hairan mengapa selama beberapa tahun ini Nadira langsung tidak menjengah Haji Embong. Sekurang-kurangnya bertanya khabar ayah tua mereka itu.

“Tapi kau tak benci orangnya kan, Zariq?” Duga Tajol.

“Entah...yang pasti bila aku tengah geram hati aku berbisik, tak payah muncul terus pun tak apa. Itu lebih baik. Senang untuk aku lupakan terus. Tapi separuh dari otak aku ni asyik nak fikir dia je. Heh! Tension aku!”

Tajol tahu apa yang ada di dalam hati kawan baiknya itu. Sama dengan apa yang dia rasakan selama ini. Seperti kata Zariq, sebahagian dari otaknya seperti cip yang sentiasa menyimpan memori tentang Nadira. Cip itu sudah melekat dan tidak boleh ditanggalkan lagi.

“Kau sayang Nadira?”

“Ah! Kau ni Jol. Mestilah sayang. Macam aku sayang kau. Macam kau sayang Nadira. Sayang Busyra, Midi, Cik Ah...semua yang jadi keluarga kita.”

“Ikhlas?”

“Jol, ikhlas bukan letak kat mulut. Dalam hati ni haaa...” Zariq meletakkan tangan kanan pada dadanya yang agak bidang. Mungkin berbulu sedikit...eiii.

“Lega aku!”

Ada perkiraan dalam kepala Tajol. Dia hendak menguji Zariq lagi. Masih tentang Nadira. Seboleh-bolehya Tajol mahu mengorek isi hati Zariq. Kepastian itu sangat penting buatnya. Lebih penting dari sekadar duduk-duduk di atas Bukit Gondol itu.

“Lega? Apa fasal pulak?”

“Taklah...kau kata sayang Nadira macam keluarga. Okeylah tu. Selamatlah aku.”

“Kau jangan! Tolonglah jangan bagi aku suspen.” Tidak senang duduk Zariq dibuatnya. Kata-kata Tajol dipenuhi tanda-tanya. Apa sajalah muslihat Tajol kali ini.

“Tak payah suspen sangatlah. Bukan apa sekurang-kurangnya aku ni bakal adik ipar kau. Kan Nadira tu adik kau.”

“Hampeh kau!” kutuk Zariq.

“Jol, balik jom. Dah lama kita kat sini.”

Zariq sudah hilang selera untuk terus berada di Bukit Botak. Kata-kata Tajol betul-betul mengganggu fikirannya. Jika Tajol memaksudkan apa yang diperkatakan tadi, itu bermakna Tajol memang menyimpan hati terhadap Nadira.

Dirinya? Entahlah, Zariq tidak pasti. Apa yang pasti nama Nadira tidak pernah pergi dari dalam hatinya. Seorang budak berkulit putih melepak dengan rambut kerinting bergulung di hujungnya. Budak yang selalu dihadiahi dengan gula-gula dan kalau ada lebihan duit tabungan, Zariq akan membelikan sehelai T-shirt bergambar kartun.

‘Entah macam mana kau sekarang, Nadira. Aku tak pernah putus berdoa supaya dipertemukan dengan kau semula. Aku harap kau baik-baik je.’ Bisik Zariq.

“Nak balik ke tidak ni?” ulang Tajol.

“Okey...kita balik.” Tajol mengangkat punggung untuk bangkit. Begitu juga Zariq. Mereka melangkah seiring tanpa bersuara. Untuk sementara masing-masing cuba membuang nama Nadira dari fikiran mereka. Biar otak dan hati mereka aman tanpa diganggu oleh bayangan Nadira.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku