Kukejar Kau Lari
Bab 26
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1511

Bacaan








Sejak kecurian geran tanah di Ulu Telom, Haji Embong telah berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat. Pada mulanya Haji Embong, Zariq dan Tajol menumpang di tanah kepunyaan Mak Som yang sekangkang kera keluasannya. Haji Embong membina gubuk di penjuru tanah tapak rumah Mak Som. Apabila Mak Som dibawa ke Kuala Lumpur oleh anaknya, mereka terpaksa keluar dari situ.

Zarid dan Tajol nekad tidak mahu meninggalkan orang tua yang telah mereka panggil ayah sejak kecil lagi. Selepas kesemua anak-anak Al-Mustaqim dipindahkan ke beberapa rumah anak yatim yang lain maka Haji Embong hanya ditemani oleh dua budak nakal, Zariq dan Tajol.

Apabila dua budak nakal itu sudah menamatkan pelajaran dan mulai pandai berdikari, mereka telah membawa Haji Embong berpindah ke Kampung Taman Sedia, Tanah Rata Cameron Highlands. Mereka menyewa tapak tanah untuk dipenuhi dengan tanaman Strawberi sebagai punca pendapatan. Sebuah gerai menjual Strawberi segar dan jem Strawberi buatan sendiri dibina berhampiran kediaman mereka.

“Ayah dah makan ke?” Sebaik balik dari Bukit Gondol Zariq terus melihat Haji Embong di dalam biliknya.

“Sudah...janganlah risau. Habis licin semangkuk bubur yang kamu masakkan untuk ayah. Boleh tahan sedap kamu masak.”

“Ilmu siapa yang Zariq tuntut kalau bukan ilmu masakan Mak Som. Kalau sedap kenapa ayah tak bertambah?”

“Kamu nak kaki ayah cepat kena potongnya ke?”

Walau muka Haji Embong nampak selorohnya, pilu pula Zariq yang mendengarnya. Minta dijauhkanlah potong memotong kaki Haji Embong. Dia selalu berdoa supaya kesihatan Haji Embong akan bertambah baik. Tidak payahlah nanti doktor memotong kaki orang tua itu seperti memotong kaki ayam di pasar sehari.

“Dah lama ayah tak sentuh bubur. Apatah lagi nasi. Sesekali tak apa agaknya.”

“Cukuplah untuk ayah rasa-rasa, Zariq. Orang kata, untuk lepaskan kempunan.”

Haji Embong melihat tapak kakinya yang masih berbalut akibat luka tertusuk kaca. Lambat sungguh luka itu hendak sembuh. Semuanya gara-gara kencing manis yang ditanggungnya. Setiap pagi Zariq atau Tajol akan mencuci luka itu sebelum membalutnya semula.

“Iyalah ayah...baguslah kalau ayah berpantang.”

“Ayah nak Zariq tolak ayah keluar ke?”

“Tak payahlah kamu manjakan sangat ayah ni. Ayah masih boleh tolak kerusi roda ni dengan tangan ayah.” Zariq sengih. Bukan hendak memanjakan tapi dia merasakan itu adalah tanggungjawab yang mesti dilaksanakan untuk Haji Embong yang sudah dianggap seperti ayah kandungnya.

“Kalau macam tu, Zariq ke dapurlah yah. Nak check stok jem yang masih berbaki.” Haji Embong angguk dan Zariq berlalu pergi.

Tajol pula masih berlegar-legar di luar rumah sambil memerhati tanaman Strawberi yang tumbuh subur menghijau. Juntaian buah Strawberi adalah rezeki buat mereka bertiga. Hasil tunjuk ajar daripadan pihak MARDI telah direalisasikan dengan sebaik-baiknya.

Dia dan Zariq memulakan dengan modal yang tidak terlalu besar tapi semangat mereka untuk berdikari memang sangat besar. Pada mulanya mereka hanya cakap besar mahu berbuat itu dan ini. Rupa-rupanya berguna juga cakap besar mereka itu. Mereka terbakar dengan cabaran Haji Embong yang mahu melihat mereka menjadi orang yang berjaya tanpa bantuan sesiapa.

“Ehem!”

“Siapa pulak yang ber ehem-ehem?” Spontan Tajol menoleh.

“Assalamualaikum.”

Tajol memberi salam kepada orang yang ber ehem-ehem. Mungkin orang itu terlupa mahu memberi salam kepada tuan rumah yang berdiri tegak seperti tugu. Atau mungkin juga sudah terlupa adab sopan. Dulu Tajol selalu kena luku oleh Haji Embong hanya kerana tidak pandai memberi salam. Sekarang dia sudah dewasa dan sudah tahu pentingnya memberi dan menjawab salam.

“Waalaikumussalam...errr, tumpang tanya. Ada tak chalet berhampiran tempat ni?”

Tajol tidak terus menjawab. Dia memerhati setiap inci badan orang yang sedang bercakap dengannya. Nampak seperti orang kaya. Ada rupa, ada gaya. Kemudian Tajol berfikir lama. Memang lama hingga orang di depannya mulai bosan. Tiba-tiba ‘mentol’ menjelma dalam otak Tajol. ‘Mentol’ itu menyala dengan terang. Ya...ilham! ilham!

“Hmmm...ada tu ada tapi nak kena kemas sikitlah. Bersepah. Boleh tunggu sekejap?”

“Kalau boleh tau siapa nama?” tokok Tajol.

“Oh ya..saya Hardy. Saya dari Kuala Lumpur.”

“Seorang?”

“Tak...dengan adik. Dia pengsan dalam kereta.”

“Hah! Pengsan? Kenapa biarkan?” Mulalah Tajol menganggap betapa kurang cerdiknya seorang abang membiarkan adiknya yang sedang pengsan sendirian di dalam kereta. Pada Tajol, itu adalah tolol alias dungu.

“Eh! Bukan macam tu..maksud saya, adik saya tidur mati. Dia tak tahan tengok jalan yang berbelit-belit. Muntah menyembur-nyembur sepanjang perjalanan ke mari. Sudahnya dia lembik, terus tertidur.”

‘Isyyy! Menyusahkan aku je fikir bukan-bukan. Mamat ni nak bergurau tak bertempat pulak. Rasa nak sekeh je!’ omel Tajol.

“Kalau macam tu boleh ke tunggu sekejap? Awak boleh duduk kat gerai tu hah. Saya kemas-kemas apa yang patut.”

Hardy angguk. Malas dia hendak mencari penginapan lain. Kononnya sudah bosan dengan hotel dan rumah tumpangan yang mahal-mahal. Sebenarnya bukanlah beria bosan tapi dia kedekut mahu mengeluarkan duit dalam jumlah yang banyak. Memang betullah kata si kucing Parsi, dasar tahi hidung masin!

“Bolehlah. Saya rehat kat gerai dulu.”

Sebaik Hardy bersetuju, dengan langkah panjang Tajol menyelinap masuk ke dalam rumah. Membiarkan Hardy terpinga-pinga. Hardy geleng lalu beredar untuk berteduh di bawah gerai Stawberi. Dia tidak menyangka penduduk di situ pelik sikapnya.

“Zariq! Sini kejap!” Ditariknya Zariq ke ruang tamu.

“Siapa kejar kau? Terjelir-jelir je aku tengok.” Zariq sudah biasa dengan sikap Tajol yang selalu membuat gempar. Dia suka membuat sesuatu yang kurang dapat diterima oleh akal. Sekarang ini apa pula yang hendak dilakukannya?

“Duit, Zariq!...duit! masyukkk.”

“Jangan nombor ekor sudahlah. Kau kena halau dengan ayah nanti.” Usik Zariq.

“Hah! Apa yang ekor-ekor tu?” Haji Embong baru menolak keluar kerusi roda dengan kedua tangannya. Zariq dan Tajol senyum.

“Tak adalah ayah...ni haaa Tajol, dah macam ayam bertelur je. Asyik sebut duit...duit.”

Haji Embong tahu bagaimana gigihnya dua beradik tidak seibu sebapa itu mencari duit. Mereka bekerja keras tanpa kenal penat. Duit itu bukan hanya untuk keperluan mereka. Ia untuk Haji Embong dan untuk segala macam kos perubatannya. Mereka anak nakal yang berguna. Mereka juga tidak pernah mengeluh depan Haji Embong.

“Zariq...masa aku terdiri-diri kat luar tadi, ada satu mamat tu datang. Aku rasa dia tu orang kaya. Pakaiannya semacam je aku tengok.”

“Dah tu kenapa? Kau ada hati nak rompak dia? Atau nak culik dia, lepas tu mintak tebusan? Atau kau nak jual semua jem Strawberi kita kat dia? Suruh dia borong?”

Haji Embong hendak ketawa mendengar soalan Zariq yang tidak putus-putus. Panjang. Kalah kepala keretapi dan gerabaknya. Zariq memang suka menyakat Tajol sebagaimana Tajol juga suka mengusiknya. Gurauan itulah yang menguatkan hubungan mereka.

“Soalan kau tu buang masa aku je nak jelaskan. Macam ni...orang tu cari chalet. Aku kata ada tapi kena kemas dulu. Sekarang dia tengah tunggu kat gerai tu. Tengok sana tu!”

Tajol menarik Zariq ke tepi tingkap. Mereka mengintai Hardy tanpa Hardy sedar. Haji Embong hanya memerhati mereka dari kerusi rodanya. Zariq masih tidak faham apa yang hendak disampaikan oleh Tajol. Apa yang ada dalam kepala Tajol atau apakah rancangan Tajol masih samar-samar.

Kalau dulu Tajol agak bodoh-bodoh alang dan asyik hendak mengikut kenakalan Zariq, sekarang tidak lagi. Tajol sudah panjang akalnya. Kaki belit nombor satu. Belit bukan sebarang belit tapi belit berisi. Belitnya bukan juga belit jahat, hanya belit untuk menambah duit dalam poket.

“Apa hah kaitan kita dengan chalet yang mamat tu tanya?”

“Kaitannya...kitalah tuan punya chalet tu!”

“Tak faham jugak.”

“Bermakna sekarang aku lebih pandai dari kau, kan?” Tajol suka.

“Yalah...yalah...sempat lagi tu nak masuk bakul.”

Tajol menarik Zariq lebih dekat lagi. Mulutnya disuakan ke lubang telinga Zariq. Terkumat-kamit Tajol. Besar kecil matanya. Bersungguh-sungguh dia menerangkan. Muka Zariq nampak terkejut. Melopong mulutnya.

“Kau gila ke? Situ stor tanaman kita. Kau ni nak mengarut pun agak-agaklah Jol. Silap-silap bukan untung yang dapat tapi kau yang kojol...hah! kan...dah akan-akan nama kau pulak!” Terhambur juga ketawa Zariq. Dalam seriusnya dia tidak dapat menahan gelihati dengan cadangan Tajol yang agak melampau itu.

“Syyy! Pelan sikit boleh tak? Dengar dek orang kaya tu nanti. Alaaa, stor tu pun bukan ada apa sangat. Nama je stor tapi barangnya tah mana-mana. Daripada kosong macam tu je kan lebih baik kita sewakan.”

Haji Embong menahan ketawa melihat kerenah dua orang anak lelakinya. Geliga juga kepala Tajol. Macam batu geliga cincin yang dijual di pasar malam. Sejak kebelakangan ini apa saja yang dipandang oleh Tajol dan Zariq akan berubah menjadi duit. Lebih-lebih lagi Tajol, otaknya lebih produktif berbanding Zariq. Perkara yang tidak masuk akal pun boleh berubah menjadi logik.

“Ermmm...memanglah tak ada barang buat masa ni. Tapi berhabuk tu. Takkan nak sewakan dalam keadaan macam tu. Duit-duit jugak Jol tapi servis pun kena tip top. Aku tak naklah pelanggan pertama kita terus dapat resdung bila sewa stor berhabuk tu.”

“Assalamualaikum.”

“Alahai tu dia! Mesti dah penat tunggu.” Bisik Tajol lalu menyahut salam.

“Macam mana ni? Lambat lagi ke?” Hardy menyengih kepanasan.

“Booo..”

“Macam nilah. Tempat tu...errr chalet tu agak kotor...berhabuk. Kena sapu dan mop dulu. Saya tak fikir encik...” pintas Zariq sebelum Tajol sempat menyudahkan kata-katanya.

“Hardy!”

“Ya, Encik Hardy...kalau perkara ni akan beri masalah pada encik, boleh encik cari tempat lain.”

Huh! Tajol terasa hendak memijak kuat kaki Zariq. Biar dia melompat kesakitan. Rancangannya telah digagalkan oleh Zariq dengan begitu mudah. Mulalah Tajol melihat ringgit Malaysia yang diangan-angankan akan masuk ke dalam akaun bank mereka, terbang jauh sehelai demi sehelai meninggalkannya.

Hardy melihat jauh ke kereta yang ditinggalkan. Masih tidak nampak Nadira duduk tegak pada seat kereta. Itu bermakna dia masih ketiduran. Kemudian Hardy menggaru pangkal tengkuk sambil memikirkan sesuatu. Dijeling sebentar ke arah chalet yang dimaksudkan oleh Tajol. Hardy menarik nafas.

“Kira jadilah. Saya pergi makan dulu. Dalam masa sejam saya akan datang semula ke sini”

Tajol angguk. Sengihnya besar sampai tepi telinga. Zariq menjelingnya sambil menghadiahkan senyuman paling manis dalam dunia. Dia pun tumpang suka kerana Tajol sudah berjaya dengan agenda tidak masuk akalnya. Hebat juga kawan baiknya itu. Perlahan-lahan Tajol melihat ringgit Malaysia yang melayang-layang pergi, sudah berpatah balik. Melayang-layang pula depan matanya.

“Ermmm...tapi.”

“Tapi apa?” soal Zariq dan Tajol serentak. Khuatir pula Hardy akan membatalkan niatnya dalam sekelip mata.

“Ada satu chalet je ke? Maksud saya...saya nakkan satu lagi. Untuk adik perempuan saya. Tak manis kan kalau kami tidur berdua malam nanti.”

Dua kawan baik itu berpandangan. Nampaknya punah lagi impian Tajol yang kemudiannya sudah menjadi impian Zariq juga. Uh! Tajol betul-betul rasa dipermainkan oleh impiannya sendiri. Ringgit Malaysia yang berpatah balik depan matanya terus ghaib entah ke mana. Sudah patah semangat Tajol untuk memasang angan-angan lagi. Angan-angannya langsung tidak indah!

“Ada satu lagi. Tapi bukan chalet. Cuma bilik belakang yang tak berapa besar. Kalau untuk seorang lebih dari selesa rasanya.”

Tanpa Zariq dan Tajol duga, Haji Embong yang sedari tadi hanya memandang telah mencelah. Mereka tahu apa yang dimaksudkan oleh Haji Embong adalah bilik belakang yang selalu digunakan oleh Cik Ah dan Busrya pada setiap kali mereka datang melawat Haji Embong. Senyuman Zariq dan Tajol bersemangat semula. Masih ada peluang rupanya.

“Baik...saya setuju. Tak apalah untuk satu malam. Malas saya nak mencari di tempat lain.”

“Ya...silalah, encik makan tengahari dulu. Boleh kami bersihkan tempat tu.”

Zariq bersikap sopan. Maklumlah itu pelanggan pertama mereka. Siapa sangka akan ada bulan jatuh ke riba. Stor yang terbiar akan bertukar menjadi duit. Walaupun tidak sebanyak mana tapi bagi mereka setiap sen sangat tinggi nilainya. 

Satu masa dulu mereka telah melihat bagaimana sikap jimat cermat Haji Embong sewaktu menguruskan rumah Al-Mustaqim. Segala kepentingan untuk dirinya diketepikan supaya sedikit duit yang disimpannya akan dapat digunakan oleh anak-anak Al-Mustaqim pada waktu kecemasan.

Mereka bukan anak muda yang gilakan kekayaan tapi mereka memerlukan duit untuk satu perkara yang sangat penting. Zariq dan Tajol bersusah payah dan berusaha mengumpulkan duit untuk membeli tanah di Ulu Telom untuk mengganti tapak Al-Mustaqim yang telah dirampas dengan paksa. Mereka tahu di Ulu Telom itulah beradanya kebahagiaan Haji Embong.

“Baik...saya akan datang semula selepas satu jam.” Hardy beredar.

“Hohoho!...yuhuuu! ambero, ambero, kucha-kucha...”

Setelah Hardy agak jauh Tajol menari tarian Apache. Haji Embong geleng-geleng. Tajol menepuk tapak tangan Zariq supaya Zariq ikut serta. Zariq pun apa lagi. Gamat sebentar ruang tamu itu. Mereka menari sambil mengelilingi kerusi roda Haji Embong. Haji Embong terbahak. Sudah lama orang tua itu tidak segembira itu. Ketawanya terhambur gara-gara dua anak nakalnya itu.

“Sudahlah...jangan lupa sebut Alhamdulillah. Cepat buat kerja, takut tak sempat kering lantai tu nanti.” Setelah perut Haji Embong tegang, barulah dia menyuruh Zariq dan Tajol berhenti menari.

“Hehehe...Alhamdulillah. Alhamdulillah jugak kami dapat tengok ayah ketawa besar.” Puji Zariq. Senyuman dan ketawa Haji Embong adalah kegembiraan buat Zariq dan Tajol. Kerana itu Haji Embong sangat menyayangi mereka.

“Eh, baru ayah ingat...stor tu kan tak berkatil. Takkan budak Kuala Lumpur tu nak tidur atas simen keras tu. Tikar pun tak ada.” Baru terfikir oleh Haji Embong.

“Hmmm...tak apalah. Sementara ni Zariq akan keluarkan katil Zariq. Cuma perlu ganti cadar dan sarung bantal je. Nanti Zariq tukar semua.”

“Tikar tak ada...hah, kita guna karpet besar. Raya lambat lagi. Kita gunakan untuk sementara.”

“Ermmm...suka hatilah. Pandai-pandai kamu berdua nak buat macam mana. Ayah sokong apa yang baik. Ya Allah...Engkau berkatilah usaha kedua anak lelakiku ini.”

Spontan Haji Embong menadah tangan. Cepat-cepat diaminkan oleh Zariq dan Tajol dengan rasa sebak. Kemudian mereka meninggalkan Haji Embong di ruang tamu. Tugas membersihkan stor mesti dilakukan dengan cepat sebelum Hardy selesai makan tengahari.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku