Kukejar Kau Lari
Bab 27
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1657

Bacaan








Selepas Hardy mengambil anak kunci dari Tajol dia memanggil Nadira yang masih longlai. Tajol masuk ke rumah semula untuk membantu Zariq menyediakan jem Strawberi yang mulai berkurangan. Gerai mereka dijaga oleh seorang pembantu orang Asli.

“Kalau ada apa-apa call abang. Abang nak rehat...tidur.”

Hardy menghantar Nadira ke bilik belakang yang selalu digunakan oleh Cik Ah dan Busyra. Dalam tidak sedar Nadira sudah begitu hampir dengan keluarga Al-Mustaqimnya. Hanya dipisahkan oleh sekeping dinding batu.

Rancangan mereka untuk balik ke Kuala Lumpur setelah gagal mencari Zariq, berubah kepada percutian ke Cameron Highlands. Kalau diikutkan Hardy dia mahu balik ke Kuala Lumpur tapi Nadira berkeras mahu ke Cameron Highlands.

Niatnya untuk menghiburkan hati sudah berkecai akibat hamburan muntah yang berulang kali. Sudahnya Nadira tidak dapat menikmati keseronokannya. Lembik sekujur badan. Senak perutnya. Mujur sejak kebelakangan ini Hardy tidak pernah lagi mengherdik-herdiknya. Kalau tidak sudah tentu dia hanya akan mendengar bebelan percuma Hardy.

“Hiii...tak selesanya. Apa yang tuan rumah ni blend ni? Takkan masak dalam waktu macam ni.”

Telinga Nadira dapat menangkap bunyi bingit dari dapur Zariq dan Tajol. Dia menekup kedua-dua telinganya dengan tapak tangan. Pusing kepalanya. Sewaktu makan tadi, dia betul-betul tiak berselera. Masih terasa pusing dan mual.

“Banyaknya kau buat jus hari ni, Zariq. Tak macam biasa.” Di dapur, Tajol asyik merenung tangan Zariq yang ligat mengacau jus Strawberi di dalam jug sesudah dikisar halus.

“Kita hidang untuk customer pertama kita tu. Dahlah kau ambik sewa mahal, cekik darah. Kalau kita sedekah jus, roti kosong dan jem Strawberi mesti dorang suka. Tak rasa rugi sewa chalet kita...haha, chalet? Macam mimpi je tiba-tiba jadi tuan punya chalet.”

“Rm300 mahal ke Zariq? Mana aku tau. Aku main sebut je. Dah tu dorang langsung tak tawar menawar. Ala, kalau orang yang tidur atas duit ni, rm300 tak jadi apa. Tak jadi kudis pun.” Tajol yang hentam keromo menegakkan pendiriannya.

“Entah...aku tak tau. Nanti kita tanya orang yang dah biasa dengan urusan sewa menyewa ni. Kali pertama ni tak apa kut. Sebelum dorang pergi nanti, kita mintak halallah.” Zariq sengih. Tajol hendak ketawa melihat Zariq yang dua kali lima juga. Hentam keromo.

“Dah siap ni...kau hantar, Jol.”

“Kejaplah. Kan dorang baru sudah makan tengahari. Biarlah dorang rehat-rehat. Tak usah letak ais dulu.

“Yalah Encik Tajol.”

“Ayah mana? Senyap je.” Zariq mengubah topik pula.

“Dalam bilik. Baring lepas solat tadi.”

“Jol...minggu depan Cik Ah, Busrya dengan Midi balik sini kan?”

Ada perancangan dalam kepala Zariq. Tidak boleh tidak dia mesti melakukan sesuatu. Masa yang ditinggalkan sudah jauh berlalu. Kalau dia tidak melakukan dalam waktu terdekat ini, dia takut akan tidak ada hati lagi untuk melakukannya pada masa akan datang.

“Yup! Kenapa?”

“Aku nak ke Kuala Lumpur.”

“Nadira?”

“Ya...aku nak cari dia. Aku mesti cari dia. Aku nak dia ziarah ayah. Kau selalu dengar kan ayah sebut-sebut nama dia. Aku tau ayah rindukan Nadira.”

Tajol melepaskan keluhan. Apa yang ada dalam pemikiran Zariq tidak ubah seperti apa yang ada dalam kepalanya. Betapa dia terlalu ingin berjumpa si putih mulus dengan rambut bergulung-gulung di hujungnya.

“Bukan kau yang rindu?” Tajol membetulkan duduknya yang senget. Sebiji Strawberi merah menyala diambil lalu disumbat ke dalam mulutnya. Manis!

“Kau cakap apa ni Jol...merepek je kau ni. Ermmm...mestilah aku rindu. Macam kau rindu dia jugak.” Dalam serius ada juga seloroh Zariq.

“Kalau macam tu kita pergi sama-sama. Sebelum pergi kita buat jem banyak-banyak supaya tak kehabisan stok. Budak bertiga tu bolehlah tolong jagakan ayah.”

Mana boleh jadi kalau Zariq seorang saja yang akan ke Kuala Lumpur, dia pun kepingin juga ke Kota Metropolitan itu. Lebih-lebih lagi mahu mencari Nadira yang dalam diam, mereka sama-sama menyimpan hati terhadapnya. Itu tanggapan Tajol sedangkan Zariq susah hendak mengakui hakikat itu. Mustahil ada cinta jarak jauh selepas 10 tahun berpisah.

“Kau rasa macam mana Nadira sekarang ya? Dia ingat kita lagi ke? Jangan-jangan dah sombong bila jadi anak orang kaya.” Ringan saja mulut Tajol. Tapi betul juga, itu andaian yang boleh diterima pakai. Logik alias munasabah!

“Tak baiklah buruk sangka kat adik kita tu. Aku harap taklah jadi gitu.” Sebenarnya Zariq hendak menyedapkan hatinya sedangkan setiap kali teringatkan Nadira, perkara itulah yang berperang dalam otaknya.

“Apa-apa hal, kita jangan buat andaian bukan-bukan. Buat dosa kering je. Kita usaha cari dia dulu. Lepas tu dah jumpa, nak nilai ke nak apa ke tak kisahlah.”

“Hak alah! Bukan kau yang tanya aku dulu ke tadi?” bidas Zariq sambil membaling sebiji Strawberi ke arah Tajol. Dengan pantas Tajol menyambut lalu dimasukkan ke dalam mulutnya. Kemudian mereka sama-sama ketawa.

Di sebalik dinding pula Nadira sedang menyeringai kelaparan. Pedih ulu hatinya. Barulah dia terliurkan sesuatu. Apa saja yang boleh dijadikan alas perutnya. Diperhati sekeliling bilik. Tidak ada apa-apa yang boleh mengisi perutnya. Hendak tidur perutnya menendang-nendang pula. Dicapai telefon bimbitnya. Hardy sudah berpesan supaya menghubunginya kalau ada apa-apa yang diperlukan.

“Abang...Nadira laparlah.” Kemudian Nadira mendengar jawapan Hardy di talian.

“Tak boleh tahan! Lapar sangat.” Tegas Nadira apabila Hardy yang sedang sedap tidur mahu Nadira menunggu setengah jam lagi.

Jawapan kedua Hardy membuat Nadira senyum-senyum kambing. Hardy tidak mahu memandu untuk membeli makanan. Dia sudah penat. Mahu tidak mahu terpaksa juga Hardy menongkat matanya yang terlalu mengantuk. Dia keluar dari stor alias chalet menuju ke rumah Zariq dan Tajol. Mahu mendapatkan sesuatu untuk mengisi perut Nadira.

Untuk tidak mengulangi kesilapannya ber ehem-ehem, pantas Hardy memberi salam. Salam disahut oleh Zariq. Zariq bergegas ke muka pintu depan untuk melihat Hardy. Entah apalah yang dimahukan oleh pelanggan pertamanya itu. Hendak mengadu ketidak puasan hatikah? Suspen juga Zariq dibuatnya. Tajol yang suka menyibuk turut mengkori Zariq.

“Ya encik...apa yang boleh kami tolong.”

Zariq berdiri di depan tapi Tajol yang menyoal dulu. Zariq bergerak sedikit supaya Hardy dapat melihat muka Tajol yang kurang lawa itu. Bukan tidak lawa langsung tapi kurang sedikit daripada Zariq. Itu pun anggapan Zariq saja sedangkan Tajol selalu perasan dirinya lawa. Uh! Apa-apa sajalah dua sekawan itu.

“Macam ni...adik saya lapar. Boleh saya beli Strawberi?”

“Boleh tu boleh...tapi kenyang ke kalau cuma makan Strawberi?”

Hardy menyoal, Zariq menjawab dengan soalan juga. Tajol angguk-angguk setuju. Kalau Tajol makan sekilo Strawberi pun belum tentu dia akan kenyang. Kadang-kadang Zariq mengumpamakan selera makan Tajol seperti biawak yang tidak cukup makan telur sesangkak. Tajol tidak marah. Apalah sangat usikan Zariq itu kalau dibandingkan dengan persaudaraan yang kukuh di antara mereka.

“Memang tak boleh hilangkan lapar...saya fikir untuk sementara je. Penat sangat nak memandu keluar.” Hardy menggaru belakang tengkuknya. Gemar sungguh dia berbuat begitu. Mungkin dia akan mengalami kegatalan tengkuk bila bercakap dengan seseorang.

“Macam nilah...tak payah beli Strawberi. Kalau nak beli untuk ole-ole bila nak balik ke KL tu bolehlah. Dialu-alukan. Untuk sekarang, kami dah sediakan roti bersama jem Strawberi buatan tangan kami sendiri. Home made!” berkobar Zariq menjelaskan.

“Ya, betul! Roti bersama jem Strawberi ditambah pula dengan jus Strawberi. Juga buatan tangan kami...ermmm sungguh segar! Nyaman! Nikmat!”

Tajol menokok dan berlagak seperti pembaca iklan di TV. Selepas bercakap seperti itu, geli pula rasa hatinya. Ditahankan...kononnya hendak menghormati pelanggan mereka. Zariq menyiku perut Tajol yang asyik hendak bermain-main. Cepat Tajol mengundur ke belakang sedikit. Ada sengihan pada bibirnya.

‘Hmmm...jelous aku tengok mesranya dua beradik muka tak sama ni. Aku? Haaa...kalau aku ada adik lelaki mesti seronok.’ Bisik Hardy agak iri.

‘Ada adik perempuan tapi payah...tak boleh bergurau lebih-lebih. Tak boleh tersentuh kulit. Tak boleh itu tak boleh ini. Ni semua sebab mama nakkan sangat anak perempuan. Nadira! Nadira! Nasib baik kau cantik, sejuk sikit hati aku ni.” Berkhayal pula si Hardy sedangkan Zariq dan Tajol sedang pelik melihat matanya yang terpacak tepat memandang mereka.

“Macam mana?” Tajol mengejutkan khayal Hardy.

“Bunyi macam sedap!”

“Bukan bunyinya je yang sedap, encik. Rasanya lagi sedap. Kalau dah makan satu, mesti nak dua...tiga...empat...liii.”

“Encik tunggu sekejap ya, saya ambik kat dapur.”

Cepat-cepat Zariq memotong percakapan Tajol yang entah apa-apa. Seolah-olah minta dijahit mulutnya. Banyak cakap! Tajol memandang Zariq berlalu dengan gelihati. Dia mengakui Zariq lebih gentleman berbanding dirinya yang terlalu susah untuk menekan brek bila sudah mula bercakap.

Sepuluh minit kemudian Zariq muncul semula dengan dulang sederhana besar ditatang dengan dua tangannya. Ada sebuku roti, sebotol jem Strawberi, sejug jus Strawberi, dua biji gelas dan pisau untuk menyapu jem ke atas roti.

“Jemput encik...jangan segan-segan.” Zariq menghulurkan dulang sederhana besar itu.

Dulang disambut oleh Hardy. Matanya yang mengantuk menjadi segar bila melihat jus Strawberi yang nampak menyelerakan. Kebetulan tekaknya sudah kering semula. Wap ais di tepi jug membuat Hardy bertambah haus.

“Errr...encik-encik...”

“Ya, ada apa?”

“Oh ya, ermmm.... Ada meja tak untuk nak letakkan dulang ni. Saya akan makan di luar je. Luar lebih segar.” Itu hanya alasan, Hardy tahu Nadira sangat pantang kalau dia melangkahkan kaki masuk ke dalam biliknya. Tidak kira bilik di kediaman mewah mereka atau di mana-mana saja.

“Ada...ada. Kat sebelah bilik belakang ada meja, siap kerusi sekali. Mungkin encik tak perasan tadi. Tengoklah...ada kat situ.” Jelas Tajol. Hardy angguk.

“Baiklah...terima kasih untuk semua ni. Sekarang saya nak nikmati keenakan hidangan buatan tangan saudara berdua. Mesti, segar! Nyaman! Nikmat!” ujar Hardy lalu tersenyum. Tajol tersipu seperti anak dara apabila Hardy mengulangi kata-katanya. Zariq hendak tergelak.

“Biol betul kau ni Tajol! Nasib baik mamat tu kira sporting jugaklah. Kau ni boleh buat orang yang waras jadi kurang siuman tau.” Ejek Zariq sambil berjalan ke dapur. Tajol mengekek lalu turut ke dapur. Tugas mereka di dapur masih belum selesai.

Di bilik belakang, Hardy sedang memanggil-manggil Nadira. Hendak mengetuk pintu bilik takut dulang akan terlepas dari pegangan. Maklumlah Hardy tidak pernah sekali pun mengangkat dulang, waimah di kediaman mewahnya sendiri.

“Wahhh...ada jus...ada roti...ada jem. Laparnyaaa...” terjah Nadira sebaik membuka pintu. Dia mahu mengambil dulang dari tangan Hardy. Hardy menarik semula dulang itu. Ternganga mulut Nadira. Mengapa pula Hardy hendak bertarik-tarik dulang dengannya?

“Abang pun nak makan sama. Macam sedap je.”

“Ooo...Nadira tuang dulu air untuk Nadira. Sapu jem kat roti, lepas tu abang boleh bawak dulang ni ke chalet abang tu. Tu chalet ek? Tak macam chalet je Nadira tengok.” Sempat juga Nadira meluahkan pendapatnya.

“Tak kiralah apa pun. Tak payah nak berbagi-bagi. Kita makan kat luar ni. Sana tu ada meja. Segar kat luar ni.”

Tanpa menunggu Nadira, Hardy sudah melangkah ke meja bulat tidak jauh dari bilik itu. Cepat-cepat Nadira menyarungkan kasut sarungnya. Kain tudungnya dibetulkan supaya anak rambut tidak terkeluar dari celahan tudung.

“Abang dah sapukan jem.”

“Baiknya! Sejak bila ni?” Nadira meletakkan punggungnya pada kerusi batu.

“Lama dah. Nadira je tak sedar.”

“Hoho...rasanya sejak kucing Parsi tu tinggalkan abang, abang mula berubah. Ingat dia lagi tak?”

‘Hah! Asyik bertanya si kucing Parsi je. Bosan aku!’ sungut Hardy dalam hati.

Setelah menyoal Hardy, disumbat pula mulutnya dengan roti berjemkan Strawberi. Dikunyah agak laju. Herot mulutnya ke kanan ke kiri. Sesudah lumat ditelan dengan cepat. Selepas itu dihirup pula jus Strawberi sejuk yang menyegarkan.

Lapar sungguh Nadira. Hardy memerhati tanpa berkelip. Walau bagaimana keadaan Nadira, dia tetap nampak cantik. Perlahan-lahan Hardy menghirup jus kepunyaannya. Terasa lebih segar bila minum sambil merenung Nadira.

“Ermmm...hmmm...sedap...manisnya cukup, tak terlalu manis. Pendek kata manis-manis buah.

Lepas tu tak terlalu halus...kasar-kasar sikit. Masih kuat rasa keaslian Strawberinya. Makan satu, nak dua...tiga...empat...li...”

“Lima! Sama je dengan tuan rumah ni kata tadi. Nadira dengar ke perbualan kami tadi?”

“Merepeklah abang ni. Mana boleh dengar. Nadira cuma nak terjemahkan apa Nadira rasa. Memang sedap jem Strawberi ni, abang. Tak puas makan sekeping roti. Kebanyakan jem yang pernah Nadira makan macam dah tak asli. Yang ni beza.”

“Motif?”

Bagi Hardy kalau sedap makan sajalah. Untuk apa hendak menterjemah itu ini, begitu begini. Ternyata Nadira kuat berfikir dan sangat suka berfikir. Kadang-kadang Hardy berasa bosan untuk mendengarnya.

Dia lebih suka melapangkan fikiran tanpa memikirkan perkara yang berat. Kecuali tentang segala urusan di rangkaian pasaraya milik Tuan Daniel, Hardy memang berminat ambil tahu. Selain daripada itu dirasakan hanya membuang masa. Lebih-lebih lagi perkara yang tidak menghasilkan duit.

“Kita pasarkan jem ni kat rangkaian pasaraya papa! Mesti papa suka. Lebih-lebih lagi ini buatan Bumiputera. Papa kan suka nak tolong Bumiputera. Kalau abang tak percaya, cuba rasa sendiri. Jangan asyik minum jus je. Kembung pulak nanti.”

Nadira mengambil sepotong roti lalu menyapukan jem ke atasnya dengan pantas. Selepas itu roti diberikan kepada Hardy. Hardy menggigitnya lalu mengunyah perlahan. Dia mahu menikmati seperti apa yang Nadira nikmati. Nadira menunggu dengan tidak sabar. Matanya tertancap pada kunyahan Hardy. Apabila roti itu melalui kerongkong Hardy dan ditelan, Nadira terasa seperti dia sedang turut menelannya.

“Ya...betul kata Nadira. Sedap!”

“Motif?”

“Motifnya...Nadira boleh cadangkan pada papa. Abang akan sokong.”

“Kenapa bukan abang je suarakan pada papa. Abang kan anak papa. Mesti papa lebih dengar kata abang.”

“Sebab...ini buah fikiran Nadira. Idea Nadira. Papa pun akan dengar kata Nadira sebab Nadira jugak anak papa, anak mama.”

Lama Nadira memandang Hardy. Di permukaan muka Hardy, Nadira dapat melihat imbas semula kisah-kisah beberapa tahun dulu. Sewaktu hari pertama dia melangkahkan kaki ke Taman Bukit Jaya hinggalah dia mengalami demam teruk gara-gara takutkan Hardy. Sakit hatinya waktu itu hanya Tuhan saja yang tahu.

“Kenapa macam nak telan abang je?”

Serba tidak kena pula Hardy. Ah! Nadira...kalau hendak memujinya segak cepatlah luahkan. Dia akan mendengar dengan rela. Menerima dengan berlapang dada dan dengan hati terbuka. Kecik tapak tangan dulang depan mata boleh tadahkan. Dia tidak akan bersedih sebab itulah hakikatnya. Cisss! Hadry! Hardy! Menunggu pujian Nadira rupanya.

“Abang dah lain.”

“Motif?”

“Yalah...dulu dengan Nadira macam singa. Kebelakangan ni...hmmm, okeylah. Bolehlah.”

‘Isyyy! Itu je ke? Dia tak nampak lagi ke lengan aku yang ketul-ketul ni? Muka aku yang jerawat segan nak singgah? Nasib! Nasib!’ Andaian Hardy tidak tepat. Hampa sungguh dia.

“Bila Nadira usulkan pada papa nanti, abang back up Nadira ek?” Hanya anggukan Hardy menjadi jawapan.

“Harap-harap papa mama suka.”

‘Harap-harap kau sedar betapa machonya aku.’ Bisik Hardy pula dengan senyum nakalnya.

“Gembiranya Nadira kalau papa mama setuju!”

‘Gembiranya aku kalau kau sedar aku sukakan kau, Nadira!’

Terasa hendak melaungkan kata-kata itu tapi dibiarkan saja tersekat di kerongkong. Mungkin belum waktunya. Dia tidak mahu Nadira menerima kejutan. Takut-takut demam kuatnya 10 tahun dulu akan berulang lagi. Tidak dapat dibayangkan kalau Nadira meracau depan papa dan mamanya. Meracau bukan sebab takut padanya lagi tapi disebabkan darjah kegatalannya. Sudahnya Hardy sengih seperti kerang busuk.

“Nadira seronok sebab abang suka cadangan Nadira. Nadira tau abang sokong, tengok abang senyum tak sudah je.” Kasihan Nadira, dia tidak tahu apa yang berada dalam otak Hardy. Ulat bulu!

“Errr...betul! mesti sokong!” Hardy terkulat-kulat.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku