Kukejar Kau Lari
Bab 28
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1650

Bacaan









Rumah comel di Kampung Taman Sedia nampak meriah pada hari itu. Busrya, Cik Ah dan Midi datang untuk menziarah Haji Embong. Busrya sudah bekerja di Jabatan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja. Cik Ah dan Midi pula masih belajar dengan bantuan pusat zakat.

Anak-anak Al-Mustaqim yang lain entah di mana. Sudah lama tidak dapat berkumpul dengan keluarga besar Al-Mustaqim. Zariq dan Tajol berharap satu hari nanti mereka akan dapat menjejak yang lain-lainnya. Itu adalah perkara kedua penting selepas mendapatkan sebidang tanah di Ulu Telom.

“Berapa lama kamu berdua akan ke Kuala Lumpur?” Kaki Haji Embong yang luka sedang dicuci oleh Midi.

“Tak pasti lagi ayah. Bergantung pada keadaan. Paling lama mungkin seminggu. Kami tak boleh lebih lama lagi, Cik Ah dengan Midi ni cuti seminggu je. Kau ambik cuti berapa hari, Busrya?”

Busrya yang duduk di muka pintu sambil merenung juntaian Strawberi di sekelilig rumah cepat menoleh. “Tiga hari je. Kalau boleh Busyra nak cuti terus. Duduk sini jaga ayah...tolong kau berdua uruskan kebun Strawberi ni. Busrya suka keadaan kat sini.”

“Jangan nak mengada! Bukan senang nak dapat kerja kerajaan. Orang lain bersusun-susun tunggu peluang nak kerja kerajaan tapi tak dapat. Yang dah dapat nak menolak tuah pulak. Peliklah kau ni,” tegah Zariq tegas.

“Betul kata Zariq tu.” Sampuk Haji Embong.

“Kalau aku duduk sini, hari-hari boleh jumpa kau.”

“Dia je? Aku?” Tajol yang suka menyibuk tidak mahu kalah. Busyra menjeling.

“Bukan ada faedahnya pandang muka aku hari-hari. Tak dapat fulus pun. Lebih baik kau fokus dengan kerja kau kat EPF tu. Macam-macam muka orang kau boleh jumpa. Yang penting cukup bulan dapat gaji.” Tangan Zariq ligat melipat beberapa helai pakaian yang akan dibawa ke Kuala Lumpur. Tajol melakukan perkara yang sama.

“Kau lain. Tak sama dengan yang ramai-ramai tu.” Eh, lain benar kata-kata Busrya. Ada apa-apakah wahai Busyra?

Seperti biasa Haji Embong mendengar dan memerhati saja. Sejak usianya semakin senja, orang tua itu sudah kurang bercakap. Hanya sekadar yang perlu saja. Diam-diam dia menimbang kata-kata Busyra sekejap tadi.

Percakapan Busyra datang dari hati yang dipenuhi taman. Berbunga-bunga. Begitulah pada penglihatan mata tua Haji Embong. Nampaknya Busrya memang berani. Berani menzahirkan di depan orang lain. Haaa...anak muda sekarang, berbeza dari zaman mudanya. Haji Embong melepaskan keluhan berat.

“Memanglah lain. Kalau muka orang semuanya sama, dah sah-sah ada yang tertukar suami...tertukar isteri. Tertukar anak. Betul tak Tajol?” Ketawa Zariq dan Tajol berdekah-dekah. Ditambah dengan ketawa Midi dan Haji Embong yang agak ringan. Busyra masam.

“Kamu ni tak pernah berubah. Dari dulu suka menyakat.” Tegur Haji Embong pada baki ketawanya.

“Macam ni je caranya nak lupakan sedih dan masalah, ayah. Oh ya, ayah...kami ke Kuala Lumpur sebab nak cari Nadira. Tapi...entah macam mana rupa dia sekarang.”

‘Dia ni dari dulu lagi...sikit-sikit Nadira...sikit-sikit Nadira. Kenapa dia tak kisah pun tentang Busyra. Aku ni!’ Ada iri di hati Busyra.

Haji Embong tunduk. Merenung kerusi roda dan kaki yang luka berkudis sambil mengingati Nadira. Ada rasa bersalah kerana telah menyerahkan Nadira kepada Tuan Daniel dan Puan Suzi dengan paksa. Dia tidak pasti sama ada Nadira masih ingat padanya atau anak perempuannya itu hanya menyimpan dendam dan sakit hati.

“Mudah-mudahan kamu berdua akan jumpa dia. Kalau jumpa sampaikan salam ayah pada Nadira.”

“Ayah tak nak kami bawak Nadira ke mari? Mesti ayah nak tau macam mana keadaannya sekarang, kan.”

Tergerak Tajol bertanya. Dia tahu hati tua Haji Embong tidak pernah melupai Nadira. Kadangkala orang tua itu merenung gambar Nadira semasa tinggal di Al-Mustaqim. Mata Haji Embong akan berair dan merah.

“Dia marah ayah agaknya. Biarlah...kalau Nadira gembira dengan kehidupannya sekarang, tak payahlah ayah ganggu lagi.” Suara hatinya tidak sama dengan apa yang diucapkan. Hakikatnya Haji Embong terlalu ingin bertemu Nadira sementara ada hayat dikandung badan.

“Abang Zariq...Abang Tajol...bawaklah Kak Nadira ke mari. Cik Ah nak sangat jumpa.”

“Yalah, bang. Midi pun sama.”

‘Nadira...aku pun rindu kau...tapiii...haaa, entah kenapa aku berharap kau tak akan pernah datang. Bukan aku benci kau. Kau kawan baik aku...cumaaa...aku tak suka Zariq asyik lebihkan kau.’ Busyra pula sedang berperang dengan perasaannya sendiri.

“Kami akan ajak jugak Nadira datang ke mari. Sekurang-kurangnya dia akan tau keadaan ayah. Zariq terkilan, sejak dia ikut orang kaya tu tak pernah sekali pun dia jenguk ayah.”

“Tak apa Zariq. Kalau dia gembira kat sana, itu pun dah menyenangkan hati ayah. Kalau dia tak nak, janganlah kamu berdua paksa dia.”

Orang tua itu sedar dia mesti berpesan seperti itu. Dia sudah masak dengan sikap Zariq dan Tajol yang akan berubah tegas bila sesuatu perkara itu melibatkan Haji Embong. Mereka tidak suka melihat Haji Embong bersedih. Kalau dengan kedatangan Nadira akan menghiburkan hati orang tua itu, mereka akan cuba memastikan perkara itu menjadi kenyataan.

“Baiklah ayah.” Zariq tidak mahu memanjangkan perkara itu walaupun dia ada perkiraan sendiri.

“Cik Ah kalau kami tak ada, tugas kamu bagi ayah ubat. Kamu Midi...boleh tolong-tolong Apong kat gerai kita tu. Jem kami dah siapkan, ada dalam almari. Kalau stok kat gerai dah kurang, kamu tambahkan.” Tajol mengingatkan.

“Kalau kau dah habis cuti, terus balik ke rumah sewa kau tu Busyra, jangan melencong ke lain pulak. Kalau kau kena culik, aku jugak yang susah.”

‘Betul ke apa aku dengar ni? Zariq ambik berat diri aku...hmmm. Zariq! Pandanglah aku. Senyuman kau buat aku cair.’ Mendengar pesanan Zariq, Busyra angguk. Hanya suara hatinya yang berkata-kata.

“Jol, beg aku dah kemas. Esok awal pagi kita gerak ya.”

“Okey bos! Kau dah check ke Kancil kau?”

“Sudah Jol. Minyak hitam elok lagi. Bunga tayar masih cantik. Brek memang tip top. RON95 aku dah isi penuh.”

“Dah...dah...tak payahlah kau sebut satu per satu. Cair tahi telinga aku. Kalau BMW tak apa jugak. Setakat Kancil kau, senyap-senyap sudah.”

“Hampeh kau! Beria tanya rupanya nak kenakan aku. Kancil tu nyawa kedua kita Jol. Tak ada Kancil tu alamat tak gerak ke mana-manalah kita. Cakap lawa konon!”

Spontan sehelai seluar kecil yang sudah berlipat dilayangkan ke arah Tajol. Tajol menepis kuat hingga terpelanting di sebelah Busyra. Busyra yang asyik melayan perasaan terus menoleh. Dia hampir terpegang seluar kecil Zariq yang berada di sebelahnya. Cepat-cepat tangannya dialihkan. Berderai ketawa Cik Ah dan Midi. Sepet mata mereka.

“Eiii! Pengotorlah korang! Tak malu betul! Macam budak-budaklah! Tak ada kerja lain ke?”

Tidak henti-henti Busyra membebel. Sebenarnya dia tidaklah marah benar, cuma terasa malu melihat sesuatu kepunyaan Zariq. Sepantas kilat Zariq menerkam seluar kecilnya. Digulung laju lalu dimasukkan ke dalam poket beg pakaiannya.

Sumpah! Dia tidak sengaja. Sudah menjadi kebiasaannya akan melempar sesuatu ke arah Tajol bila mereka sedang bergurau. Dia terlupa apa yang sedang dipegangnya adalah sehelai seluar kecil berwarna oren. Nasib baik berjenama PUMA dan tidak berlubang-lubang, kalau tidak lebih aiblah dia.

“Maafkan Zariq, ayah. Tak sengajalah, yah.”

Merah padam muka Zariq bila Haji Embong menjelingnya tidak sudah-sudah. Haji Embong menahan ketawa. Dia seperti sedang berdepan dengan Zariq dan Tajol seperti sepuluh tahun yang lalu. Kenakalan kedua-duanya adalah perencah yang menambah rasa dalam sisa-sisa kegembiraan Haji Embong yang masih ada. Merekalah tempat Haji Embong menumpang kasih sayang.

“Ayah...Busyra ke bilik belakang ya.” Cepat-cepat Busrya hendak beredar. Entah mengapa dia malu-malu pula untuk terus berada di situ. Seperti Zariq telah menggodanya dengan cara yang tersendiri. Susah juga bila Busyra sudah ditimpa perasaan.

“Pergilah.”

Bergegas Busyra menyarung sepasang selipar berlainan warna. Sesudah itu dia berjalan laju tanpa menoleh lagi. Daun pintu bilik belakang dibuka dengan keras. Dia meluru duduk di tepi katil sambil tangannya menyentuh dada yang sedang dug dag dug dag.

“Isyyy! Kenapa aku jadi macam ni? Adoi! Tak pasal-pasal berpeluh aku.”

Busyra mengelap peluhnya dengan tisu. Kakinya digoyang-goyangkan ke depan ke belakang. Dia sedang berusaha membuang debaran di hati. Entah apa yang merasuknya. Hanya kerana sehelai seluar kecil Zariq yang terpelanting di sebelahnya, Busyra sudah seperti gila bayang. Belum lagi Zariq menjampi serapahnya.

Berhempas pulas Busyra memerangi perasaan jahat yang tiba-tiba menjelma dalam kepalanya. Cepat-cepat diingati semula pesanan Haji Embong. Jangan kalah dengan bisikan syaitan. Jangan lemah dengan nafsu sendiri. Kata Haji Embong lagi, perempuan baik pasangannya adalah lelaki baik dan lelaki baik akan memiliki perempuan baik.

“Astaghrirullah hal azim. Fuuu...fuuu...fuuu.” Berkali-kali nafas panjang dihembus keluar.

“Haaa...baru lega. Ya Allah...jangan biarkan aku jadi gila.”

Takut juga Busrya kalau-kalau dia akan menjadi kurang siuman akibat perasaan yang tidak diundang itu. Kaki yang digoyang masih belum berhenti. Ia dapat membantu Busrya untuk berasa tenang semula.

“Apa pulak yang aku pijak ni?”

Terasa hujung jari kakinya tersentuh sesuatu di bawah katil. Keras. Busrya membongkok untuk mengintai apa yang ada di bawah katilnya. Memang betul, ada sesuatu di situ. Busyra tertarik melihatnya. Cepat-cepat diambil lalu dikuisnya sedikit habuk yang melekat.

“Gelang bertali! Cantiknya...eh, ada nama Zariqlah! Kenapa ada kat sini? Dia masuk ke bilik aku ke?”

“Macam nak hadiahkan kat aku je. Tapi tak sukalah surprise macam ni. Ada ke patut dia letakkan bawah katil.” Tersenyum tersengih Busyra.

Badannya direbahkan ke katil. Berbaring sambil bermain-main dengan gelang bertali. Diusapnya ukiran nama Zariq. Kemudian gelang bertali itu diletakkan pada batang hidungnya. Matanya pula tegak merenung siling. Siling putih bersih itu akhirnya nampak berbalam-balam. Matanya mengecil sedikit demi sedikit. Akhirnya terpejam rapat seperti dilekat dengan gam.

Busyra terlena bersama impian yang hanya dia saja yang tahu. Sejak dia dan anak-anak Al-Mustaqim yang lain terpisah, dia mula kenal erti rindu. Tidak ada yang lebih dirindui selain Zariq. Sebab itu pada setiap kelapangan dia akan melawat Zariq. Secara tidak langsung dia juga akan dapat bertemu Tajol dan Haji Embong. Mereka juga adalah sebahagian daripada dirinya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku