Kukejar Kau Lari
Bab 29
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1546

Bacaan








Daniel Family Store Bangsar sangat sibuk. Masalah kekurangan pekerja masih belum dapat diatasi. Hardy dan Nadira meringankan tangan untuk memeriksa stok barangan. Tuan Daniel selalu menasihatkan mereka supaya tidak hanya goyang kaki di pejabat tanpa mahu membantu pekerja-pekerja mereka di pasaraya. Walaupun Hardy selalu mengasari pekerja, dia masih ringan tulang.

Nadira terjengkit-jengkit sewaktu mengira susunan barang-barang di dalam stor. Disangkanya dia akan lebih tinggi sesudah beberapa tahun berlalu. Kenyataannya pertambahan ketinggiannya tidak terlalu ketara. Lenguh juga batang lehernya yang terpaksa terdongak-dongak dan tertinjau-tinjau. Kalau dia berdiri di sebelah Zariq sudah tentu Zariq jauh lebih tinggi.

“Zariq! Eh!...mana perginya?”

Tiba-tiba dia teringatkan Zariq. Dalam masa yang sama bola matanya bulat apabila terpandang tangan kirinya sudah kosong. Baru Nadira sedar, tidak ada lagi gelang bertali yang melekat di situ. Nadira tertunduk-tunduk dan mencari di lantai pasaraya. Mana tahu ikatan gelang terlerai lalu gelang itu telah terjatuh tanpa pengetahuannya.

“Mana ni? Alahaiii...mana perginyaaa...habislah...habislah.”

Berpusing-pusing Nadira mencari. Hardy yang berada di depan peti makanan sejuk beku memanjangkan leher melihat Nadira yang pelik. Macam kucing hilang anak. Berkali-kali Nadira berlegar-legar di tempat yang sama. Resah gelisah tidak menentu.

“Cari apa?”

Hardy sudah mendekat. Perasaan ingin tahu mengasak kepalanya apabila melihat muka Nadira yang malap seperti lampu minyak tanah tidak bersumbu. Nadira tidak mengendahkan. Dia mengintai pula di antara susunan botol jem, mana tau gelang bertali sudah jatuh ke situ.

“Tak ada jugak.” Nadria menghentak kaki.

“Dah kenapa ni? Orang tanya buat pekak je? Kerja dah siap?”

Semasa bekerja Hardy adalah seorang yang tegas. Dia tidak membezakan di antara pekerja biasa dan yang berpangkat. Sewaktu mula-mula Nadira bertugas di pasaraya itu dia sering diherdik oleh Hardy hanya kerana beberapa kesalahan kecil. Ketika itu Hardy masih tidak dapat menerima Nadira dengan baik. Percakapannya selalu sinis dan menyakitkan. Pernah juga tangisan Nadira terhambur di hadapan pekerja-pekerja lain akibat sudah tidak tertahan dengan sikap Hardy yang buruk.

“Belum! Gelang dah hilang...penat cari tapi tak jumpa?”

“Hah! Gelang? Gelang lima ringgit tu? Dah hilang tak payahlah cari. Nanti abang boleh ganti. Berapa nak?”

Suhu Hardy tiba-tiba naik tinggi. Dia tidak suka Nadira terlalu mengingati Zariq. Sudah10 tahun belum pernah sehari pun Nadira melupakan lelaki yang entah bagaimana rupanya itu. Susah sungguh Nadira hendak melupakan nama itu..

Kalau dulu Hardy tidak ambil peduli setiap kali mendengar Nadira bercerita tentang Zariq kepada Sulastri. Kebelakangan ini, dia begitu kisah dengan perkara itu. Dia sudah muak mendengar nama Zariq. Zariq begitu, Zariq begini. Siang malam hanya Zariq.

“Kenapa abang ni? Memanglah gelang tu tak mahal tapi Nadira sayang!”

Nadira turut berbahang. Sakit hati dengan mulut Hardy yang cakap lepas. Disangkanya Hardy sudah berubah 100%, sudah berpusing 360 darjah. Rupa-rupanya dia hanya berubah angin. Mungkin sudah jemu menjadi jahat, kemudian tidak seronok pula untuk menjadi baik. Berbalik asallah sikap lamanya.

“Sekarang waktu kerja! Faham? Eh! Kalau abang jumpa gelang tu kan, abang kuis dengan kaki masuk longkang. Gelang tu memang sesuai duduk dalam longkang!”

“Boy! Kau bukan abang aku! Kau sombong! Aku benci kau!” suara Nadira tertahan-tahan. Dia tidak mahu akan ada orang lain yang mendengarnya.

Terpempan Hardy mendengar kata-kata Nadira. Dia seperti terkena sengatan kala jengking. Garang betul Nadira! Jauh berbeza dengan Nadira yang dia kenal. Matanya terkebil-kebil. Hardy sedang cuba untuk mempercayai yang berdiri depannya adalah Nadira yang dulu pemalu dan penakut.

“Bukan...maksud abang, gelang tu bukan penting pun. Boleh beli kat mana-mana. Bila-bila masa je abang boleh belikan.”

Hardy berusaha merendahkan suaranya. Tidak mahu berbalah dengan Nadira. Selebihnya dia sedang cuba untuk memujuk gadis itu. Kalau boleh Hardy mahu Nadira melupakan semua yang berkaitan dengan Zariq. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia mahukan begitu. Yang pasti dia tidak menyukai nama itu.

“Tak penting buat abang tapi sangat penting untuk Nadira! Abang orang kaya, tak akan pernah faham ini semua. Abang pernah hidup sebagai anak yatim?”

“Tak! Tak pernah sekali pun!” Nadira betul-betul marah.

“Itu kehidupan kami...itu dunia kami. Zariq dan yang lain-lain keluarga Nadira. Mereka sebahagian diri Nadira. Abang pernah tau apa itu nilai persaudaraan tanpa ada hubungan darah? Apa itu kasih sayang tanpa ada ikatan kekeluargaan?”

“Tak! Abang tak akan pernah tau sama-sekali. Abang anak orang kaya. Tidur atas duit. Mudah nak dapatkan segala-galanya. Tapi bukan kami. Kami berdikari untuk hidup. Berjimat cermat untuk makan. Bila ada undangan dari orang kaya macam abang, barulah kami dapat makan sedap. Tapi kami tak pernah kisah itu semua. Tau apa sebabnya?” Nadira menyoal, dia juga yang menjawab.

Hardy masih terkebil-kebil. Tidak berani mencelah. Setiap kata-kata Nadira pedas dan tajam. Nadira masih tetap tegak depannya. Hanya pandangan Nadira yang kosong bersama fikiran yang melayang jauh. Sedang tercari-cari kenangan masa lalunya.

Pipi Nadira mula basah. Bibirnya bergetar ketika kenangan itu menjelma semula. Satu per satu berlegar dalam kotak hitam kepalanya. Menjelma suara-suara Zariq, Tajol, Busyra, Cik Ah, Midi dan yang lain-lain. Suara ketawa riang, juga suara tangis hiba. Pesanan Haji Embong dan Mak Jah juga masih segar dalam ingatan.

“Sebabnya...kami saling menyayangi walau dalam serba kekurangan. Kami diajar bersyukur dengan apa yang ada. Abang tak akan pernah tau itu semua kan?” sayu.

“Ermmm...maafkan abang kalau abang silap.”

“Hardy anak orang kaya ke yang minta maaf? Atau insan yang sudah faham yang hidup ni ada bahagian-bahagiannya? Ada orang yang bernasib malang dan ada orang yang dilimpahi kemewahan. Yang mana satu?”

Adoi! Bisanya kata-kata Nadira. Tidak padan dengan comelnya. Hardy jadi tidak menentu. Dia sendiri tidak pasti jawapan untuk soalan Nadira. Masihkan dia sebagai manusia yang ego atau adakah sudah berubah menjadi seorang insan yang dapat memahami orang lain.

“Abang hina gelang murah tu bermakna abang hina Zariq. Hina Zariq sama jugak macam hina kami anak-anak yatim.”

“Errr...bukan macam tu maksud abang. Tak ada niat apa-apa pun. Cuba Nadira bertenang, jangan emosi. Kalau emosi semua jadi serabut.”

Barulah Hardy bersuara. Itu pun takut-takut berani. Bukan takutkan Nadira tapi ada perasaan lain yang menghalangnya untuk mengasari Nadira. Padanya apalah sangat dengan Nadira, dengan sekali hendik tentu gadis itu akan menikus. Anehnya dia selalu berat hati untuk melakukannya.

“Emosi? Haaa...entahlah. Apa yang abang katakan betul-betul buat Nadira tersinggung. Nadira tak akan kata macam tulah pandangan orang kaya terhadap orang miskin macam Nadira. Tak adil kalau Nadira beranggapan sebegitu.” Nadira cuba mengawal perasaan. Dia cuba untuk berlembut.

“Papa mama baik, tak macam abang. Hmmm...agaknya inilah ujian yang Allah beri untuk papa mama.”

“Apa maksud Nadira?” Hardy tidak sedap hati.

“Mereka dilimpahi kemewahan...tapi tak ada anak yang merendah diri. Abang sombong. Sedangkan itulah harapan terbesar papa mama pada abang. Nadira pernah dengar mama berdoa sambil menangis. Harap abang fikirkan apa yang Nadira katakan.”

Sesudah meluahkan semuanya, Nadira terus melangkah pergi. Fail pengiraan stok ditinggalkan begitu saja. Dia juga tidak ada hati untuk mencari gelang bertali yang hilang. Mungkin bukan hari ini. Esok saja. Malas untuknya berdepan dengan Hardy lebih lama lagi.

“Arghhh! Budak kampung! Nak mengajar aku!”

Kotak kosong di hujung kaki disepak ke susunan botol kicap. Sebiji botol jatuh ke lantai pasaraya lalu pecah. Lelehan kicap mengalir telah mengotori lantai. Hardy memandang sekali lalu dan membiarkan saja. Hatinya sedang panas. Sudah agak lama dia tidak semarah itu terhadap Nadira.

“Memang tak boleh bagi muka! Sudahnya kepala aku nak dipijaknya. Nak menunjuk pandai, nak mengajar Hardy Daniel! Kau tu siapa? Kalau mama tak kutip kau dah lama jadi kucing kurap!”

Kalau tadi Hardy menasihatkan Nadira supaya tidak emosi, sekarang dia pula yang terbakar hati. Kalau boleh diintai hatinya, mungkin sedang berasap. Kemudian akan hangus rentung menjadi hitam legam. Marahnya tidak dapat dikawal.

“Dahlah tak siapkan kerja ni! Bencinya aku!”

Perasaan yang pernah berada dalam dirinya sepuluh tahun dulu datang lagi. Nadira bukan adiknya. Hanya dia waris tunggal Tuan Daniel dan Puan Suzi. Dia juga pewaris rangkaian pasaraya di seluruh Malaysia.

“Taulah macam mana aku nak ajar kau, Nadira!”

Dengan hati yang bengkak Hardy terpaksa melakukan tugas itu seorang diri. Ditahan-tahan rasa marahnya hanya kerana mahu menyudahkan tugasan dengan baik. Kalau tidak memikirkan pasaraya itu hak milik keluarganya mahu saja dipecahkan semua barang di dalam stor itu. Biar berbayar rasa sakit hatinya.

Keadaan stor yang agak panas itu membuat badannya berbahang. Hati yang mendidih semakin menggelegak. Kalau diletakkan sebiji telur pada dadanya mungkin telur akan beku. Tumpuannya pada apa yang sedang dilakukan agak terganggu.

“Ah! Terpijak pulak! Bala betullah!”

Kaki seluarnya diangkat ke atas. Marahnya berganda. Tumpahan kicap dibiarkan saja. Dia akan meminta tukang cuci membersihkan sesudah tugas pengiraan stok selesai. Buat masa ini dia mesti terus fokus pada kerja.

“Nadira tolong.”

Nadira yang tidak sedap hati membiarkan Hardy melakukan tugasan itu sendirian telah datang semula. Dia mahu melupakan untuk sementara kejadian yang baru berlaku. Tugas tetap tugas. Tidak perlu dicampur aduk dengan masalah peribadi.

“Kenapa botol kicap tu pecah?”

Hardy masih diam. Buat-buat tidak dengar. Dia menjauh sedikit. Memeriksa jumlah paket minyak masak di dalam kotak. Nadira memandangnya lama. Sedikit pun Hardy tidak menghiraukan. Nadira menarik nafas. Hardy buat hal lagi. Sikap lamanya muncul semula.

‘Suka hatilah orang kaya. Tak nak bercakap dengan aku, sudah!’

Tempatnya berdiri ditinggalkan. Nadira pergi ke sudut lain. Masih banyak barang yang perlu dikira pada penghujung bulan seperti hari itu. Lebih baik dia menghadap benda-benda mati daripada berdepan dengan Hardy yang hidup tapi tidak ada perasaan itu.

‘Sepatutnya aku yang terasa hati. Eleh, baru nasihatkan sikit dah sentap. Susahlah kalau spesis betul sendiri je. Langsung tak boleh terima teguran.’

Gadis itu tidak peduli lagi kalau Hardy bersikap dingin. Dia sudah pandai berfikir. Dia juga tidak mahu bersikap lemah lagi. Cita-citanya hanya satu, Nadira mahu mencari keluarganya sewaktu di Al-Mustaqim. Dia mahu hidup bersama mereka. Cukuplah pengorbanannya untuk Puan Suzi selama ini. Dia mahu melakukan sesuatu untuk dirinya pula.

‘Mana dia?’

Dalam bencinya Hardy tercari-cari Nadira pula. Terintai-intai dari jauh. Yang nampak hanya sebahagian daripada badan Nadira. Nadira terlindung oleh rak-rak barangan yang besar dan tinggi. Melihat Nadira tidak pedulikannya, Hardy menggelisah pula. Serba tidak kena. Kenapa? Kenapa?

‘Isyyy! Ilmu apa dia pakai?’ rungut Hardy.

Semasa Nadira beralih ke tempat lain dan memusingkan badannya, mereka telah bertembung pandang. Nadira biasa-biasa saja, seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Bahkan cepat-cepat dia berlalu. Hardy pula yang gelabah.

‘Budak kampung! Kau betul-betul nak boikot aku ke? Kalau tak nak bercakap, sekurang-kurangnya senyumlah macam selalu.’

Nadira diintai lagi. Kali ini Hardy tidak dapat melihatnya. Mungkin Nadira sedang bertinggung untuk memeriksa barang-barang yang berada di rak paling bawah. Lama mata Hardy berada di situ sambil mengharapkan Nadira akan cepat berdiri. Sayangnya apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

Sepatutnya Hardy berasa gembira bila Nadira mendiamkan diri. Sekurang-kurangnya Nadira tidak akan bercakap tentang sesuatu yang menyakitkan hatinya. Hal sebaliknya yang berlaku. Hardy seakan kekurangan sesuatu.

‘Kenapa aku tak ingat kucing Parsi macam aku ingat dia ni? Baru sejam dua tak bercakap rasa dah makan tahun. Hati aku ni degil sangat kenapa? Ke dia dah mandrem aku?’

Mulalah Hardy membuat andaian seperti orang kurang siuman. Kalau Nadira dengar sudah tentu gadis itu akan mengeluarkan kata-kata yang tajam dan bisa sekali lagi. Hati Hardy akan terasa seperti disembur dengan serbuk cili Allagapas. Pedas dan menyengat.

“Nadiraaa!”

“Opsss! Apa aku dah buat ni? Gila betullah Hardy!” Cepat-cepat Hardy menekup mulutnya. Akibat terlalu memikirkan tentang Nadira, dia terpanggil Nadira. Tidak sengaja.

“Mintak-mintak dia tak dengar.” Suaranya separuh berbisik.

“Nak Nadira tolong apa?”

“O mak kau!” Terkejut bukan main Hardy bila Nadira sudah berdiri di belakangnya. Nadira menahan ketawa. Melatah pula Hardy.

Terasa tebal tiga inci muka Hardy. Bila pula Nadira bertukar tempat? Tidak ubah seperti silap mata. Atau diakah yang terlalu banyak berkhayal hingga tidak sedar Nadira sudah bergerak ke sana ke mari sejak tadi lagi. Banyak stok yang sudah dibereskan oleh Nadira. Hanya Hadry saja yang tegak di situ tidak beralih-alih.

“Dah siap?”

Hardy tidak mahu Nadira mengesyaki apa-apa. Mulalah dia berlagak sebagai seorang ketua. Sedangkan berpeluh juga ketiaknya untuk menyorokkan rasa malunya kerana tidak sengaja memanggil Nadira. Hajat hatinya hendak berperang dengan Nadira seperti sepuluh tahun dulu tidak menjadi.

“Sikit lagi. Tinggal belakang sana tu.”

“Nak tanya tentang tu je?” Nadira berasa pelik. Selalunya Hardy tidak pernah ambil tahu cepat atau lambatnya dia menyudahkan apa-apa saja tugas yang perlu dilakukan.

“Habis tu apa lagi?”

‘Huh! Dia yang panggil lepas tu nak tunjuk sombong! Nasib baiklah dia cuma abang jadi-jadian aku. Abang segera. Kalau tidak, malu aku besar aku nak mengaku dia abang aku.’ Ejek Nadira dalam hati.

“Senyum kenapa?” Garangnya Hardy!

“Eh! Mana ada senyum? Pandai-pandai je. Dahlah Nadira nak siapkan kerja. Malas nak gaduh-gaduh lagi.” Nadira pergi.

“Fuuu...nasib baik dia tak syak apa-apa. Mulut aku ni pun satu!”

Untuk mengelakkan perkara itu berulang lagi, Hardy menyibukkan diri dengan tugasnya. Sekurang-kurangnya mata nakalnya tidak merayau tanpa kawalan. Mulutnya pula tidak akan gatal mengucapkan sesuatu tanpa arahan akalnya terlebih dulu.

Matanya sudah mendengar kata dan suaranya sudah disekat pada kerongkong tapi bibirnya pula tidak lekang dengan senyum sumbing. Hardy sendiri tidak tahu kenapa dia perlu tersenyum. Hanya bibirnya saja yang ringan hendak melakukan. Hardy! Hardy!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku