Kukejar Kau Lari
Bab 31
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2013
SEJAK kecil Nadira dibesarkan di Rumah Anak-anak Yatim Al-Mustaqim. Namun dia harus pergi kerana diambil oleh keluarga angkat yang kaya-raya. Dia protes namun tidak berdaya untuk menolak. Dia tetap jua meninggalkan rakan-rakannya - Zariq, Tajol dan Busrya.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
27137

Bacaan








“Kamu berdua suka dengan hadiah yang mama pilih?”

“Suka sangat pa, ma...mesti mahal kain tu. Nadira nak buat gaun labuh. Cantik tak ma kalau Nadira buat gaun labuh?”

‘Cantik tak ma kalau Nadira buat gaun labuh?’

Hardy mengajuk. Dia sedang cuba mencipta benci terhadap Nadira. Bila difikir-fikirkan seperti tidak ada alasan untuk dia bersikap begitu tapi dia tetap mahu melakukan. Alasan yang diciptanya sendiri adalah hendak melepaskan rasa sakit hatinya sebab Nadira sudah berlagak pandai. Hendak mengajarnya konon!

“Mestilah cantik. Kalau orangnya dah cantik, pakai apa pun nampak cantik. Lebih-lebih lagi anak mama ni. Dahlah putih melepak, kecik molek pulak tu.”

“Betul kata mama. Buatlah apa yang Nadira rasa sesuai. Apa yang Nadira suka, kami pun suka. Asalkan menutup aurat.” Tambah Tuan Daniel.

“Terima kasih mama, papa.”

Tidak lekang senyum Nadira. Seronok sungguh dapat hadiah dari Itali. Maklumlah Itali bukan dekat. Bukan terletak di sebelah Bukit Antarabangsa. Ole-oleh dari jauh itu dibelek lama. Seumur hidupnya itulah hadiah termahal yang pernah dia ada.

‘Suka! Jangan perasanlah! Kambing kalau disarungkan baju, disolek, ditepek bedak, dipakaikan lipstik pun cantik jugak. Mama tu nak ambik hati je.’

‘Lorh! Yang kau dengki dengan dia kenapa? Bukan kau ada hati kat dia ke?’

Sebahagian suara hatinya mengejek diri sendiri. Cepat-cepat Hardy tepis. Kalau boleh bersilat, dia hendak bersilat masa itu juga. Mujur dia tidak pernah belajar ilmu mempertahankan diri itu. Susah-payah dia cuba mencari kesalahan Nadira, rupanya separuh dari dirinya tidak suka dia bersikap begitu.

‘Memang ada, tapi sikit-sikit je. Bila dia tunjuk perangai, aku dah ambik balik hati aku. Biar aku simpan. Tak bercinta pun tak apa. Bukan boleh mati pun.’

‘Amboi sombongnya! Cakap besar konon! Cantik tu...baik hati lagi. Rugi kau kalau dia dapat kat orang lain.’

‘Diamlah kau! Menyusahkan hidup aku aje!’ tempelak hati Hardy.

“Errr...hmmm.”

Sudahnya Hardy geram pada diri sendiri. 2-3 hari kebelakangan ini dia suka termelatah. Melepaskan kata-kata dengan tidak sengaja. Adakah itu sejenis penyakit bagi orang yang tidak mahu menerima kenyataan? Berpeluh dahi Hardy.

“Kenapa ni Hardy? Moody je mama tengok.”

Keadaan begini yang Puan Suzi tidak suka. Harapannya dengan meninggalkan Hardy bersama Nadira akan dapat merapatkan lagi silaturrahim di antara mereka. Rupa-rupanya sikap Hardy masih belum berubah. Tetap sama seperti sebelum ditinggalkan ke Itali.

Tuan Daniel turut kecewa dengan apa yang baru didengarnya. Hardy masih mahu bersikap seperti budak kecil yang tamakkan permainan. Entah bila dia akan berhenti memusuhi Nadira. Sebab perbuatan Hardylah yang telah merubah sikap Nadira. Nadira agak keras berbanding beberapa tahun dulu.

“Bukan ma. Hardy...Hardy tak tujukan pada siapa-siapa pun. Hardy penat kot.”

Nasib baik alasan itu muncul dalam masa yang diperlukan. Geliga juga otaknya. Dapat menyelamatkan diri dalam waktu kecemasan. Padahal bukan apa sangat tugas yang dilakukan di pejabat.

Nadira menjeling Hardy. Hardy pura-pura memandang ke tempat lain. Nadira tahu masih ada yang tidak beres. Sejak kejadian di pasaraya, Hardy dingin semula terhadapnya. Uh! Ada aku kisah! Nadira memang tidak tabik pada anak orang kaya yang seorang ini. Dia tidak seperti kedua orang tuanya yang baik hati dan penyayang.

“Macam mana keadaan pasaraya. Kamu ada pantau semua rangkaian pasaraya kita?”

Dalam bab bisnes Tuan Daniel yang lebih suka bertanya. Kalau boleh dia mahu melatih Hardy supaya Hardy tahu semua perkara. Jangan hanya mengharapkan kedudukannya sebagai anak orang kaya tapi otaknya kosong, sifar.

“Pantau jugak. Itu semuakan kerja sistem pa. Zaman sekarang teknologi yang berkerja, bukan manusia.”

“Kamu kalau bercakap memang pandai. Kalah papa. Teknologi, teknologi juga tapi teknologi tu mesti guna otak kamu. Komputer cuma sistem, kalau sistem otak kamu tak betulkan sistem komputer yang tersilap, macam mana?”

‘Adoi, kenapa berbelit-belit je soalan papa aku ni. Pengsan aku! Sejak bila papa jadi macam sorang profesor pulak ni?’

Tidak senang duduk Hardy dibuatnya. Terkulat-kulat. Beralih-alih punggung yang dihenyak di atas sofa empuk belasan ribu ringgit itu. Nadira sengaja memandang Hardy lama-lama. Puas hati Nadira.

Berada dekat dengan Tuan Daniel dan Puan Suzi adalah satu kredit buatnya. Sekurang-kurangnya Hardy tidak akan melepaskan herdikan. Inilah peluangnya untuk mengenakan Hardy yang bodoh sombong.

‘Bosan pulak tengok muka dia lama-lama. Baik aku bagitau papa tentang jem dari Cameron Highlands tu.’

“Pa, ma...Nadira ke dapur kejap ya.” Tuan Daniel angguk. Nadira berlalu.

‘Lega aku!’ Hardy menarik nafas. Berhadapan dengan Nadira selalu membuat dadanya seperti dihimpit. Lemas.

“Hardy...kamu mesti bersikap lebih bertanggungjawab pada bisnes kita. Kamu tak boleh hanya ikut arahan papa, arahan mama untuk tugas yang kamu perlu lakukan. Kamu mesti ada buah fikiran kamu sendiri. Mesti bernas.”

“Papa bukan berniaga kedai runcit satu pintu. Kalau kamu lemah dan tak tau apa-apa macam mana nak berdepan dengan masalah. Kamu mesti ada sikap berdaya saing. Cabar diri kamu sendiri, yang kamu boleh urus semua bila papa dah tak ada nanti.”

Senak semula perut Hardy sebaik mendengar teguran Tuan Daniel. Nasib baik Nadira tidak ada. Kalau tidak, tidak dapat dibayangkan betapa besar rasa malunya. Mahu tidak mahu dia terpaksa menelan setiap nasihat papanya.

Susah juga menjadi anak tunggal yang bakal mewarisi harta yang bukan sedikit. Hidup ini tidak mudah rupanya. Hendak senang pun susah. Orang yang susah, susah juga hendak senang. Dunia! Dunia! Duniakah yang membuat manusia susah atau manusia yang menyusahkan diri sendiri?

“Baiklah pa...Boy akan terus belajar. Bukan Boy tak pandai tapi umur Boy baru 23, manalah boleh jadi sebijak papa.”

“Boy, dengar sini...bijaknya seseorang bukan sebab berapa usianya tapi macam mana seseorang itu gunakan akalnya. Akal kita macam mata pisau. Bila kita guna begitu saja tanpa diasah dan ditajamkan lama-lama akan tumpul.”

Apa yang boleh Hardy lakukan selain dari menadah telinganya yang sudah tebal sejak tadi. Dia hanya mampu tunduk memandang permaidani mahal yang Puan Suzi beli entah dari mana. Sekali lagi dia sangat lega sebab Nadira tidak ada di situ. Kalau musuh ciptaannya itu turut mendengar, dia terasa hendak memengsankan dirinya di atas sofa empuk itu.

“Papaaa! Mamaaa! Nadira ada sesuatu untuk papa mama. Something special.”

‘Alah mengadanya minah ni. Tapi...nasib baik dia datang. Kalau tak alamat makin panjanglah bulu telinga aku ni dengar papa pok pek pok pek.’

Betul kata orang tua-tua, bila dah jadi buluh memang susah hendak dilentur. Bukan Tuan Daniel dan Puan Suzi tidak melenturnya semasa rebung. Tapi Hardy lebih suka memasukkan nasihat orang tuanya ikut telinga kanan lalu dikeluarkan pula melalui telinga kiri. Bukan salah ibu yang mengandung tapi salah anak yang memang tidak makan saman.

“Ermmm...roti dengan jem. Apa yang specialnya? Cuma ni ke yang Nadira belajar kat dapur tu bila mama tak ada di rumah?” usik Puan Suzi.

“Mama belum rasa lagi. Kalau mama dah rasa satu...mesti nak dua tiga lagi. Papa pun mesti cuba. Kan abang?”

‘Apa kes pulak kan, kan dengan aku!’

Sebenarnya Hardy masih ingat lagi janjinya untuk menyokong Nadira yang beria-ia mahu memasarkan jem dari Cameron Highland itu tapi sebab hatinya masih bengkak dia tetap mahu mempertahankan egonya. Biar Nadira terkapai-kapai sendiri.

“Suzi dengar tak apa Nadira panggil Boy?”

Tuan Daniel teruja. Puan Suzi juga. Mereka berbalas senyuman. Sejuk hati mereka bila mendengar Nadira memanggil Hardy ‘abang’. Barulah nampak seperti adik beradik. Tidaklah asyik beraku engkau saja.

“Sejuk perut mama tengok perubahan kamu berdua. Kan bagus. Tak adalah mama selalu risaukan kamu berdua lagi.”

‘Huuu...’ Hardy makin bosan.

“Hihi...abang jaga Nadira elok masa papa mama tak ada, kan bang?”

Sengaja Nadira hendak mengurat hati Hardy supaya menyokong pandangannya tentang jem Strawberi dari Cameron Highland itui. Lagi pula dia tidak mahu bermasam-masam muka di depan orang tua mereka. Nadira tidak mahu merosakkan kegembiraan yang dibawa balik dari Itali hanya disebabkan sikap mereka yang kebudak-budakan.

‘Kan abang...kan abang...tak sudah-sudah dia ni!’ omel Hardy.

“Betul kata Nadira tu pa. Jem ni lain sedapnya. Tak macam jem yang kita selalu jual. Masih ada kasar-kasarnya. Manisnya pun rasa asli lagi.”

Terpaksa juga Hardy menyokong walaupun dengan rasa malas. Sejujurnya dia turut bersetuju jika rangkaian pasaraya mereka memasarkan produk yang berkualiti itu. Ia tentu akan disukai oleh pengguna. Lebih-lebih lagi jaminan halalnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Ia buatan tangan oleh bumiputera yang sudah tentu seorang Muslim.

“Baik...papa rasa satu. Ambik satu Suzi. Betul ke apa kata anak-anak kita ni. Kalau ya, mereka memang bijak. Ada kemajuan...silap-silap boleh digandingkan.”

“Ya kan abang...macam pinang dibelah dua.”

‘Erkkk! Apa mama ni? Dah sampai belah-belah pinang pulak ni. Semacam je bunyinya. Ngeri pulak aku dengar. Lagi pun ni idea aku, dia ni menyokong je.’ Nadira menelan air liur.

‘Mama ni ada udang sebalik batu ke? Parahlah mama ni.’ Hardy begitu juga.

“Ermmm...sedap, memang sedap! Apa pendapat Suzi?...hulur papa sepotong lagi, Nadira.” Laju Nadira memberi sekeping roti lagi kepada Tuan Daniel.

“Sedap. Belum pernah rasa jem seasli ni dalam pasaran. Mama pun nak sepotong lagi.” Kembang hati Nadira. Seperti telur yang dipukul untuk dibuat kek.

“Lulus!” Satu perkataan dari Tuan Daniel.

“Lulus pa? Maksudnya okey? Boleh?” Nadira terasa hendak lompat bintang tapi ditahankan. Dia belum pasti jawapannya.

“Papa akan pasarkan!”

“Yesss! Yesss! Terima kasih pa, ma!”

Oleh kerana terlalu gembira Nadira telah melompat di hadapan mereka. Hingga terlupa Hardy sedang memerhatikannya. Dia segembira itu tapi kenapa muka Hardy macam tempoyak yang kena lenyek dengan timun. Tidak pasti apa yang sedang dirasai oleh Hardy. Tidak gembirakah dia?

‘Kau menyeksa aku, Nadira. Kau melompat nampak lebih comel. Kenapa dalam kepala aku sekarang ni tak ada jem, tak ada pasaraya...ada kau je.’ Sungut Hardy sambil melarikan pandangan apabila Nadira melihatnya.

Nadira membetul-betulkan tudung supaya tertutup semula dadanya. Menyesal pula dia. Kenapalah dia termelompat depan Hardy? Serik! Dia berikrar tidak akan melakukannya lagi. Nadira duduk semula di sebelah Puan Suzi.

“Maaf pa...ma...kalau Nadira berlebihan tadi.” Malu.

Tuan Daniel ketawa kecil. Kedengaran sangat menyenangkan. Puan Suzi senyum lalu memegang tangan Nadira. Lega hati Nadira. Beransur hilang rasa malunya. Tuan Daniel bersandar pada sofa untuk mencari keselesaan. Belakangnya terasa agak lenguh.

“Nadira dah suarakan pada pembuat jem ni?”

“Belum pa. Mereka masih tak tau apa-apa. Tapi kami tau rumahnya. Papa bolehlah jumpa mereka. Buat rundingan.”

“Tak perlulah. Papa serahkan pada Nadira sebab papa sangat percaya Nadira boleh lakukan. Papa banyak kerja di ibu pejabat.”

“Bila Nadira boleh ke sana pa?”

“Bila-bila...tak ada tarikh tutup. Asalkan Nadira dah bereskan semua kerja pejabat yang tertangguh. Pastikan juga gaji pekerja sudah berbayar. Berdosa membiarkan pekerja kita kekeringan peluh tanpa dibayar gaji tepat waktunya. Papa tak suka macam tu.”

“Baik pa. Nadira akan bereskan semua.”

Diam-diam Tuan Daniel berasa bangga terhadap Nadira. Anak perempuan yang memilih untuk bekerja daripada melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi itu berkebolehan dalam bidang perniagaan. Desikasinya memuaskan. Nadira bijak memanipulasi apa-apa saja untuk memajukan rangkaian pasaraya mereka. Agak berbeza dengan Hardy yang agak lambat bertindak.

“Nadira boleh bawak semua ni ke dapur, sayang.”

“Baik, ma.”

Nadira mengangkat semula dulang kecil berisi botol jem Strawberi. Empat potong roti sudah habis dimakan oleh Tuan Daniel dan Puan Suzi. Kali ini ekor mata Hardy tidak lagi mengekori langkah Nadira. Malas hendak memandang. Takut hatinya akan berperang lagi.

“Kamu patut contohi adik kamu, Hardy. Dia muda tapi berwawasan. Papa tau tentang jem tadi, ia idea Nadira sendiri. Adik kamu cepat nampak apa yang boleh dikormesilkan. Secara tak langsung dapat juga kita membantu bumiputera macam kita.”

Mulut Hardy berat untuk digerakkan. Dia hendak bertanya bagaimana Tuan Daniel tahu itu adalah buah fikiran Nadira tapi hatinya seakan menahan. Dia pasti kalau dia masih gatal mulut untuk bertanya sudah pasti akan lebih banyak lagi puji-pujian untuk Nadira yang terpaksa didengari.

Puan Suzi tidak mahu masuk campur. Biar lelaki dengan lelaki yang bercakap, berbincang, berdebat atau apa saja. Dulu dia dan Tuan Daniel selalu begitu. Mereka sering berbincang dan kadangkala berlaku perdebatan yang sihat semata-mata mahu membangunkan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Pada waktu itu Tuan Daniel sangat yakin berniaga itu akan memberi kejayaan besar kepadanya. Sebagaimana dia meyakini sembilan dari sepuluh punca rezeki adalah dari perniagaan. Tuan Daniel mahu berjalan seiring sunnah Rasulullah saw.

“Kamu tak ada nak cakap apa-apa Hardy?

Kebisuan Hardy membuat Tuan Daniel bertanya. Dia tidak senang melihat Hardy yang pasif. Hardy hanya menggeleng lesu. Tuan Daniel yang mengharapkan akan ada respons yang baik dari Hardy berasa agak kesal. Anak tunggalnya itu selalu tidak bersemangat bila memperkatakan tentang perniagaan mereka.

“Buat masa ni tak ada pa. Nanti Hardy fikirkan dulu. Hardy mintak diri dulu, nak masuk tidur.”

Hardy bersalaman dengan kedua orang tuanya lalu meninggalkan mereka yang hampa. Kalaulah Nadira itu anak kandung mereka, alangkah bagusnya.

“Nadira naik dulu pa, ma. Mata dah berat.” Muncul saja dari dapur Nadira juga minta diri. Esok masih ada tugas-tugas penting yang perlu dilakukan di pejabat. Dikucupnya pipi Puan Suzi dan tunduk hormat diberikan kepada Tuan Daniel. Tuan Daniel angguk dan senyum. Nadira berlalu dari situ.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku