ANTOLOGI JIWA KACAU : TIGA BALA
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 12 April 2013
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)
1697

Bacaan






“Matilah pulak!”

Aku tersentak mendengar perkataan itu. Terus aku pandang ke arah Ramli di sebelahku.“Apa yang mati?” tanyaku.

“Huh, nak beat score sendiri pun susah,” rungut Ramli sambil meletakkan telefon pintarnya ke atas meja makan. Soalanku dibiarkan tak berjawab. Matanya memandang ke luar restoran. “Mana mamat sorang nih? Kata pukul satu, ni dah pukul berapa dah ni?” bising Ramli lagi.

“Siapa yang kau ajak ni sebenarnya?” kataku mengubah topik sambil mengacau air sirap limau di dalam gelas.

“Alah, kawan lama kitalah. Tunggu jelah kejap lagi dia sampailah,” balas Ramli ala kadar.

Aku tak faham apalah yang si Ramli ni nak berahsia sangat. Entah-entah awek cun kot yang dia ajak. Kalau awek, tak apa. Tapi kalau bukan, siap.

“Ha, tu dia pun dah sampai,” Ramli mengangkat tangan memberi signal memberitahu kedudukan mereka. Mataku mengikut arah pandangan Ramli. Di luar restoran, kelihatan seorang lelaki mengangkat tangan membalas.

“Alah, jantan ke..” kataku separuh hampa. Kemudian aku perasan sesuatu. Aku kenal ke lelaki ni? Aku mengejipkan mata beberapa kali, biar nampak lebih jelas.Biar betul apa yang aku nampak ni? Bukan ke itu…? Ah sudah.. Dadaku mula berdebar tak pasal-pasal.

Semakin dekat lelaki itu, semakin kuat jantung aku berdenyut. Wajah dan tubuhku terasa panas tiba-tiba. Sah aku kenal lelaki ini. Suatu masa dulu aku pernah berdoa dengan keras agar aku tidak akan berjumpa lagi dengan lelaki ini buat selama-lamanya. Dalam banyak-banyak malaon, kenapalah mamat ni juga yang diajak si Ramli!

“Masri!” Ramli bangkit dari duduk dan menyambut salam yang dihulurkan. “Lama betul tak jumpa kau. Ada dekat sepuluh tahun jugak kan?” Ramli kelihatan gembira, tanpa secubit pun rasa bersalah.

Aku tidak menghulurkan tangan. Aku juga berharap yang Masri tidak menghulurkan tangan, agar tidak perlu susah payah aku menyambutnya. Menyentuh lelaki tersebut adalah perkara terakhir yang aku akan lakukan di dalam dunia ni. Aku sekadar menjeling saja dengan ekor mata. Itu pun dengan susah payah.

“Azmil,” lelaki itu menyebut namaku perlahan dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Nak sambut ke tak nak nih? Dalam pada aku berfikir, tangan aku yang mungkin dah biasa secara automatik menyambut salaman Masri. Ah tangan ni pun! Sebaik saja tanganku digenggam tangan Masri, aku rasa macam dengan nyawa-nyawaku sekali digenggam dan dilumat oleh Masri. Aku hanya mampu senyum kelat.

“Tak sangka kau ada sekali,” tambah Masri lagi. Senyuman di wajahnya kelihatan seperti dibuat-buat. Atau hanya aku yang perasan. Heh, jangan kata kau, aku pun tak sangka yang hari ini aku akan jumpa kau. Sebab tak sangkalah kita berjumpa. Kalau dah sangka, jangan harap aku ada dekat sini sekarang.

Selepas itu, aku tidak bercakap banyak. Aku hanya banyak mengangkat kening dan mengangguk-angguk saja. Selebih perbualan adalah di antara Ramli dan lelaki bernama Masri itu. Aku cuba untuk tidak memberi perhatian kepada perbualan mereka. Yang menjadi mangsaku adalah telefon pintarku. Habis semua benda di dalam telefon pintarku aku godek dan baca.

Kemudian kedengaran bunyi telefon Masri.

“Hello? Ya, kenapa wak?” jawab Masri. Sejurus kemudian dia bangkit dari kerusi. “Kejap ya, korang,” katanya lalu beredar ke sebuah sudut untuk lebih privasi.

Buk! Satu tamparan hinggap ke bahuku.

“Kau ni apahal senyap je?” tanya Ramli.

Aku baru nak buka mulut, tapi aku nampak Masri dah datang semula.

Guys, aku kena gerak dulu la. Ada hal emergency kat rumah,” beritahu Masri. Ada riak kerisauan di wajahnya.

Is everything okay?” Ramli bertanya di dalam bahasa orang putih yang pekat bunyi Melayunya.

“Takde apa-apa. Okeylah. Jumpa lagi bila-bila nanti ya!” Masri hanya bersalam dengan Ramli dan sekadar mengangkat tangannya kepadaku. Aku hanya mengangkat dagu sedikit. Nasib baik Masri tak hulur salam. Bagus, nampaknya dia dah faham keadaan di antara dia dan aku.

“Jumpa lagi? Not in this life bro..” jawabku sendiri di dalam hati sambil memerhatikan dia pergi.

***

“Jom blah,” Aku terus bangkit sebaik saja Masri hilang dari pandangan.

“Kejaplah weh. Air aku tak habis lagi nih!” balas Ramli. Terkocoh-kocoh dia menyedut limau aisnya sampai bunyi berkeruk-keruk.

Aku buat tak peduli dan terus ke kaunter membuat bayaran. Aku bengang dengan Ramli. Aku bengang dengan Masri. Aku bengang dengan situasi sekarang. Dah lama aku tak rasa macam ni. Sudah lebih sepuluh tahun. Ya, kali terakhir aku rasa begini adalah sewaktu kali terakhir aku bertemu Masri.

PRAPP!!

“Arghh!” Kaki kiriku terasa pedih sesaat. Langsung aku terjengket-jengket sekejap. “Ah bodoh betullah! Kat sini pun boleh seliuh!” marahku dengan diri sendiri. Mataku memandang pada tiga anak tangga cetek yang telah meragut sebatang urat aku. Langsung tak kelihatan berbahaya. “Dah mulalah sial dia ni...” rungutku lagi.

“Woi Azmil! Apa kena dengan kau ni hah? Bapak sombong gila kau dengan si Masri tadi,” Ramli terus bising sebaik keluar dari restoran.

“Kaki aku seliuhlah bodoh,” jawabku sambil mengurut buku lali kiriku.

“Seliuh? Macam mana boleh terseliuh?” tanya Ramli lagi. Ada nada macam nak tergelak di dalam kata-katanya. Tanya konon.

Aku malas nak jawab yang aku terseliuh kat tangga cetek tu. Sia-sia saja jadi bahan gelak ketawa karang. “Dahlah jom balik,” ajakku.

Perjalanan melintas jalan ke kereta yang tak sampai 20 meter terasa begitu jauh apabila aku perlu berjalan terhincut-hincut. Asalkan pijak saja kaki kiri, terasa bisa menjalar dari buku lali ke seluruh badanku.

“Kau boleh drive ke?” tanya Ramli sebaik sampai ke kereta.

“Aku seliuh kaki kiri. Bawa kereta auto tak pakai kaki kiri,” jawabku acuh tak acuh. Pintu kereta kubuka.

“Yalah, tapi tak sakit ke?” Ramli tanya soalan bodoh. Memanglah sakit, lagi mau tanya. Selepas kejadian tadi, jangan harap aku nak bagi Ramli putuskan apa-apa lagi. Karang dia bawa pergi jumpa Masri pulak naya je. Aku akan kawal situasi ini sendiri.

“Sakit hati aku lagi daripada kaki aku ni kau tau!” panas aku mula membuak keluar semula. Berdesing bunyi enjin kereta kuhidupkan.

“Apahal kau tetiba nak marah-marah je ni? Kalau pun kau ada hal dengan si Masri tu, apsal kau nak marah-marah kat aku pulak?” kata-kata Ramli bagaikan minyak yang dituang ke api.

“Memang aku marah kat kau! Semua ni kau punya pasal lah! Kenapa kau tak bagitau yang mamat tu yang kau ajak! Rahsia konon! Kalau kau bagitau kan senang! Bolehlah aku blah je. Aku memang tak nak jumpa dia pun! Kau tengok apa dah jadi! Sampai kaki aku seliuh-seliuh,” Aku dah hilang sabar. Aku lepaskan geram pada pintu kereta yang berdentum aku tutup.

“Eh, kaki kau seliuh apa kena mengena dengan aku ajak Masri minum?” lekeh Ramli sambil mengenakan talipinggang keledar.

“Tu lah kau tak tau. Aku memang pantang dengan dia tu. Dia tu dari dulu lagi bawak bala dalam hidup aku ni!” jawabku.

Aku tengok muka Ramli kat sebelah aku macam berkerut pun ada macam nak gelak pun ada. Rasa menyesal pulak aku bagitau. Aku tau takkan ada orang faham situasi aku ni.

“HAHAHAHA!” Ramli mula gelak macam setan. “Bala apa weh? Balakrishnan ke? Kaki sendiri terseliuh pun salahkan orang. Kau ni kelakarlah Azmil. First time aku dengar ada orang bawa bala kat orang lain nih.”

“Ah sudahlah. Cakap pun tak guna,” balasku sambil menekan pedal minyak. Kereta Toyota Viosku meluncur keluar dari tempat letak kereta menuju ke jalan besar. Hati aku masih panas. Tapi aku malas nak layankan. Biar hati aku sejuk dulu. Buat seketika kami berdua diam saja tidak bercakap.

“Dude, sorrylah aku tak bagitau kau yang aku ajak dia tadi,” kata Ramli setelah gelaknya reda. “Aku serius tak tahu yang kau dengan dia ada hubungan dua-bala nih.” Masih ada nada sarkastik pada tona suara Ramli. Sabar jelah aku dengan mamat ni. Kalau bukan sebab kawan lebih sepuluh tahun, aku dah turunkan dah kat tepi jalan ni.

“Takpelah, it’s okay kalau kau tak percaya cakap aku,” balasku cuba berlembut semula. “Cuma kalau boleh kau jangan gelakkan aku boleh tak? Aku serius tau. Kau ingat kelakar ke kalau kaki kau terseliuh?”

Fine, fine. Aku minta maaf aku gelakkan kau tadi.”

Good,” balasku pendek.

“So kau nak cerita tak kenapa kau kata Masri tu bawak bala kat kau?” tanya Ramli.

Aku telan air liur. Tadi aku nak cerita, tapi lepas dia gelakkan aku, aku dah malas nak cerita. Lagipun hati aku dah mula rasa tak sedap balik. Ahhh.. apasal pulak ni.

“Kau jangan sebut nama dia boleh tak. Aku pantang tau tak dengar nama..” Kata-kataku dipotong oleh jeritan Ramli di sebelah.

“Mil!!! Brek Mil!!!!!!!!!

Tiba-tiba aku nampak sebuah bas berwarna kuning melintang betul-betul di hadapan kami. Aku memijak brek sekuat hatiku…

DUMMMMM!!!!!

Aku dapat rasakan yang badanku bagaikan ditarik oleh satu kuasa ghaib ke depan tanpa dapat aku tahan. Tubuhku tanpa segan silu menghentam stering. Daguku terhantuk kuat ke hujung stering dan melantun kembali ke belakang.

“Arghhhh!” Aku menahan senak di dadaku. Daguku terasa pedih dan panas.

“Azmil kau tak apa-apa ke?” kedengaran suara Ramli di sebelah aku.

Okey, Ramli bersuara, maksudnya dia tak apa-apa. Aku ni yang apa-apa. Senak di dada masih belum reda. Dagu aku tak payah tengok pun aku tau sah luka. Tak tahulah berapa besar tapi aku dapat rasa darah panas menitis-nitis membasahi peha aku.

Perlahan-lahan aku cuba tarik nafas. Panik, takut, cuak, semua perasaan bergelumang bersama nafas yang aku tarik tersekat-sekat. Mataku pijar, kepalaku terasa ringan. Kemudian aku dah tak sedar apa-apa lagi.

***

“Tekan suis ni kalau nak tengok tv, dan suis ni untuk matikan tv ya.”

Aku masih ingat lagi kata-kata misi tadi. Macamlah aku ni tak pernah pakai remote tv. Aku hairan kenapa misi tu pakai perkataan ‘matikan tv’. Kenapa dia tak kata ‘tutup tv’ saja. Bukankah pantang sebut perkataan tu, lebih-lebih lagi kat dalam hospital macam ni. Patut kena ada guideline ni.

Tak ada rancangan yang menarik pun petang-petang ni. Tapi disebabkan kata-kata misi tu tadi, aku rela biar tv tu ‘hidup’ terus. Fikiran aku masih pada kemalangan yang menimpa aku dan Ramli tengah hari tadi. Aku betul-betul tak perasan langsung bas tu nak keluar simpang. Memang malang betul nasib aku hari ni. Betul ke ianya hanya sekadar malang? Ataupun… mengingatkan saja perkara tu, jiwa aku mula jadi kacau semula.

Tok! Tok! Tok!

Terkejut aku sekejap. Belum sempat aku menjawab lagi pintu telah ditolak. Wajah Ramli muncul dari balik pintu. Dia masuk tersengih-sengih.

“Amacam? Dah okey ke?” tanya Ramli. Di tangannya ada beg plastik merah berisi benda bulat-bulat. Buah-buahan barangkali.

“Aku okey je. Kalau ikut aku nak balik je ni. Doktor pulak suruh duduk sini satu malam sebab nak check katanya,” jawabku.

Check apa? Dagu kau tu ke?” tanya Ramli lagi.

Spontan aku mengusap dagu aku yang bertampal. Dagu aku tak serius pun, kena jahit dua jarum saja. Kemudian aku mengangkat baju wadku. “Ni ha,” kataku.

Mata Ramli terbeliak. “Mak aih… ada stering kat dada kau.”

Aku tengok kesan lebam berbentuk bulat berwarna merah kebiruan di dadaku. “Doktor kata tak ada patah apa-apa, cuma dia nak make sure tak ada kecederaan dalaman yang lain,” jelasku.

“Sakit tak?” tanya Ramli.

“Kau ni jangan tanya soalan bodoh boleh tak. Sakitlah. Kalau bergerak lagi terasa sakitnya.” Serentak itu muka aku berkerut menahan sakit sebab cakap kuat sangat.

“Itulah sapa suruh tak pakai talipinggang keledar,” sambung Ramli lagi. “Tengok aku okey je. Calar apa pun tak ada,” sempat lagi dia berlagak.

“Kau lain. Kau tak ada efek dengan dia,” jawabku sambil menurunkan semula bajuku.

Ramli duduk di kerusi sebelah katil aku. “Efek apa? Efek bala si Masri ke?” Selamba saja dia tanya, seolah-olah perkara itu remeh saja padanya. Sambil tu dia mengeluarkan sebiji epal dan mula mengulitinya dengan sebilah pisau bertangkai kuning.

“Yalah, siapa lagi,” geram jugak aku dengan Ramli ni. “Aku taknak sebut nama dia dan aku taknak dengar kau sebut nama dia lagi depan aku.”

“Teruk betul. Sampai sebut nama pun tak boleh,” balas Ramli yang masih khusyuk dengan epalnya.

Aku hela nafas berat. Dada aku terasa sakit. Nampaknya aku kena beritahu Ramli jugak perkara yang dah membebankan kepala aku ini sejak sekian lama. “Kau nak dengar tak kalau aku cerita?”

“Ceritalah.”

Aku membetulkan sandarku di atas katil. Sakit di dadaku mencucuk-cucuk seketika. Bila dah dapat posisi selesa, baru sakit dadaku reda.

“Hmm,” aku menghela nafas. “Macam ni. Orang tua aku pernah kata, di dalam hidup ni kita akan ada seorang yang kita pantang. Orang ini, kalau kita jumpa dia, memang hati kita rasa tak sedap punya. Rasa semacam je. Macam tulah aku rasa setiap kali aku berjumpa dengan mamat tu,” jelasku.

“Habis tu apa kaitan dengan bala yang kau dok sebut dari tadi tu?” tanya Ramli sambil menghulurkan sepotong epal padaku.

“Hoi!” Aku mengelak spontan. “Cis aku ingat pisau tadi.” Jantung aku hampir berhenti sekejap. Dada aku terasa perit semula.

“Aku nak bagi epal lah. Kau ni janganlah paranoid sangat,” kata Ramli.

“Hotak kau. Lepas apa yang berlaku tadi, sesiapa pun boleh jadi paranoid,” balas aku sambil menyambut epal yang dihulurkan.

Anyway aku tak habis cakap lagi. Orang tua aku cerita lagi, bala yang orang tu bawak, datangnya tiga serangkai. Maksudnya kalau sesuatu yang buruk berlaku pada kau sekali lepas kau jumpa dia, kau ready je la, sebab lepas tu akan datang lagi bala yang kedua dan ketiga,” jelasku tanpa berselindung lagi.

“Biar betul? Tiga serangkai?” Ramli mengangkat kening.

Aku mengangguk. “Aku tau benda-benda ni orang susah nak percaya. Tapi aku yang alami sendiri, aku taulah apa yang aku cakap.” Aku memang tak harap Ramli akan percaya pun, aku cuma nak cerita saja. Biar ringan sikit kepala aku ni. Asalkan dia tak gelakkan aku atau bodoh-bodohkan aku lagi cukuplah.

“Macam mana kau boleh tahu at the first place?” tanya Ramli lagi.

“Sebenarnya sejak first time aku kenal mamat tu memang aku dah rasa lain macam tau. Aku ingat lagi, aku kenal dia kat rumah Sarip. Masa tu Sarip buat jamuan sempena hari raya. Mula-mula aku ingat aku rasa lain macam tu sebab aku tak boleh masuk dengan kepala dia. Lepas kenal tu aku ada borak dengan Sarip pasal dia kat dapur. Rupa-rupanya Sarip pun setuju yang mamat tu memang pelik sikit. So kitorang gelak-gelaklah pasal dia. Lepas tu masa balik dari rumah Sarip kau tau apa jadi kat aku?” tanya aku tiba-tiba kepada Ramli, hanya sebab nak pastikan dia dengar ke tidak cerita aku ni.

“Apa?” Ramli dengar rupanya.

“Aku boleh tersilap naik bas kau tau. Aku totally tak sedar tau. Dah jauh baru aku perasan. Lepas tu sementara nak tunggu turun kat next stop, ada pulak satu grup brader-brader gengster ni naik. Muka masing-masing memang muka pecah rumah. Dah la aku duduk kat belakang, sedang elok sangatlah naik-naik je diorang terus datang kat aku, lepas tu kerumun aku, nak pau aku.”

Damn. Lepas tu apa jadi?” Tanya Ramli lagi.

“Nasib baik bas belum jalan lagi. Aku nekad je, bas mula gerak je aku rempuh diorang dan lari ke pintu lepas tu terjun keluar. Calar jugaklah siku aku bergolek atas jalan tar tu.”

“Pehh biar betul. Macam cedok scene dalam movie je,” balas Ramli.

“Belum habis lagi! Lepas tu aku nak cover malu, aku terus tahan teksi dan naik teksi je balik. Sekali dah sampai aku check tengok-tengok wallet aku hilang! Sial tak sial aku hari tu?”

“Hm aku tak tahu nak gelak atau menangis bila dengar cerita kau ni,” respon Ramli. “Anyway, habis tu macam mana kau boleh kaitkan semua tu dengan mamat tu pulak?”

“Itu baru satu episod bai. Lepas-lepas tu ada lagi dua tiga episod. Laptop rosak, henfon tertinggal, kasut kena curi, macam-macam lagi. Bila aku fikir-fikir balik, semua episod malang yang menimpa aku tu jadi lepas aku terjumpa dia, samada secara sengaja ataupun tak sengaja,” jelasku sejelas yang mungkin. Ramli mengangguk saja.

“Lepas tu aku mula mengelak dari jumpa dia, dan tak mahu ada kaitan apa-apa pun dengan dia,” sambungku lagi.

“Takkanlah selama kau mengelak tu kau tak pernah ditimpa apa-apa bala pun?” nampaknya Ramli masih di dalam mode tak berapa nak percaya. Aku faham, sebab soalan-soalan dia ni semua aku dah tanya kepada diri aku sendiri sejak dari dulu lagi. Kalau tak takkanlah aku boleh buat kesimpulan macam tu saja.

“Ada, tapi lain. Rasanya lain, dan selalunya sekali saja. Bala yang aku dapat daripada dia ni memang confirm tiga serangkai. Aku akan ditimpa malang satu demi satu demi satu sampai tiga kali baru stop. Dan semuanya akan berlaku di dalam hari yang sama. ”

“Hmm.. kau dah kaji habis lah ni kiranya.”

“Mestilah. Inikan berkaitan hidup aku. Lagipun bukannya susah pun nak kira sampai tiga,” jawabku lagi. Aku tau Ramli masih skeptik. Ah, aku sendiri dah mula rasa macam orang gila bila cerita benda ni kat dia. Ada yang lepas ni kena cop mat tahyul karang. Lantaklah apa dia nak fikir pasal aku. Ada perkara yang lebih penting yang belum selesai.

“Hm..” Ramli menghela nafas. “So hari ini dah..”

“Tau takpe! Tu yang buat aku risau sangat ni sebenarnya. Lepas jumpa mamat tu tadi, kan kaki aku terpeleot dekat tangga depan restoran. Tu satu. Lepas tu eksiden pulak. Tu dah dua..” balasku. Sebaik aku habiskan ayat tersebut, aku rasa bulu tengkuk aku meremang. Ahh.. aku tak suka betul perasaan yang aku tengah rasakan sekarang ni. Aku cuma cerita kat Ramli sebab kali ni Ramli telah menjadi saksi kepada kedua-dua kejadian yang berlaku. Aku dah taktahu apa nak buat.

***

Malam itu aku tak dapat tidur. Aku rasa aku takkan boleh tidur. Mata aku melilau memerhatikan sekeliling bilik wad. Aku seorang saja di dalam bilik dua orang di hospital swasta itu. Katil sebelah kosong. Televisyen masih menayangkan cerita entah apa pun aku tak tahu. Jam menunjukkan pukul dua belas malam.

Aku cuba menenangkan diri. Aku sekarang di hospital. Di atas katil hospital. Apa sangat bala yang boleh menimpa aku kat sini. Aku masih boleh berjalan walaupun macam orang tua berdengkot-dengkot. Dan aku dah pun pergi tandas awal malam tadi, supaya aku tak perlu pergi lagi di tengah-tengah malam macam ni.

Aku fikir lagi, kalau aku duduk diam saja atas katil ni, aku tak rasa apa-apa boleh terjadi pada aku. Dan esok pasti tiba juga. Bila tiba esok, aku akan jadi lebih yakin lagi, sebab tak pernah lagi jarak di antara dua bala tu sejauh ini. Sejak kemalangan tadi, sudah lebih lapan jam berlalu, dan tak ada apa-apa lagi berlaku. Mungkin betul kata Ramli sebelum dia balik tadi. Katanya dia bukannya tak percaya cerita aku, dia percaya, tapi lebih daripada itu, dia percayakan kuasa Tuhan. Tiada kuasa yang boleh menandingi kuasa Tuhan. Ya, semuanya berlaku dengan izin Tuhan. Mungkin betul semuanya hanya kebetulan. Mungkin selama ini aku yang paranoid berlebihan.

Selama sepuluh tahun aku tak jumpa mamat tu, aku tetap menghadapi malang dari semasa ke semasa. Tak pulak aku nak kaitkan dengan dia. Memanglah bukan tiga serangkai, tapi malang tetap malang. Bala tetap bala. Mungkin sebenarnya selama ini aku hanya nak salahkan sesuatu bila berlaku benda yang aku tak ingini. Fikir-fikir balik, sebenarnya aku menyalahkan takdir. Takdir yang telah ditentukanNya. Aku beristighfar sendirian. Aku dah buat keputusan untuk redha dengan ketentuan Tuhan. Kalau ditakdirkan malam ini hospital ini terbakar dan aku hangus sekali di dalamnya, aku akan redha.

***

ZRASSSSSS!!!!!

Aku membuka mataku. Keadaan sekeliling gelap gelita. Aku tak nampak apa-apa pun. Aku kat mana ni? Aku cuba bangun, namun dadaku terasa sakit. Bila terasa sakit itu, baru aku ingat kat mana aku berada sekarang. Aku mula panik. Bunyi apa tadi? Bunyi langsir diselak? Siapa tutup tv? Tanganku meraba-raba mencari remote atau suis kecemasan atau apa saja. “Misi ke tu?” tanyaku ke dalam kegelapan.

BUKK!!!!!!

“Uhhh!!” Tiba-tiba terasa satu hentakan berat hinggap di mukaku. Aku memekup daguku. Pedih kembali menjalar ke seluruh dagu dan leherku. Terasa lukaku terbuka semula dan tanganku mula basah dengan darah. “Ah apa bala pulak yang datang malam-malam ni!” fikirku.

Kemudian aku rasa dadaku pula yang dihentak kuat. “Uhuk..” Sakitnya berganda terasa. Aku cuba menjerit tapi aku tak boleh. Aku mula tercungap-cungap apabila cuba tarik nafas. Peluh mula bercucuran turun dari dahiku.

“Kau ingat kau boleh lepas?” kedengaran satu suara lelaki garau dari dalam kegelapan itu. “Aku tak tahu ilmu apa yang kau pakai, tapi selama ini aku anggap semuanya kebetulan dan ketentuan Tuhan. Tapi hari ini kau dah melampau sangat!”

Aku tak tahu apa yang lelaki ni meracau. Siapa dia ni? Kenapa dia buat aku macam ni. Serius aku rasa dia salah bilik dan salah orang. Paru-paru aku tiba-tiba saja mula mengembang semula. Aku terbatuk-batuk, cuba menyesuaikan kembali pernafasanku.

“Pulangkan balik isteri aku!!” Suara lelaki tu terus meracau di dalam kegelapan bilik. “Pulangkan balik aku kata!”

Suara itu hilang garaunya dan mula teresak-esak. Aku terus cam suara tersebut. Ini suara mamat tu! “Ma..Masri?! Kau..kau ke tu?” suara aku tersekat-sekat bersama-sama nafasku. “Kenapa dengan kau ni? Kau dah gila ke?”


*******************************************

Dapatkan kesudahan kisah ini dalam ANTOLOGI JIWA KACAU yang akan terbit tidak lama lagi!




Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku