Utama Pilihan
Pembaca
Terbaharu Wildcard Pilihan
Editor
   
ANTARA DENDAM DAN CINTA
Bab 32-Akhir
Adnil Zaff
13944
Bacaan





Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Oktober 2013

Senarai Bab :

Panas hati Lyn sudah terasa seperti tidak tertahan lagi. Penat dia menunggu. Namun Johan tidak hadir! Perbicaraan yang seharusnya bermula hari ini, tertangguh sudahnya. Melampau! Bentak hatinya marah. Sudah 3 jam dia berada di perkarangan mahkamah. Namun bayang Johan terus tidak ada. Malah telefon bimbit lelaki itu tetap tidak dapat dihubungi. Dia tahu Johan mahu mengelak. Akhirnya Lyn kembali ke pejabat. Dia mencari Johan di biliknya.

“Mana bos you?” soal Lyn garang.

Melissa terpaku memandang Lyn di hadapannya. Wanita itu berhijab! Ya Allah.. cantiknya dia. Melissa sempat memuji dalam hati. Inilah kali pertama dia melihat Lyn mengenakan tudung. Hampir dia tidak mampu mengalihkan pandangan. Macamanalah bos aku tu boleh bodoh sangat? Yang ni dah cukup lawa.. pergi pulak cari yang rupa macam tu.. keluh hati Melissa sendiri.

“I tanya bos you mana? Bukannya suruh you pandang I sampai petang!” Lyn meninggikan suaranya kepada Melissa.

“Err.. Encik Rafael ada hal di bank.”

“Bank mana?” tanya Lyn pantas.

“Kalau tak silap dia di CIMB bank, Jalan P Ramlee.” Melissa menjawab yakin.

Tanpa ucapan terima kasih Lyn turun semula ke bawah. Dia sudah tidak peduli apa-apa lagi. Kali ini Johan memang sengaja mencari pasal dengannya. Jalan P Ramlee yang dimaksudkan Melissa tidaklah jauh benar dari pejabatnya. Dia akan pergi berdepan dengan lelaki itu.

Sepuluh minit kemudian dia turun daripada kereta. Tidak perlu lama.. Lyn sudah ternampak Johan berbual berdua dengan seorang lelaki di perkarangan bangunan 4 tingkat ini. Lelaki itu kelihatan sedang serisu berbincang sambil membelek kereta Nissan Fairladynya. Dengan hati panas dia terus mendekati suaminya itu.

“Kenapa you tak datang tadi?” soal Lyn setelah lelaki itu dibalikkan kepadanya.

Terkejut seketika Johan dan lelaki itu melihat kemunculan Lyn tiba-tiba. Johan sempat memandang lelaki seorang lagi. “Sekejap ya?” ucap Johan. Lelaki itu sekadar mengangguk. Johan menarik Lyn ke tempat lain.

“Kenapa tak datang tadi? You tahu tak, dah 3 jam I tunggu kat sana. Buat malu I aja!” jerkah Lyn sudah tidak sabar.

“Bukan abang tak mahu pergi. Kereta kena tarik ni,” jawab Johan agak rendah.

“Cab kan ada? Kenapa tak naik cab? Yang you offkan phone you tu kenapa?”

“Lyn, cubalah faham keadaan abang sekarang. Abang tengah susah ni!”

“Oh! You susah I kena fahamlah. I susah you ada ambil peduli ke?” tempelak Lyn masih tidak menurunkan suaranya.

Johan menghela nafas perlahan. Bertimpa-timpa malang nasibnya. Sekarang keretanya sudah ditarik bank akibat tidak membayar bulanan semenjak 3 bulan dulu. Bukannya dia sengaja tidak mahu membayar. Tetapi hutangnya yang lain sudah meyesakkan poketnya. Dia terpaksa mengabaikan kereta kesayangannya ini. Inilah akibat tidak jujur dengan isteri sendiri. Rezeki jadi tidak berkat. Sedangkan rezeki yang Allah beri kepada seorang suami itu kerana dia mempunyai seorang isteri yang harus dijaganya.

“Postpone bila pulak kali ni?” tanya Johan akur.

“Dua bulan lagi. Ini semua you punya pasal! Kalau tak benda ni dah selesai hari ni. I dah tak sanggup nak bertangguh lagi,” jawab Lyn kesat. Lelaki itu dijelingnya tajam.

“Abang minta maaf, Lyn. Bukan niat abang nak mengelak. Tapi abang tengah ada masalah ni,” ujar Johan sambil memandang lama wajah isterinya. Hanya belas kasihan dan timbang rasa wanta itu yang diharapkannya. Dia tidak mengharap Lyn akan menerimanya semula dalam keadaan dia daif begini. Dia malu!

Lyn mendegus sendiri sambil memandang ke arah kereta Johan. “So apa cerita dengan Fairlady you tu?” ucap Lyn malas mahu melayan nada lembut Johan.

“Abang terpaksa biarkan bank ambil semula kereta tu. Abang dah tak mampu nak bayar. Terpulanglah pada bank nak lelong ke tidak,” jawab Johan agak rendah.

Padan dengan muka kau! Jalan kakilah kau lepas ni.. kutuk Lyn dalam diam. Kereta BMW x6 yang menjadi kereta pertama Johan sudah pun diambil balik. Johan memang sudah tiada kereta lagi. Mata Lyn terus dihalakan kepada lelaki yang sedang mengelilingi kereta Johan. Agaknya mungkin pegawai bank itu sedang meneliti jika ada kerosakan pada badan kereta itu.

“Dah siap ke belum?” ucap Lyn mengendurkan sedikit suaranya. Kasihan pula dia memikirkan Johan tiada transport untuk pulang. Sejahat-jahat dirinya, dia masih ada hati perut kepada suaminya ini. Hanya Johan sahaja yang tidak pernah kasihan kepadanya saat meminta izin menikah baru.

“Dah. Dia orang dah nak tarik kereta ke tempat simpanan. Lyn tolong hantar abang balik boleh? Ada barang dalam kereta yang abang kena pindahkan,” ucap Johan dengan muka lugu saat membuat permintaan itu.

Lyn terdiam seketika pada mulanya. “Cepatlah!” jawabnya serius.

Johan terus mendapatkan semula lelaki itu. Buat seketika dua lelaki itu terus bercakap sambil diperhatikan Lyn. Beberapa minit kemudian Johan terus membuka pintu keretanya. Beberapa barang milik peribadinya dikeluarkan daripada kereta. Selesai memindahkan barangan itu ke dalam kereta Lyn, wanita itu menyerahkan kunci Toyota Camry itu kepada Johan.

Permulaan perjalanan pulang ke Sri Hartamas itu, mereka berdua lebih banyak berdiam. Lyn di sebelah hanya tersandar memandang ke luar tingkap. Segala apa yang berlaku selama ini bermain lagi di fikirannya. Seperti mimpi.. keadaan dia dan Johan akan berubah jadi seperti ini akhirnya. Jika tidak kerana kereta Johan ditarik pagi tadi, entahkan sekarang ini lelaki ini sudah pun menjadi bekas suaminya. Sesampai di rumah mertuanya Johan sekadar menghentikan kereta di luar.

“Anak-anak macamana sekarang?” tanya Johan sengaja mengambil sedikit lagi masa untuk terus berada di dalam kereta itu.

“Macam tulah..” jawab Lyn kosong.

Johan mengangguk perlahan. “Abang rindu sangat dengan anak-anak,” ucap Johan lagi.

“Kalau you rindukan anak-anak kenapa you tak datang jenguk anak-anak? You nak tunggu anak-anak dah lupa siapa you baru you nak datang jenguk anak-anak you sendiri? You nikan.. bapak yang cuma tahu buat anak! Anak-anak you langsung tak peduli! Layanlah perempuan tu puas-puas. Buat apa nak pedulikan I lagi? Ada laki kalau setakat untuk nak menyakitkan hati, baik tak payah ada laki!” tukas Lyn tiba-tiba meradang dengan suaminya itu.

Johan terkaku seketika mendengar suara isteri meledak tiba-tiba apabila soal itu dibangkitkan.

“Cakap aja nak jumpa anak. Tapi tak datang jugak. Dasar lelaki penipu.. tahu berjanji aja! Tunainya takde jugak,” desis Lyn meluat.

“Sayang, bukan macam tu. Bukannya abang dah tak pedulikan anak-anak. Bukan mudah untuk abang terima semua ni, yang. Abang betul-betul kecewa sebab sayang bawak anak-anak pergi. Abang tak sanggup terus hidup begini. Abang dah tak kuat untuk melaluinya lagi. Please, come back to me..” rayu Johan tanpa segan silu. Jemari wanita itu cuba dicapainya. Namun Lyn lebih pantas mengelak.

“Dah terlambat, Rafael. Tentang kita I tak mahu kita terus bincangkan lagi. Sekarang I nak cakap pasal anak! Takkanlah sebab you nak berbini lagi you langsung dah tak mahu pedulikan anak-anak yang I lahirkan? I tahu lepas you kahwin dengan perempuan muda tu lagi ramai anak you boleh dapat dari dia. Tapi fikirlah sama perasaan anak-anak you yang lain. Takkanlah sebab you dah meluat sangat tengok muka I sampai anak-anak pun you dah tak hargai..”

“Sayang, don’t say that! Please, abang tak pernah berniat macam tu. Sumpah! Okay, kalau sayang nak abang datang jumpa anak-anak, malam ni abang datang,” ucap Johan cuba menenggelamkan kemarahan wanita itu dengan nada lembutnya.

Lyn tersenyum dalam paksaan. “You buat macam ni sebab apa? Sebab nak pujuk I atau sebab memang you ingatkan anak-anak? Rafael, antara kita ikatan tu boleh terputus kalau ditakdirkan. Tapi hubungan you dengan anak-anak sampai mati pun tetap akan terjalin. Tanggungjawab you sebagai ayah teramat besar pada ketiga-tiga anak you tu. You masih boleh bertolak tarik dengan I tentang ini semua? You nak tunggu I mengamuk baru you nak jalankan tanggungjawab you pada anak-anak? Lepas habis I mengamuk you buat apa? Lupa lagi? Layan lagi perempuan lain? Sampai bila you nak teruskan perangai sambil lewa you ni? I dah bosanlah!” tempelak Lyn pedas.

Johan menghela nafas perlahan. Terasa setiap patah bicara isterinya itu amat-amat menyiksa jiwanya. Sesungguhnya hanya Tuhan sahaja yang mengerti apa yang ditanggungnya selama ini. Memang dia bersalah. Ya! Dia akui tetapi hakikatnya jiwanya tersiksa kehilangan wanita yang paling banyak memiliki bahagian hatinya ini. Bukannya dia mahu melupakan ketiga-tiga cahaya matanya. Demi Tuhan dia tidak pernah berniat begitu. Cumanya buat masa ini dia tidak mampu untuk menerima hakikat kehidupan yang sedang dijalaninya ini. Dia tidak mampu berlagak seolah-olah hanya anak-anak sahaja yang didambakan di dalam hidupnya. Hakikatnya dia tidak cukup berpuas hati dengan sekadar memandang sahaja wanita ini dari jauh. Dia mahu lebih dari itu.

Johan mahu kesemuanya kembali kepadanya seperti dahulu. Melihat anak-anaknya yang kini sudah tidak lagi membesar di hadapan matanya membuatkan dia semakin kecewa. Tetapi dia juga sedar angan-angan itu terlalu tinggi untuk digapai oleh seorang suami dan ayah sepertinya. Namun betapa peritnya untuk dia menerima hakikat itu begitu sahaja. Dia tidak kuat!

“Maafkan abang sekali ni. Abang takkan ulangi lagi kesalahan yang sama. Abang janji, sayang..” suara Johan mula berubah sebak. Hatinya sayu memikirkan nasib anak-anaknya.

“Bertahun-tahun tahun dulu you dah janji benda yang sama waktu you cakap dengan I yang you nak kahwin dengan Laila. You minta maaf! Maaf! Maaf! Maaf! Perkataan tu memang tak pernah lepas daripada mulut you semenjak dulu,” tukas Lyn meninggi.

Johan terkelu mendengar kesalahan yang satu itu meniti lagi di bibir Lyn.

“Huh! Masih ingat? Kita tak berbaik waktu tu. I dengan dendam I pada you dan you pulak habiskan masa dengan perempuan lain di club. Kononnya sebab you kecewa sangat dengan perangai I. Kerana nak menegakkan ego lelaki you tu, you sengaja bawa berita pada I yang you nak kahwin dengan Laila, bekas kekasih you tu. You tahu apa rasanya bila suami yang baru sembilan bulan dikahwini meminta izin nak berkahwin lain sebab dia tak bahagia dengan I? You tahu bagaimana rasanya bila suami yang mengahwini I dengan restu seluruh keluarga, dengan kejamnya membuka kelemahan I depan perempuan lain?No! Lelaki yang suka mengambil kesempatan kepada kelemahan isteri macam you ni, takkan tahu apa perasaan seorang isteri! You suami yang hanya tahu isteri macam I adalah patung yang perlu siap memenuhi kehendak you tak kira masa!” ucap Lyn keras dengan jarinya ditunjalkan ke dada Johan kasar.

Johan terus berdiam menahan hati. Dibiarkan apa sahaja yang dilakukan wanita itu kepadanya. Sesungguhnya dia tiada kata-kata untuk membantah bicara Lyn.

“Tapi I admit waktu itu, sebahagian kisah tu ada juga tercalit salah I di mana-mana. I tak boleh salahkan you seorang saja. Tapi… dah enam tahun I terlupa dengan kesakitan tu, Rafael. Enam tahun sudah berlalu! Sayangnya tiba-tiba you kejutkan I dari mimpi dan beri I hirup pahitnya hempedu yang selama ini I tak pernah jangka. Ironinya.. waktu I tengah sarat mengandungkan anak you, you rupanya ada perempuan lain! Kalau dulu kisah you dengan Laila yang you bawa pada I itu cuma jenaka kosong tapi kali ini adalah hakikat yang terang dan nyata. Sekali lagi you ulangi kesalahan yang sama, iaitu you buka kelemahan I di hadapan Syiha yang konon-kononnya kerana I ni selalu tinggalkan you itulah yang menyebabkan you curang dengan I. I ni ibarat isteri yang tak tahu tanggungjawab langsung! How could you do this to me!” di akhir kata wanita itu menjerit meluahkan perasannya.

“Dulu waktu you bermadah cinta dengan I.. yang kononnya cinta you lebih tinggi dari langit. You tak pernah mention dengan I yang rupanya pada saat ini.. hari ini.. I akan menerima nasib yang sama macam beribu-ribu perempuan lain di luar sana. Ditipu, dikhianati dan dilukai oleh suami yang selama ini terlalu I percaya. Nasib I rupanya sama seperti habis madu sepah dah tak berguna lagi! Setelah itu semua, peluang apa lagi yang tinggal untuk I berikan pada you? Janji apa lagi yang laku sekarang? Dengan apa I nak pegang segala janji-janji manis you tu? I boleh pejam mata pada kesemua salah you yang lain tapi satu saja yang I membuatkan I tak boleh terima you semula. I tak boleh maafkan lelaki yang dah tinggalkan I untuk mengejar perempuan lain! Itulah satu-satunya perbuatan you yang membuatkan I merasa cukup terhina. I tak boleh! I minta maaf, I memang perempuan yang kejam. Sementelah sebelum nipun I dah ditinggalkan jadi rasanya lebih baik you fokus aja pada Syiha. Dia tentu lebih tahu macamana nak membahagiakan you!”

Johan merenung tampang isterinya dengan pandangan sayu. Rengkung bergerak-gerak menahan sebak. Nampaknya pujukannya langsung tidak mendatang sebarang kesan kepada isterinya itu. Dia tahu memang dia kejam. Tetapi sayangnya dirinya ini tidak pernah mahu mengerti. Sayangnya hatinya ini terlalu sukar untuk melepaskan wanita ini.

“Sayang..”

“Stop calling me sayang! I hate that more than I hate you! Pembohong! You hancurkan perasaan I begitu sahaja,” pintas Lyn dengan cemuhan itu.

“Sayang, please jangan cakap macam ni dengan abang..”

“You nak apa lagi ni, Rafael? Siapa abang I? You tak faham ke yang I tak nak tengok muka you lagi?” cemuh Lyn tajam.

“Takkan sampai macam tu sekali sayang hukum abang?” tekan Johan enggan mengalah.

Lyn segera menggeleng enggan mendengar. Telinganya ditekup dengan kedua-dua belah tangannya. Riak wajahnya cukup menyatakan betapa bencinya dia dengan panggilan sayang itu. “Stop calling me! You buat I semakin benci! Jantan hipokrit! Kau penipu! Aku benci jantan macam kau!” jerit Lyn tiba-tiba akibat ditekan perasaan.

Namun Johan lebih pantas memegang kedua belah tangan Lyn untuk menenangkan isterinya itu. “Sayang, calm down. Abang takde niat nak sakitkan hati Lyn lagi. Cakap dengan abang, apa yang patut abang buat supaya sayang maafkan abang. Tapi tolonglah jangan buat abang macam ni. Jangan benci abang,” pujuk Johan lembut. Kedua-dua tangan sang isteri diraihnya. Jemari itu digenggamnya erat.

Johan tahu isterinya itu mahu menangis tetapi sengaja ditahan. Dia mengerti sekeping hati itu kian terbeban oleh rasa kecewa atas kesakitan yang pernah diberikan oleh seorang suami.

“You minta I jangan benci you? Selama ni you siksa perasaan I supaya I benci you! Just take it, Rafael! Inikan yang you nakkan semenjak dulu? You nak rumahtangga kita hancur musnah. You bawa Syiha dalam hidup kita supaya hidup I tersiksa. You kata I ni perempuan yang mementingkan diri sendiri. Tapi you tak pernah sedar betapa dalam hidup I, you adalah satu-satunya lelaki yang I letakkan di tempat yang paling istimewa, Rafael. Tapi di mana pula tempat I dalam hidup you selepas perempuan tu ada? Kenapa hari ni baru you minta I jangan bencikan you? Kenapa selepas I dah mengalah baru you nak tunjuk betapa penyayangnya you ni sebagai suami? Siapa yang mementingkan diri sebenarnya selama ini?” ucap Lyn yang mulai ditekan oleh rasa sebak.

“Sayang, cakaplah apa aja. Sayang nak maki abang pun takpe. Abang terima. Itu semua memang salah abang. Tapi boleh tak selepas tu sayang bagi abang peluang untuk menebus semula kesalahan abang? Abang tak mahu kita bercerai,” pujuk Johan.

“No! I dah tak nak kembali semula pada you. Cukuplah! You jangan siksa perasaan I lagi, Rafael. Lagi cepat you lepaskan I itu lebih baik!” tekan Lyn lebih kuat dari tadi. Saat itu air matanya mula mengalir. Namun dipalingkan wajahnya dari suaminya itu. Esakannya terhela perlahan.

“Abang tahu abang memang salah. Abang memang lalai, sayang. Tapi tolonglah jangan hukum abang sampai macam ni. Macamana abang nak teruskan hidup kalau perempuan yang paling abang sayang dah bencikan abang? Abang dah hilang semuanya. Sekarang Lyn pun nak tinggalkan abang?” mendayu-dayu Johan memujuk wanita itu dengan penuh kesayuan.

“Fikirlah tentang anak-anak kita. Takkan Lyn nak biarkan anak-anak terus berjauhan dari abang macam ni? Abang perlukan Lyn dan anak-anak. Abang tahu segala apa yang abang lakukan pada Lyn dulu memang kejam. Abang tak layak meminta supaya dimaafkan. Tapi jauh di sudut hati abang, abang tak pernah berhasrat nak singkirkan Lyn dari hidup abang. Bukankah itu bermakna Lyn juga terlalu istimewa bagi abang melebihi yang lain?” sambung Johan penuh kelembutan.

Lyn menggeleng enggan menerima penjelasan lelaki itu. Tangan Johan ditepisnya kuat. “Bukan semudah tu I nak percaya you lagi, Rafael. Cukuplah! Jangan pedulikan I lagi. Semua tu hanya sia-sia. I rasa you tahu yang I ni jenis perempuan yang keras hati. Jangan membuang masa untuk perempuan macam I lagi. Pergi ajalah pada Syiha tu..”

“Abang tak nak dia..”

“Kalau you taknak dia untuk apa segala yang you buat selama ni? Saja-saja?” suara Lyn kembali meninggi kepada Johan. “I tak fahamlah you ni. Dulu you juga yang separuh nyawa gilakan dia. I ni pulak isteri yang tak tahu bahagiakan suami. I isteri yang senang-senang tinggalkan suami untuk kepentingan lain. Fine! I terima itu semua sebagai kelemahan I. Dan I terima hakikat yang you dah ada seorang perempuan yang jauh lebih baik dari I. I dah izinkan you kahwin dengan dia, kenapa sekarang tiba-tiba berubah pulak? Siapa yang you main-mainkan sekarang? I atau Syiha?” bentak Lyn keras.

Sekali lagi bicara Johan terkulum. Dia sudah tidak tahu apa lagi mahu diucapkan untuk memujuk. Susah benar untuk dia berbicara dengan wanita ini sekarang. Tambahan pula otaknya sedang serabut dengan masalah. Dia bertambah tiada idea untuk memujuk.

Buat beberapa minit yang berlalu itu mereka berdua mula berdiam. Lyn mengambil peluang itu untuk menenangkan kocakan di hatinya. Johan pula tersandar di kerusi sambil memandang wanita di sebelahnya yang masih enggan memandang kepadanya.

“You look so beautiful in that hijab, Lyn..” ucap Johan tiba-tiba. Ikhlas diluahkan dari hatinya. Namun Johan cukup yakin Lyn tidak akan berminat dengan pujiannya itu. Apatah lagi untuk merasa terbuai.

Lyn menoleh sedikit kepada lelaki itu. “Jangan puji I untuk buat I ubah fikiran I sekarang. Itu semua dah tak lut dengan I! Jangan samakan I dengan Syiha tu you. I tak hairan lagi dah dengan manis mulut you tu,” desis Lyn sendiri.

“No! Bukan macam tu. Abang ikhlas, Lyn. Abang tahu Lyn takkan ubah fikiran walau apa pun yang abang cakap. Abang sedar abang memang tak layak nak gantung harapan macam tu selepas apa yang abang dah buat. Abang cuma nak Lyn tahu yang abang suka tengok Lyn bertudung macam ni. Nampak lembut,” balas Johan perlahan.

Lyn tersenyum sinis sendiri tanpa memandang Johan. Lelaki! Lembut gigi dari lidah! Ikhlaslah sangat! Suka aku bertudung konon. Bila hati aku dah jadi macam ni. Mulalah nak tunjuk alim.. desisnya benci.

“Nak masuk jumpa mummy dulu?” ucap Johan sambil menoleh kepada isterinya itu.

“Tak. I nak balik sekarang.”

Johan mengangguk perlahan. Entah kenapa dia rasa berat pula mahu keluar daripada kereta itu. Wajah mencuka itu tetap mahu dipandangnya lagi. Walaupun tidak terhias sebarang senyuman untuknya namun dia tetap rindu.

“Abang minta maaf pasal pagi tadi tu. Abang betul-betul tak sengaja, Lyn. Abang takde niat nak mengelak ke apa,” ucap Johan cukup rendah.

Lyn hanya diam memandang ke hadapan. Kata-kata itu masih tidak mampu menarik minatnya kepada Johan. Seluruh hatinya benar-benar sudah beku.

“Abang sebenarnya tak sanggup nak melalui keadaan tu. Hati abang ni cukup meronta, Lyn. Kalau boleh abang nak Lyn fikirkan semula keputusan Lyn tu. Sekali aja lagi abang minta. Sekurang-kurangnya kita perlukan sedikit masa lagi untuk buat keputusan untuk tamatkan hubungan ni,” ucap Johan lagi.

“I takde apa nak difikirkan sekarang. I nak balik. You tolong keluar dari kereta I sekarang,” ucap Lyn tajam.

Johan menghela keluhan perlahan melihat kedinginan Lyn kepadanya. Dia tahu hati itu sudah cukup tawar kepadanya biarpun segunung ayat pujukan dipersembahkan kepada wanita ini. Tiada guna dia merayu lagi.

“Abang cuma nak Lyn berpegang kepada satu perkara. Walau apa pun keadaan kita selepas ni, abang tetap sayangkan Lyn dan anak-anak. Abang takkan paksa Lyn terima abang semula. Tapi cukuplah jangan bencikan abang. Abang tersiksa sangat, Lyn. Abang kesal keadaan kita jadi macam ni,” luah Johan sayu.

“Baguslah kalau I boleh bencikan you, Rafael. Tapi I tak boleh!” Lyn mendesis sendiri. Bukan kebencian yang paling hebat menyakitkan dirinya selama ini. Tetapi dendam yang menghuni ruang teratas di dalam hatinya ini. Betapa sakitnya jiwanya menanggung dendam ini. Johan tidak pernah tahu!

“Sayang, abang tahu abang memang bersalah semenjak dulu. Abang cuma minta sikit masa untuk abang perbetulkan balik semua ni. Itu aja! Abang tahu Lyn masih tak boleh maafkan abang. Abang takkan paksa!”

“Takde apa yang boleh diperbetulkan lagi antara kita berdua. You fikirlah pasal anak-anak you, Rafael. Jangan fikir pasal I! Takde apa lagi yang tinggal pada kita berdua. I tetap nak you ceraikan I.”

“Sebab abang fikir anak-anaklah abang minta Lyn bagi abang masa. Abang bukannya minta Lyn terima abang semula sekarang. Abang faham, Lyn. Abang tahu kesalahan yang abang dah buat terlalu susah nak diperbetulkan. Tapi abang tak mau patah semangat sekarang. Sekurang-kurangnya untuk anak-anak kita,” pujuk Johan perlahan.

“I dah tak harap you nak perbetulkan apa-apa lagi. Cukuplah kita setakat ini! I dah tak sanggup nak menadah kecurangan you buat kali seterusnya! It’s too hard for me! Hari ni you menyesal bolehlah you cakap macam ni. Esok lusa? Apa jaminan benda ni takkan berulang lagi?” desis Lyn cukup tajam dengan kerlingan ekor mata kepada lelaki di sebelahnya itu.

“Memang takde jaminan, Lyn. Soal hati dan perasaan ni memang susah kita nak jangka perubahannya. Tapi abang ni manusia, sayang. Lepas semua yang jadi pada kita, abang tahu apa yang patut dan apa yang tidak patut abang buat. Semalam memang abang khilaf, Lyn. Tapi hari ni Tuhan beri akibatnya kepada abang untuk abang fikir dan rasai sendiri. Abang pun ada perasaan bila abang nampak keluarga kita hancur macam ni. Abang tahu, sayang. Abang tak pernah termimpi melihat rumahtangga kita jadi macam ni.”

Lyn diam memandang ke hadapan. Kata-kata Johan sekadar singgah di telinganya. Untuk dipegang sebagai janji sehidup semati.. tidak! Dia serik dipermainkan oleh lelaki ini. Biarlah selayu mana pun riak yang sedang terhias di wajah itu.

Johan menghela nafas perlahan melihat kebisuan isterinya itu. Dia tahu dia tidak boleh memaksa. Sekurang-kurangnya dia harus memberikan wanita ini masa untuk memikirkan semula semuanya.

“Takpelah. Abang masuk dulu,” ucap Johan pasrah akhirnya.

Lyn sekadar mengangguk kepada lelaki itu. Pintu keretanya dibuka dan dia keluar. Buat seketika Lyn sekadar memandang Johan mengeluarkan barang-barangnya dari bahagian belakang keretanya.

Namun saat Johan sedang sibuk mengalihkan susunan fail peribadinya sebuah buku kecil terjatuh daripada bahagian atas susunan fail itu tanpa sempat ditahan Johan. Lyn terus mengambilnya sekadar untuk membantu lelaki itu.

Tanpa disangka saat diangkat buku itu beberapa keping gambar terjatuh daripada celahan buku itu lalu salah satunya terdampar di atas kakinya. Tatkala matanya memandang gambar itu Lyn terpaku. Di dalam gambar itu ada dirinya dan Johan. Kalau tidak salah latar belakang gambar itu adalah Pantai Cherating. Gambar ini adalah kenangan mereka bertahun-tahun dulu.

Setelah meletakkan fail itu di tepi Johan menoleh kepada isterinya semula. Dia lihat Lyn terpaku merenung gambar itu. Johan sekadar diam memberikan masa kepada Lyn untuk menatap gambar itu sepuas-puas hatinya.

Namun tanpa sebarang kata-kata akhirnya Lyn menyelitkan semula gambar itu ke celahan buku catatan itu. Buku itu segera diberikan kepada Johan. Kemudian tanpa memandang Johan dia terus masuk ke dalam kereta. Kerana jika dia terus berada di situ pasti Johan akan melihat apa yang berlaku kepadanya. Tidak! Dia tidak ingin membiarkan Johan melihat air mata yang sudah jatuh di pipinya saat ini.



Senarai Bab :
ADDC 1 | ADDC 2 | ADDC 3 | ADDC 4 | ADDC 5 | ADDC 6 | ADDC 7 | ADDC 8 | ADDC 9 | ADDC 10 | ADDC 11 | ADDC 12 | ADDC 13 | ADDC 14 | ADDC 15 | ADDC 16 | ADDC 17 | ADDC 18 | ADDC 19 | ADDC 20 | ADDC 21 | ADDC 22 | ADDC 23(intermisson) | ADDC 24 | ADDC-25 (What goes around must come around!) | ADDC 26 (Penyesalan murahan sudah tiada erti) | ADDC 27 | ADDC 28 | ADDC 29 | ADDC 30 | ADDC 31 | Bab 32-Akhir |
Kami, (Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan