Utama Pilihan
Pembaca
Terbaharu Wildcard Pilihan
Editor
   
kekasihku Jemah
Arsya Aisya
3052
Bacaan





Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 04 Februari 2014

Azie dan Dila jalan beriringan untuk kelas kuliah Prof Cha Cha. Langkah kaki Azie terhenti. Matanya terpaku pada sesusuk tubuh lelaki yang amat dikenalinya. Tapi dia tidak pasti sama ada lelaki itu orang yang sama dengan lelaki yang dia kenal atau tidak. Dia hanya melihat sekali imbas.

``Woi, kau pandang apa tu? Dah nak tersembul biji mata kau tu. Aaron Aziz ke?’’ Dila melawak. Bukan dia tidak tahu yang Azie tergila-gilakan pelakon Aaron Aziz. Dalam mimpi sajalah.

Dalam kad pengenalan nama Azimah, biasalah dekat kampus kenal glamor sikit. Maka terbentuklah Azie.

``Aku rasa macam nampak seseorang yang aku kenal. Tapi tak sure pula. Sebab aku nampak sisi dia aje. Kalau Aaron Aziz yang datang, aku dulu yang serbu tau,’’ Azie gelak sendiri.

``Kau nampak pucat aje. Nampak hantu orang kampung kau ke?’’ Mulut celupar Dila mula memuntahkan pelurunya.

``Kau ni kan cakap main bedal aje. Cakap tu satu doa. Tak pasal-pasal kau doakan orang mati.’’ Tegur Azie kurang senang dengan perkataan hantu yang keluar dari mulut temannya itu.

``Iyalah. Dah kau tu pucat sakan, kenapa? Nampak kawan sekampung macam nampak hantu. Tidak ke pelik tu.’’ Dila tetap tidak mahu mengalah.

``Dah lah jom. Nanti tak pasal kena bambu dengan Prof Cha Cha.’’ Dila terus menarik tangan Azie.

Malas dia nak menghadap muka kepoh Prof Cha Cha mengalah wartawan tv3. Nama betul Prof Cha Cha adalah Syasya. Dila kalau dia tidak suka orang itu, habis dia bagi nama gelaran dekat orang itu.

``Eh, Jemah!’’ panggil Khairi. Dari tadi dia perhatikan Jemah, nak tegur takut tersalah orang.

Itu suara yang amat dikenalinya. Dan nama itu yang teramat dia tidak ingin dengar. Sudah lama dia kuburkan nama itu. Janganlah nama itu kembali menghantuinya. Mustahil lelaki itu. Bukankah dia sudah sambung pengajiannya di luar Negara.

Nak pusing ke tidak? Nak pusing ke tidak? Azie berkira-kira dalam hatinya. Kalau bukan lelaki itu, buat malu saja. Sedang dia bergelodak dengan keinginannya, suara Dila memetir memanggilnya. Minah ni sorang tak reti nak cakap elok-elok, asal dia buka mulut je memetir kerjanya.

``Hoi, minah! Yang kau melangut kat situ tu lagi buat apa? Nanti tak pasal kena hempuk dengan kasut pink Prof Cha Cha yang tinggi melangit tu.’’ Sempat lagi Dila mengutuk Prof Cha Cha. Kalau hati sudah tidak suka, macam-macam cara dibuatnya.

``Dila ni kan, Prof Cha Cha ke dia yang kepoh,’’ sungut Azie.

Baru selangkah kakinya menginjak lantai suara lelaki itu kedengaran lagi. Kali ini terasa dekat saja bunyinya. Derap kaki yang makin mendekatinya selari dengan dengupan jantungnya.

``Hai, Jemah. Tak sangka dapat jumpa kau kat sini. Lama aku tak jumpa kau.’’

Lembut suara itu meniti di telinga. Tapi ia tidak mampu meredakan kemarahan di hatinya. Sudah bertahun berpisah masih juga lelaki memanggilnya Jemah. Sudah gila agaknya lelaki ini.

Azie memalingkan mukanya ke sisi kanan, hendak dijadikan cerita ketika itulah juga lelaki berdiribetul-betul di sebelah kanannya. Muka menghadap muka, hidung mereka hampir saja beradu bersama. Cepat-cepat Azie berkalih ke belakang.

Muka Azie merona merah. Marah, geram bercampur menjadi satu. Sakit hati yang teramat sangat.

``Kau ni kenapa? Dari kecil sampai sekarang tak habis-habis dengan Jemah kau tu,’’ Marah Azie. Suara masih dikawal agar tidak terlalu menarik pehatian orang.

Khairi ketawa. Suka dia apabila melihat Jemah marah-marah begitu. Macam comel aje.

``Aku suka nama tu, sama macam aku suka kaulah.’’ Sakat Khairi lagi bersama senyum nakal yang bergayut di bibirnya.

``Bengap sunggulah kau ni. Banyaklah kau punya suka. Dahlah, malas aku nak layan budak bengap macam kau ni.’’ Azie berlalu pergi meninggalkan Khairi.

Senyuman tidak lekang dari bibir Khairi. Tidak kisahlah apa yang dikatakan Jemah sekali pun. Apa yang dia tahu, hatinya amat gembira kerana berjumpa buah hati yang dipuja dalam diam itu. Dia mengekori Jemah dari belakang.

Azie melajukan langkahnya. Kali ini dia memang betul-betul lewat masuk kelas Pof Cha Cha.

``Wei, tunggulah aku.’’ Panggil Khairi menyaingi langkah Azie.

``Kau ni kenapa? Kau ikut aku buat apa?’’ Azie mengetap giginya.

``Takde masa aku nak ikut kau. Aku nak masuk dewan kuliahlah. Kelas kitakan sama, tunggulah aku sekali.’’ Khairi tersengih tanpa rasa bersalah menyakitkan hati Jemah.

Azie menjeruk rasa. Disabarkan hatinya menghadapi karenah Khairi. Dia pasti esok lusa Khairi akan terus menganggunya seperti masa dulu-dulu. Malapetaka sudah bermula. Keluh hati Azie. Episod otaknya berasap akan bermula.

**********

Berapi hati Azie hari ini. Sejak akhir-akhir ini selalu saja Khairi mengganggu hidupnya. Segalanya sudah kucar kacir.

``Jemah, jom makan tengah hari dengan aku?’’ ajak Khairi. Suaranya perlahan kerana mereka ketika itu sedang berada di dalam perpustakaan.

``Eee… kau ni kenapa? Asal jumpa aku je Jemah.’’ Azie menahan amarah yang mula hendak meletus.

Hari ini sudah berapa kali nama itu meniti di telinganya. Sakit hatinya. Kenapa nama Jemah menghantuinya? Bukan dia tidak suka akan nama itu. Kerana nama itu dia pernah dimalukan di khalayak ramai. Malu yang tidak akan dilupakan buat selamanya.

Muka Azie mencuka. Malas dia hendak melayan kerenah Khairi.

``Jemah, kau marah ke?’’

Boleh pula Khairi tanya dia marah tak. Buta ke apa mamat ni, tak nampak kepala aku sudah berasap ni. Aik, memanglah tak nampak, asap halimunan. Azie ketawa kecil dengan kata-katanya.

``Yang kau tersengih sorang-sorang tu kenapa?’’ soal Khairi hairan. Pertukaran hormon agaknya. Telah Khairi.

Azie menutup buku yang dibacanya. Habis bersepai fokus dia hendak mengulang kaji pelajaran Prof Rahman.

Khairi memandang sayu langkah Azie yang makin menjauh darinya. Dia memang suka menyakat Jemah dari dulu lagi. Hanya itu cara dia menunjukkan rasa cintanya kepada gadis itu. Tapi dari dulu Jemah tidak faham akan suara hatinya. Jemah nampak saja cantik tapi otak bengap. Aku hari-hari mengekor dia macam hantu Mak Limah, boleh saja dia buat tak tahu. Buta ke apa? Rungut Khairi dalam hatinya.

Namun untuk berputus asa tidak sama sekali. Cukuplah masa lalu yang dia tinggalkan. Kali ini dia nekad hendak memilikki sekeping hati Jemah.

``Jemah… Jemah…tak boleh ke panggil nama aku elok-elok sikit. Ini tak asal jumpa aje nak sakitkan hati aku. Asal nampak biji muka dia aje, hati aku terbakar. Haru biru jadinya,’’ Bebel Azie.

``Kau ni dah sewel ke apa? Membebel sesorang. Kau gaduh lagi ke dengan Khairi?’’ Tanya Dila. Melihatkan Azie yang seperti orang sasau dengan muka kelat bercakap sorang-sorang.

``Si Khairi tu lah, asal jumpa aku aje, takde kerja lain asyik nak menyakitkan hati aku aje,’’ Adu Azie.

``Mungkin dia sukakan kau kot,’’ Teka Dila.

``Simpang malaikat 44 aku tak ingin dengan dia tau.’’ Lancang mulut Azie berkata.

Tidak tahukah Allah mampu memusingkan hatinya untuk menyukai lelaki yang dibencinya itu.

``Kau jangan… nanti gila bayang kau bila Khairi disambar orang,’’ Dila tersenyum mengejek.

Dia dengan Khairi? Macam mana dia nak hendak dengan Khairi yang selalu menyakat dia? Tapi tak mustahil jugakan. Hati aku kalau dekat dengan dia asyik berdebar-debar saja. Ish… mustahil!mustahil! Azie menggelengkan kepalanya.

``Ni kenapa pula tergeleng-geleng? Dah lekat badi geleng ke?’’ Dila ketawa sendiri.

`Ish… mulut minah ni memang nak kena cili.’ Azie mengacip gigi. Ada sahabat pun bukan boleh tumpang waras tapi tumpang sewel.

``Kau tak hairan ke Jemah…’’ Dila berhenti sejenak melihat air muka keruh Azie bila dia menggunakan nama panggilan Jemah. Tanpa mempedulikan Azie yang menjeruk rasa, Dila meneruskan bicaranya.

``Cuba kau fikir dengan otak kau yang bengap tu dan teliti dengan hati kau yang suci murni. Kau tak hairan kat kampus ni bukan takde perempuan cantik-cantik tapi si Khairi tu asyik mengekor kau aje. Aku tengok dah macam anak kucing dengan mak kucing tau. Kalau dia tak sukakan kau, takkanlah dia mengikut aje kau ke mana. Itu namanya angau. Angaukan kau yang tak seberapa cantik ni.’’ Dalam menyucuk jarum suka ada juga tempelan sindiran Dila. Kalau dah mulut lancang, lancanglah kesudahnya.

Lama Azie memikirkan kata-kata Dila. Lahar amarah yang hampir meletus tadi kembali sejuk. Betul ke Khairi sukakan dia? Tapi… apakah dia untuk aku? Dari kecil dia selalu mengejek aku dengan nama Jemah. Suka ke macam tu? Kalau suka kenapa diejeknya aku dengan nama itu sampai sekarang? Bukan dia tidak tahu bertapa aku tidak sukakan nama itu.

Makin difikir, makin kusut. Memanglah kusut, hati dia bukan aku boleh baca. Bodoh. Azie memarahi dirinya sendiri. Arghhh… malaslah nak fikir. Kalau dia jodoh aku, terima ajelah. Habis cerita.

**********

Sudah seminggu Khairi tidak menyakat Azie. Seminggu itu jugalah Azie sepeti ayam berak kapur. Ruang kosong di hatinya, rupa-rupanya telah diisi dengan sakatan Khairi. Dia mula rindukan panggilan Jemah yang sentiasa meniti di bibir lelaki itu.

Siang malam tidurnya dihantui wajah ceria Khairi. Hendak bertanyakan kawan-kawan Khairi malu pula rasanya. Khairi bukan sahaja tidak menyakatnya tapi sudah seminggu juga lelaki itu tidak masuk kuliah. Sakitkah? Kalau sakit pasti sudah dibagitahu oleh pensyarah atau wakil pelajar.

``Kau ni kenapa? Aku tengok dua tiga hari ni gelisah aje. Makan pun tak lalu. Selalunya kalau makan tidak bertambah bukan Azielah tu,’’ Usik Dila.

Azie tidak pedulikan usikkan Dila. Hatinya rindukan Khairi. Kini dia akui yang dia rindukan Khairi. Lelaki itu telah mula bertapak di hatinya. Seminggu tidak lihat wajah itu dia sudah keresahan. Untuk mengaku kepada Dila, teramatlah malu. Bukankah dulu dengan yakinnya dia berkata tidak akan jatuh hati dengan Khairi. Sekarang sudah terbalik.

``Kau rindukan Khairi ke?’’ Teka Dila. Dila meletakkan telefonnya di atas meja belajar. Dia mendekati Azie.

``Kalau kau rindukan dia, mengaku aje lah. Bukannya ada orang lain, kau dan aku dalam bilik ni.’’ Pujuk Dila lagi. Matanya melirik ke arah telefonnya. Dalam hati dia tersenyum puas.

``Aku…’’ teragak-agak Azie hendak meneruskan bicaranya.

``Cakaplah. Aku, apa?’’ gesa Dila.

``Aku rasa aku sudah mula sukakan dia. Aku… rindukan panggilan Jemah. Aku rindukan dia.’’ Azie akhirnya mengaku. Air matanya laju menuruni pipinya.

Alangkah bagus jika luahan itu dapat dilafazkan dihadapan Khairi. Di manakah lelaki itu ketika ini? Apakah ini ujian untuknya kerana terlalu angkuh dengan diri sendiri? Jiwanya sesak. Sebelum ini dia tidak pernah merasakan begini. Kenapa Khairi menghilang setelah diketuk pintu hatinya? Mengapa tinggalkan sengsara cinta ini? Sakit menanggung rindu hanya Allah yang tahu.

Jika beginilah akhirnya, tidak mungkin dia buka pintu hatinya itu. Pasti dia akan gunakan pagar elektrik biar kumbang yang cuba mendekatinya itu mati kena karan. Tidaklah dia yang terkena karan cinta.

``Itulah kau, masa orang tu terkejar-kejarkan kau… kau jual mahal.’’ Dila kembali ke meja belajarnya. Punat merah di tekan mematikan talian.

Sebenarnya ini rancangan dia dengan Khairi. Khairi telah beritahu dia segala-galanya. Untuk mengetuk hati minah Jemah ni bukan mudah.

Eee… apa punya kawanlah. Bukan nak lapangkan hati aku tapi tambahkan lagi sakit di hati. Kurang asam punya kawan.

``Oi… tu telefon kau berbunyi tu.’’ Dila menunjukkan ke arah iphone Azie yang sudah berapa kali berkelip lampunya.

Azie mancapai telefonnya. Air mata yang bersisa diseka. Tertera nama mak. Apa hal pula mak telefon ni? Selalunya dia yang telefon maknya. Hati Azie berdebar. Ada rasa tidak enak.

``Assalamualaikum, mak!’’ Azie bersuara biasa. Menyembunyikan tangisnya.

``Waalaikummusalam. Kamu tengah buat apa tu?’’ tanya si emak.

``Menelaah buku mak. Kenapa telefon? Abah sihat ke?’’ bimbang jika penyakit lelah abahnya datang lagi.

Kalau abah sakit kenapa suara mak ceria aje. Ini mesti bukan fasal abah. Habis fasal apa?

``Jemah, mak telefon nak bagitahu kamu yang ada orang datang merisik kamu. Mak dah berkenan dengan budak ni. Kamu macam mana?’’ tanya si emak lagi.

Hah! Merisik. Biar betul. Macam mana ni? Macam mana lagi tolaklah.

``Mah… tak nak kahwin lagi mak. Belajar pun belum habis lagi,’’ Azie beralasan.

Emaknya sama dengan Khairi, selalu memanggilnya dengan nama Jemah. Nak marah emah, ikutkan sajalah.

``Nak tunggu kamu habis mengaji bilalah Jemah oi. Mak bukan suruh kahwin bertunang aje dulu. Nanti kahwinlah.’’ Pujuk emak lagi.

`` Mak…’’ Azie cuba membantah.

``Mak dah setuju. Cincin tunang pihak sana dah tinggalkan. Minggu ni kamu balik. Tunang kamu nak jumpa.’’ Tegas kata-kata emak. Itu tandanya kata emak tidak boleh dibangkang lagi.

``Tapi mak…’’ Azie berat hati. Kalau dia terima macam mana dengan Khairi? Perasaannya terhadap lelaki itu? Mampukah dia melupakannya? Walaupun baru sekejap perasaan itu berkampung di hatinya tapi kesannya amat kuat.

Azie bingung. Apa yang harus dia katakan? Nak tolak takut mak kecewa. Lagipun dia tak tahu apa perasaan Khairi padanya. Entah-entah dia bertepuk sebelah tangan.

``Ya lah mak. Nanti Mah balik.’’ Perlahan saja suara Azie melambangkan persetujuannya rela dalam paksa.

Emak pun apa lagi suka bukan main dia. Talian diputuskan. Azie membawa lara ke dalam kain selimut. Mengadu luka pada bantal peluknya. Cinta yang ada terpaksa dikuburkan. Pedih. Pedih.

``Macam mana mak cik? Jemah setuju ke?’’ tanya Khairi tidak sabar-sabar.

``Ya. Minggu ni dia balik. Yang kamu tak nak berterus terang tu kenapa?’’ Hairan emak dengan budak zaman sekarang. Nak kahwin boleh main uji-uji pula.

Khairi menadah tangan kesyukuran. Dia akan melamar Jemah dengan caranya sendiri tapi biarlah dia pastikan dulu ego Jemah cair dulu. Biar Jemah terseksa kehilangannya. Biar gadis itu tahu apa yang dirasanya selama ini.

``Mak cik, nanti Jemah balik suruh dia jumpa saya dekat wakaf sawah padi tempat kami selalu main masa kecil-kecil dulu.’’ Pesan Khairi.

Tak sabar dia menunggun hari minggu yang hanya ada beberapa hari lagi. Persiapan perlu dilakukan serapi mungkin. Biar detik indah itu menjadi kenangan abadi seumur hidup mereka berdua seperti mana kenangan nama Jemah itu. Kerana nama itu hatinya terikat dengan Jemah. Gadis comot tapi mencuit hati lelakinya.

``Iyalah. Macam-macam budak ni.’’ Bebel emak.

Khairi menyambut bebelan emak dengan senyuman meleret. Bahagia miliknya. Bukan main susah lagi nak menakhluki hati Jemah. Dia amat berterima kasih kepada Dila sebab sudi menolongnya.

**********

Azie lemah memandang rumahnya. Kaki yang melangkah tersasa berat. Padi yang melambai kepadanya, cantik menguning langsung tidak menghairahkan hatinya. Tika ini hanya satu dalam hatinya, meyakinkan lelaki itu putuskan pertunangan mereka.

Sesiapa pun lelaki itu dia nekad.

``Assalamualaikum, emak!’’ panggil Azie.

``Waalaikummusalam, Jemah. Baru sampai ya. Mari masuk, jangan tercegat macam batang pisang kat situ.’’ Ajak emak.

Emak ni… tak nampak ke aku sedang sedih. Dia ceria aje. Mentang-mentanglah nak dapat menantu pilihan.

``Abah mana?’’ azie tercari-cari kelibat abahnya.

``Ke sawah. Oh, ya! Tunang kamu tunggu kamu kat wakaf tempat kamu dan Khairi selalu main dulu.’’ Emak dengan tenang menitipkan pesanan Khairi.

Hah! Kenapa kat situ pula. Banyak kenangan pahit manis kat situ. Azie meletakkan begnya dalam bilik. Dia melangkah longlai ke wakaf itu. Dalam fikirannya dia menyusun ayat yang sebaik mungkin agar ia tidak melukakan hati lelaki itu.

Wakaf yang dulu megah berdiri kini makin uzur. Seuzur hatinya yang sarat dengan kenangan. Dulu kenangan ini langsung tidak bertempat di hatinya. Kenapa ia mengusik hati kini?

Azie ralat. Sudah lama dia menunggu namun bayang lelaki itu tetap tidak muncul. Rasa galau mula bertukar lahar gunung berapi sedikit demi sedikit.

Khairi yang memerhati di sebalik pohonan padi, perlahan keluar. Berdiri di belakang Jemah. Menarik nafas sedalam mungkin.

Aku resah menanti tanpa bertemu sehari galau hati ini

Marahmu memberi inspirasi, aku senyum melihat rajukmu

Bibirku mengukir senyum

Kerna namamu telah mengikat hatiku

Siang malam membawa rindu

Menyuburkan kasih, kerna namamu ku menanti hingga kini

Sudikah kiranya kau melengkapi hidupku

Mengulang kenangan lalu menjadi abadi.

Azie terharu. Air matanya menitis. Rupanya Khairi yang melamar dia, dan lelaki itu mendendangkan puisi kepadanya. Seperti sewaktu dahulu, yang sangkanya hanya gurauan. Mata mereka beradu sesame sendiri. Hanya untuk kali ini biarlah mata mereka yang berbicara. Rahsia hati tidak mampu diungkai dengan kata-kata.

Ada cahaya bahagia di mata Azie dan Khairi.

``Saya cintakan gadis bernama Jemah kerana dia istimewa di mata Khairi.’’

Kata –kata itu mendayu lembut menyisip ke telinga Azie. Tersenyum indah bersama sisa air mata bahagia.



Kami, (Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan