Utama Pilihan
Pembaca
Terbaharu Wildcard Pilihan
Editor
   
SUARA TENGAH MALAM Edisi RAYA: Masa Yang Ditunggu
Maria Kajiwa
2444
Bacaan





Genre: Keluarga
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 24 Julai 2014

MALAM itu Masjid Sultan Ahmad Shah agak penuh dengan jemaah. Malam itu malam ke 27 Ramadan bersamaan dengan malam Jumaat. Malam yang penuh berkat. Antara jemaah yang hadir memenuhi masjid ialah Adam dan Borhan.

“Malam ni… kau nak duduk di masjid juga ke?” Borhan bertanya sewaktu menyarung selipar. Pada waktu itu mereka baru selesai menunaikan solat tarawikh. Jam hampir ke pukul 10.30 malam.

Adam sekadar mengangguk. Bagi dia itulah tindakan yang sebaik-baiknya dapat diambil pada waktu itu. Peluang beriktikaf pada malam-malam terakhir Ramadan begitu sedikit sebanyak menyuntik kekuatan dalam jiwanya yang sedang rapuh.

“Kita pergi minum dulu,” ajak Borhan lagi sambil menepuk lembut bahu Adam.

Melihatkan kesungguhan Borhan, Adam tidak menolak. Dari kawasan masjid mereka beredar menuju ke Bandar Indera Mahkota mencari restoran buat menghilangkan dahaga dan melepaskan sedikit lelah.

“Sabarlah, Adam. Aku percaya satu hari nanti Liyana akan sembuh,” kata Borhan sebaik sahaja mereka selesai memesan minuman.

“Itulah doa aku hari-hari.”

Pendek sahaja jawapan Adam. Sesungguhnya dia tidak berhenti-henti berdoa dan berusaha agar Liyana sembuh seperti sedia kala dan pulih dari trauma. Namun nampaknya apa yang telah berlaku selama hampir tiga tahun yang lalu masih meninggalkan kesan yang mendalam pada jiwa isterinya. Kini hidup mereka bertiga sudah jauh berubah. Liyana, bukan lagi Liyana yang dahulu. Kebahagiaan yang diharapkan selepas Liyana pulang ke pangkuannya masih belum kunjung tiba.

“Aku ada mendengar satu tadabbur dari Ustaz Nouman Ali Khan. Semasa membicarakan surah Al-Qasas ayat 10 dari Juz 20 yang menceritakan peristiwa semasa ibu Nabi Musa menghanyutkan Nabi Musa di sungai, bagaimana pada waktu itu Allah swt menguatkan hati ibu Nabi Musa. Sedangkan pada waktu itu ibu Nabi Musa sudah terlalu sedih dan hampir mengalah. Ayat itu membuktikan bahawa apa pun kesedihan, kelukaan dan trauma yang dialami manusia, Allah swt mampu menentukan dan menyembuhkannya. Jadi kita berdoalah sama-sama. Mana tahu dengan keberkatan Ramadan tahun ini, Tuhan sembuhkan jiwa dia. Sabar sahajalah. Tuhan tahu bila waktu yang terbaik.”

Adam tatap wajah Borhan yang begitu tenang. Apa yang didengar makin membuahkan harapan. Dia memang mengharapkan perubahan pada diri Liyana demi kebahagiaan mereka sekeluarga. Apatah lagi demi Aiman yang sangat merindui kasih sayang seorang ibu.

*****

MENJELANG tengah malam, Adam sampai ke rumah. Pada waktu itu rumah sudah senyap sepi. Dia yakin Aiman sudah tidur. Begitu juga dengan pembantu rumah mereka. Yang dia tidak pasti ialah Liyana.

“Liyana belum tidur lagi?”

Dia pandang Liyana yang hanya duduk termenung di atas lantai di tepi katil bersebelahan tingkap. Di situlah Liyana selalu duduk menghabiskan masa. Menangis atau termenung. Kadangkala dia mendengar Liyana bercakap sendiri. Kalau tidak tahan sangat, Liyana akan menjerit dan membaling semua barang yang sempat dicapai. Kalau itu berlaku, hatinya terasa sangat pilu.

Pertanyaan Adam tidak dijawab. Sememangnya begitu sikap Liyana setelah dibawa pulang dari Melaka. Berbulan-bulan di hospital, rawatan dan kaunseling masih tidak berjaya memulihkan trauma Liyana. Akhirnya Adam membuat keputusan untuk menjaga sendiri Liyana di rumah dengan harapan, Liyana boleh pulih perlahan-lahan dalam suasana yang lebih aman. Sayangnya setelah hampir setahun berlalu, keadaan Liyana masih begitu juga.

Adam duduk di birai katil. Tanpa sepatah kata, dia merenung wajah Liyana yang murung dan kusut. Dia selalu tertanya-tanya apa yang telah dialami Liyana selama ini. Sejauh mana kelukaan hati Liyana dan sejauh mana dia sebagai seorang suami telah gagal melindungi seorang isteri. Sesungguhnya apa yang berlaku pada jiwa Liyana lebih melukakan hatinya sendiri. Adakalanya dia berasa sudah tidak berdaya menghadapi semua itu kalau tidak kerana dia percaya kepada semua janji-janji Allah swt yang tidak akan membiarkan hamba-hamba-Nya.

“Marilah tidur. Dah malam ni.” Akhirnya dia bersuara juga. Bagaimanapun situasinya, dia tetap akan bersabar dan tidak putus asa. Dia tahu dalam waktu begitu, hanya dia yang sanggup menjaga Liyana. Ibu Liyana sendiri sudah tidak mengaku anak.

“Pergi!” jerit Liyana dengan semena-mena.

Sedar-sedar sahaja dahi Adam sudah sakit. Sebotol penyembur ubat nyamuk melantun jatuh ke lantai lalu bergolek. Adam rasa pening seketika tetapi dia tidak marah. Dia cuma berharap Liyana tidak mengamuk berpanjangan kerana bimbang menganggu jiran-jiran yang bersebelahan.

“Pergi! Jangan dekat aku! Kau pembunuh!” Jeritan Liyana semakin kuat. Dia mula meronta-ronta dan menendang-nendang lantai.

Air mata Adam mula bergenang. Kalau tidak diingat yang Liyana sedang sakit, mungkin sudah hilang sabarnya malam itu. Sudah dipujuk dengan lembut, sekasar itu balasan Liyana. Malah dia tidak faham mengapa selalu dituduh sebagai pembunuh. Cuma mungkin fikiran Liyana masih keliru antara dirinya dengan Zed.

“Liyana… ni abang.” Dia cuba menenangkan Liyana yang mula menangis.

Sayangnya usahanya terus menemui jalan buntu. Liyana menolak tubuhnya malah menggigit bahunya kuat-kuat. Puas dia cuba melepaskan gigitan Liyana. Apabila gigitan itu dapat dilepaskan, dia dapati bahunya lebam dan berdarah sedikit. Liyana pula memandangnya seperti orang yang sedang kerasukan.

Adam terpaksa beristirgfar banyak kali. Dibiarkan Liyana begitu. Dia bangkit ke bilik air memeriksa luka di bahu dan menampal sekeping plaster. Rasanya agak pedih dan sengal. Setelah berwuduk, dia capai sebuah kitab Al-Quran. Dibaca agak kuat. Dia mahu Liyana dengar.

Itulah yang selalu dilakukan. Dan biasanya usaha itu berjaya membuatkan jiwa Liyana tenang dan tertidur. Malam itu sekali lagi usahanya berjaya. Hanya selepas menyelimutkan Liyana yang masih tergolek di atas lantai, dia pergi semula ke masjid untuk beriktikaf. Dia mahu memanjatkan lebih banyak rintihan dan doa. Kalaupun belum sampai masanya untuk Liyana sembuh, biarlah dia yang menjadi lebih kuat.

******

KEESOKAN harinya, dia tidak ke pejabat. Lantaran tidak banyak kerja yang perlu diselesaikan, dia membuat keputusan untuk menghabiskan masa bersama Aiman dan Liyana. Tanpa disangka-sangka Borhan datang ke rumah bersama Hanisa dan anak mereka, Damia.

“Aiman, Damia datang ni.” Adam terus memanggil Aiman yang sedang leka menonton rancangan kartun di bilik.

Tanpa berlengah Aiman berlari keluar. Setelah memeluk Borhan dan Hanisa, Aiman mengajak Damia bermain buaian di luar rumah. Tinggallah mereka bertiga sahaja di situ.

“Ni ha ada kuih raya sikit.” Hanisa hulurkan sebuah beg kertas yang hampir penuh. Bersusun bekas plastik yang berisi kuih-muih di dalamnya.

“Banyaknya.” Adam agak terkejut.

“Tahu ajelah Mak Yah tu. Nanti dia suruh datang rumah ambil lemang dengan rendang.”

Adam terdiam. Tidak tahu apa yang hendak dicakapkan lagi. Sememangnya dia belum membuat apa-apa persiapan raya. Dengan keadaan Liyana yang begitu, dia tidak dapat menumpukan perhatian. Baju raya untuk Aiman sendiri pun disediakan oleh Borhan dan Hanisa. Baju raya dia dan Hanisa masih belum difikirkan.

“Susah-susah, kau beraya ajelah di rumah aku. Bukan tak biasa.” Borhan pula bersuara.

“Tak boleh,” balas Adam perlahan. “Tahu ajelah Liyana tu.”

“Dia mengamuk lagi?” tanya Hanisa.

Adam tunjukkan lebam di dahi. Kesan lebam di bahu tidak pula ditunjukkan kerana bimbang Hanisa takut.

Borhan dan Hanisa sama-sama saling memandang. Kemudian mengeluh. Belum sempat Adam bersuara sudah terdengar jeritan pembantu rumah.

Adam menerkam ke dalam bilik. Hampir berlanggar dengan pembantu rumah yang berlari keluar.

****

SETIBANYA di dalam bilik, Adam tergamam. Liyana sedang mengamuk semula. Habis semua benda yang ada di atas meja solek dibaling ke arah dinding. Dulang yang berisi bubur nasi yang dibawa pembantu rumah kini terlungkup di atas lantai.

“Liyana… ni abang.” Dia cuba mendekati Liyana yang sedang memegang lampu tidur. Dia tahu kalau dibaling ke arah sesiapa mungkin akan mengakibatkan kecederaan.

Liyana mencerlung garang.

“Liyana... letak lampu tu,” katanya dengan lembut.

Lama Liyana mematungkan diri. Permintaan Adam tidak dipedulikan. Dia sekadar merenung ke muka pintu di mana Hanisa dan Borhan sedang memerhati dengan ralit. Entah apa yang menarik perhatiannya, Adam tidak faham.

Kemudian secara tiba-tiba sahaja, Liyana berubah laku. Liyana meletakkan lampu tidur di atas meja semula dengan tertib sebelum bergerak ke arah tingkap. Langsir ditarik dan tingkap dibuka sedikit. Dia mengintai.

Adam semakin hairan. Perlahan-lahan dia melangkah mendekati Liyana. Dia ingin tahu apa yang sedang menarik perhatian Liyana. Akhirnya dia tahu. Dia dengar.

Suara Aiman dan Damia yang sedang bermain berdua di halaman membuatkan Liyana terpaku di tepi tingkap.

Adam biarkan sahaja. Perlahan-lahan dia berundur untuk mengemaskan bubur nasi yang bersepah di atas lantai.

*****

MALAM itu malam raya. Selepas balik bersolat isyak di masjid dan bertakbir raya beramai-ramai, dia pulang ke rumahnya yang sunyi. Malah malam itu dia rasakan alam sekeliling juga amat sunyi lantaran jiran-jiran di kawasan perumahan itu kebanyakannya pulang ke kampung halaman masing-masing.

Aiman pula tiada di rumah. Mungkin kerana menyedari suasana yang agak berbeza antara di situ dan di rumah Borhan, Aiman meminta untuk bermalam di sana. Adam faham. Tentu Aiman lebih gembira beraya di rumah Borhan kerana suasana rayanya lebih hidup dan meriah berbanding di rumah itu yang seolah-olah tidak bernyawa tanpa nafas Syawal.

Dia tidak dapat berbuat apa-apa. Dia tidak mahu Aiman terhukum oleh suasana itu. Aiman masih kecil. Aiman berhak meraikan hari raya dengan gembira walau apa pun masalah yang sedang dihadapinya.

Setelah mengunci pintu, dia masuk ke bilik. Beg plastik yang dibawa masuk diletak di atas katil. Dia menjeling ke arah Liyana yang sedang berbaring membelakangkan dia. Mungkin Liyana sudah tidur, fikirnya. Dia biarkan sahaja.

Perlahan-lahan ditarik beg plastik tadi. Dikeluarkan sepasang baju Melayu berwarna coklat muda dan sepasang baju kurung yang agak sama warnanya. Baju kurung itu diacukan ke bahu Liyana. Dia tidak pasti sama ada baju itu muat atau tidak tetapi itulah sahaja apa yang termampu dilakukan sebagai seorang suami. Sama ada Liyana mahu memakainya atau tidak, itu soal lain. Apa yang pasti, dia tetap mahu membelikan Liyana sehelai baju raya. Itu sudah cukup menyuntik sedikit rasa bahagia.

Setelah puas termenung, baju Liyana dilipat elok-elok. Diletakkan di atas meja sisi di sebelah Liyana. Dia berpaling mahu ke bilik air. Dia mahu berwuduk, bersolat dan mengaji sampai pagi. Itulah sahaja kekuatannya saat itu.

*****

1 SYAWAL menjelma.

Adam hanya sedar apabila terasa bahunya digoyang seseorang. Mungkin kerana terlalu penat bersolat dan mengaji sepanjang malam, dia tertidur nyenyak di atas sejadah sehingga melepasi waktu subuh.

“Bangun, bang. Hari dah siang.”

Mata Adam terus terbuka. Dia mengambil masa yang agak lama untuk mempercayai apa yang dia dengar. Suara Liyana? Atau dia masih bermimpi?

“Bang…”

Dia terus berpaling. Besar matanya. Spontan dia terus duduk. Tercengang melihat Liyana yang sudah siap berbaju kurung dan bersisir rapi. Lama dia begitu. Tergamam dan kelu.

“Bang,” tegur Liyana lagi yang memandang Adam tidak berkelip.

“Liyana.” Adam terus memeluk Liyana. Betapa suara dan panggilan itu terlalu lama hilang dari hidupnya. Tidak sedar air matanya mengalir laju. Disulam esak Liyana yang makin kuat. Hatinya…tidak habis-habis mengucapkan syukur. Ternyata masa yang ditunggu-tunggu telah pun tiba.

Di pagi Syawal itu Adam bersujud syukur lama-lama.

TAMAT



Kami, (Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan