Utama Pilihan
Pembaca
Terbaharu Wildcard Pilihan
Editor
   
TERIMA KASIH WAHAI PENCABULKU
jaja
4096
Bacaan





Genre: Alternatif
Kategori: Alternatif
Paparan sejak 10 Julai 2015

INI kisah aku. Terjadi pada tahun millennium, tahun 2000. Tahun yang mana para bankers semua risau, semua gundah. Takut sistem komputer tak boleh nak baca atau tukar digit kosong, kosong, kosong (000) kat belakang tahun 2000 tu. Aku pun tak berapa faham sangat sebenarnya. Tapi as a banker pada masa tu, aku pun terlibat sama sebagai kuli yang hanya mengikut arahan. Maka pergilah aku ke bank pada pukul 3 pagi sampai ke subuh untuk print statement pelanggan-pelanggan secara random dan yang terpilih. Statement-statement inilah akan menjadi rujukan secara manual sekiranya pelanggan ingin membuat pengeluaran wang.

Bukan itu yang aku nak cerita sebenarnya. Yang aku nak cerita ialah malam sambutan tahun baru millennium. Malam tu untuk kali pertama aku dan adik aku keluar untuk menyambut tahun baru dengan penuh semangat tanpa muhrim lelaki di sisi. Kami menaiki teksi menuju ke KLCC dengan perasaan penuh teruja.

Biasalah tahun baru. Millennium pulak tu. Canggihlah konon. Mesti ada nyanyi-nyanyi punya (dulu masa muda aku suka, dah tak berapa nak muda ni aku bangkang!) Ella nyanyi, kemudian kumpulan rock mana tah nyanyi. Nak muhibbah sikit, seorang penyanyi berbangsa Cina dan seorang penyanyi India juga dijemput untuk menyanyi. Lepas tu ada pula artis antarabangsa. Klise.

Dekat pukul 12.00 tengah malam, sesi kira mengira budak tadika bermula. Aku dan adik aku pun turut bersemangat mengira 1 sampai 10 dengan suara yang kuat. Kalah budak-budak tadika! Tepat pukul 12 tengah malam, bunga api yang entah berapa puluh ribu nilainya dibakar. Cantik dan meriah. Kami bersorak sambil kepala berfikir,’sayangnya duit banyak-banyak bakar macam tu aje. Baik bagi kat orang kampung aku yang miskin!’ Baikkan aku!

Selesai. Manusia mula bertebaran. Ada yang terus lepak, ada yang pergi clubbing dan ada yang ‘yamseng.’ Kami dah tak tau nak tuju mana. Nak pergi kelab, kitaorang takut terminum ‘air syaitan!’ Baikkan kami! Kami takkan sentuh air tu walaupun pakaian kami ketika tu dalam kategori perempuan yang suka pergi clubbing sambil togok tequilla.

Lalu berjalanlan kami mencari perhentian teksi dengan harapan adalah sebiji dua teksi sesat untuk pulang ke Desa Pandan. Hampeh! Semua teksi penuh dan tak bergerak. Jalan sesak tahap gaban! Situasi yang biasa pada malam tahun baru tapi aku yang buat-buat tak tahu.

Kami terus berjalan hingga sampai depan Hotel Concorde dekat Jalan Sultan Ismail. Kami bertembung dengan sekumpulan budak-budak skinhead. Aku buat dek je sebab skinhead bukan taste aku. Tak selera nak pandang.

Saat berselisih, tiba-tiba aku terasa ada usapan lembut di punggungku yang berseluar jeans ketat. Darah menyirap spontan. Aku berpaling dan…

“Woi, bangang!” aku menjerit kuat. Geng skinhead berhenti dan memandang tajam ke arahku. Ngerilah tu konon! Sikit pun aku tak takut. Adik aku dah tarik-tarik tangan aku tetapi aku sentap kasar. Ini maruah beb!

“Nak penampar ke?” laung salah seorang budak lelaki berlipstik hitam. Mesti dia yang cabul aku sebab aku boleh agak dari memek mukanya yang memang tak boleh nak buat laki. Aku balas, turut menjerit, mencabarnya supaya datang dekat.

Orang sekeliling mula pandang memandang. Tapi seorang lelaki pun tak berani nak campur tangan. Lelaki tanpa telur! Itu gelaran yang aku berikan pada lelaki pengecut. Dan aku, tetap berdiri gagah merenung pencabulku dengan beraninya.

Si pencabul mula melangkah, nak sepak aku agaknya. Aku sedikit gelabah, tapi aku kawal diri. Adik aku dah gelabah gila. Mukanya dah macam nak nangis. Tiba-tiba kawan-kawan dia tarik dia balik, sambil menggeleng-gelengkan kepala. Apahal? Aku nampak dia marah tapi ditenangkan kawan-kawannya. Kemudian dia memandangku sambil menghalakan jari telunjuknya pada aku. Amaran darinya sebelum dia melangkah pergi. Aku lega yang teramat!

Mana tak leganya. Aku dengan adik aku kecik je tau. Sekali kena sepak memang patah riuk kami berdua! Aku ber’alhamdulillah’ di dalam hati. Masa tu baru ingat Allah s.w.t. Padahal tadi, maghrib dan isyak dah kantoi.

Aku pandang wajah adik aku. Jelas nampak riak lega yang amat. Sedikit rasa kesal dengan tindakan bodohku. Kalau budak skinhead tadi naik angin, bukan aku seorang yang teruk, tentu dengan adik aku sekali kena. Tanpa sedar aku ber’alhamdulillah’ lagi!

Kami terus berjalan hingga ke jalan Raja Chulan dan duduk di perhentian teksi. Masa duduk-duduk itulah baru aku terfikir akan segala apa yang berlaku. Dan dalam diam, aku scan balik apa yang telah terjadi.

Sebenarnya pencabul itu telah membuatkan aku berfikir. Kalau tak kerana pencabul itu, tentu aku tak terfikir betapa bahayanya tindakan aku itu tadi. Bayangkan kalau mereka sahut cabaran aku! Aku rasa paling kurang pun kami dibogelkan kat situ juga. Nasib baik tahun tu tahun 2000, yang mana jenayah remaja tak seteruk sekarang. Kalau benda tu jadi zaman sekarang, tentu gelaran ‘arwah’ dah ada kat depan pangkal nama aku. Tentu dekat situ juga aku kena belasah sampai mati.

Sorry to say, pada pendapat peribadi aku, remaja sekarang cepat baran dan cepat pula hilang pertimbangan disebabkan oleh gajet-gajet yang canggih sekarang ni. Mungkin mata dan minda terlalu fokus pada gajet, lepas tu tindak balas kimia, sinar infrared bagai menyebabkan sel-sel otak remaja sekarang menjadi huru-hara. Entahlah…

Dan aku juga bersyukur, pada masa tu telefon bimbit masih dianggap sebagai barangan mewah. Tak semua orang boleh memilikinya. Juga masa tu hanya VVIP saja yang mampu memakai telefon yang mempunyai kamera. Kalau tidak, harus video aku kena raba bontot dengan skinhead dah jadi viral. Tapi bila fikir balik, rasanya tak adalah video aku tu viral sangat sebab budak-budak sekarang ni, sorry to say lagi, yang pakai tudung pun dengan bangganya rela diri diraba oleh lelaki. Lepas tu boleh pula muatnaik dengan perasaan penuh poyo. Tak ke bangang tu!

Dan yang paling aku bersyukur, aku mula muhasabah diri. Aku analisis balik apa yang aku pakai malam tu. Walaupun sekadar jeans dan t-shirt, tapi ketat siotttt… menonjolkan mana yang berbukit dan mana yang tonggek. Memang patut pun aku kena cabul! Sebab tu jangan nak salahkan perogol kalau kena rogol!

Memang betul ada orang cakap, yang kena rogol tu tak seksi pun. Malah menutup aurat dengan sempurna lagi. Tapi korang pernah fikir tak, mungkin perogol tu baru lepas tengok kita yang pakai seksi dan ketat hingga nafsu mencanak. Lepas tu tak tahan, dia muat turun pula porno kat smart phone. Lepas tu dah tak tahan sangat, dia tibai je mana-mana perempuan, hatta perempuan berhijab untuk mengeluarkan ‘semen’nya yang dah bergelodak nak keluar! So, wahai kaum hawa, jangan jadikan diri kita indirectly penyumbang kepada jenayah rogol!

Selepas itu aku mula menukar gaya pakaian aku. Walaupun rambut tetap lurus ber’rebonding’ tanpa ditutup, aku mula pakai t shirt dan seluar yang longgar, mula memakai baju kurung ke pejabat dan bila datang gian sekali sekala, aku hanya akan memakai yang ketat dan seksi dalam rumah sahaja.

Aku juga taubat tak nak pergi dah sambut tahun baru. Sebab masa aku balik rumah masa sambutan tahun baru millennium itu, lebih kurang dalam pukul 7 pagi, sepanjang perjalanan aku melihat manusia bergelimpangan tidur dekat tembok-tembok atau tepi bangunan. Sungguh! Lelaki perempuan, yang pakai dress atau kot, yang pakai seluar pendek dengan singlet. Semuanya sama saja. Tertidur sebab letih enjoysakan dan letih menunggu teksi. Malah aku tidak boleh lupa apabila melihat seorang gadis cantik dengan dress kuning paras lutut, tertidur dengan botol arak di tangan. Masa tu aku bayangkan diri aku yang berada ditempat gadis itu. Dan aku bayangkan pula aku sudah tidak bernafas pada masa itu! Sungguh aku takut!

Semuanya dapat aku lihat dengan jelas sebab kereta yang aku naiki masih terperangkap dalam kesesakkan lalu lintas yang teruk walaupun hari sudah terang. Dan bertitik tolak dari peristiwa aku dicabul itu, aku mula berazam untuk berubah menjadi insan yang lebih baik. Sesungguhnya pada saat itu juga, langsung tiada dendam pada pencabulku. Malah kalau aku jumpa dia, aku akan cakap,

“Awak, terima kasih sebab cabul saya!”

Oh, ya. Ada satu lagi sebab yang harus aku berterima kasih pada pencabulku. Disebabkan dialah aku bertemu dengan cinta pertamaku! Disebabkan oleh dialah aku dan adikku mengambil keputusan untuk berjalan hingga ke perhentian bas dekat Jalan Raja Chulan. Kalau ikutkan hati, memang aku buat bodoh je lepak kat kaki lima Hotel Concorde atau Hard Rock Café sampai siang.

Dekat perhentian bas itulah aku bertemu dengan dia, cinta pertamaku! Dia menawarkan diri untuk menghantar kami pulang. Dan kami pun dengan gatalnya tanpa memikirkan kes pemerdagangan orang atau kena culik, terus menerima perlawaan itu.

Dan sesungguhnya pencabul itulah yang menemukan aku dengan cinta pertamaku walaupun dia sudah menjadi kenangan terindah. Dan yang paling penting, pencabul itu telah membuka segala kekhilafan pada diri aku hingga mendorong aku untuk menjadi gadis yang baik-baik…dan bukan sekadar wanita penghias dunia. Oleh itu memang patut pun aku ucapkan,

'Terima kasih wahai pencabulku!'




Kami, (Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan