Utama Pilihan
Pembaca
Terbaharu Wildcard Pilihan
Editor
   
Diam Si Kuntum
HANNA JOHAN
892
Bacaan





Genre: Fantasi
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 11 Julai 2015

Cerpen

Diam Si Kuntum

Oleh Hanna Johan

SEMALAMAN Harum bersengkang mata. Teman yang merajuk enak menjamah tilam usang di kamar sepi. Harum kasihan, Harum simpati. Tahap perasaan paling dalam meresap merusuh diri. Kuntum lena menjamah mimpi. Wajah yang tenang, sesekali terusik kerutan yang mungkin disinggah igau ngeri.

Seminggu sudah didapati Kuntum hilang dari rumah. Namun baru semalaman Kuntum dijumpai sedang lena di bawah pohon pisang kepunyaan Harum. Dipimpin temannya pulang ke teratak usang yang letaknya di balik kebun buah-buahan Harum. Pepohon yang sedang ranum berbuah melihat gelagat dua teman itu, yang sedang asyik menjalin pimpinan agar sampai ke teratak dengan selamat. Kelihatan pohon rambutan yang lebat berbuah merah mengenyet mata kepada pohon mangga. Masing-masing terbuai oleh pawana petang yang damai.

Saksi alam kepada kejadian itu seperti meleraikan resah terpendam. Harum hanya melihat mainan pepohon dan tanamannya, riang mengusik sesama sendiri. Dia tahu benar, pohon langsat gemar mengusiknya tika Kuntum datang bertandang. Senyumnya pudar tiba-tiba. Harum ligat menyusun fikir, mengapa Kuntum terdampar seperti itu? Adakah Kuntum menjadi santapan rakus Si Jalang yang sedang asyik memburu mangsa serakahnya? Ah…jangan! Tidak sekali…Jangan!

Tempoh semalaman cukup meretak aman dalam hati Harum. Makan, tidur dan mandinya serba ditebak bisikan jahat. Adakah Kuntum sudah tidak suci lagi? Jangan…! Tidak sekali...

“Kuntum, bangunlah!” Tiada saksi pepohon yang riang lagi. Kuntum masih membisu. Hanya mimik wajah yang tiba-tiba terusik igau dilihat berlegar-legar erat. Duduklah Harum menatap diam Si Kuntum di pojok kamar sepi.

Sejak kehilangan Kuntum, teratak mewah papa dan mama sekejap-sekejap sunyi. Lebih banyak aktiviti menung dan renung berlangsung. Aksi papa dan mama turut disertai Mekar dan Kuncup. Kedua-dua anak ini tiba-tiba menjadi anak yang patuh mengikut saja gelagat papa dan mama yang tidak diarah. Tidak seperti sebelum kehilangan Kuntum, kedua-dua anak ini cukup keras menurut pinta papa dan mama.

“Di mana Kuntum, bang?” Sebut mama.

“Manalah Kak Kuntum? Semua kerja dalam rumah ini tak terurus. Bila Kak Kuntum nak balik?” Amarah membuak daripada Mekar dan Kuncup.

Mekar seorang anak tengah yang kerap membuli Kuntum. Kuncup pula anak bongsu yang akrab mengarah Kuntum. Kuntum masih diam, diperlakukan seadanya daripada adik-adiknya itu.

“Kuntum sayang adik-adik Kuntum, Harum.” Begitulah setiap kali ucapan Kuntum apabila dia diarah itu dan ini daripada adik-adiknya yang tidak ubah seperti majikan zalim menyebat emosi pembantu rumah.

“Kuntum, kau terlalu penyabar. Curahan sayang dan kasihmu tak berbalas sepatutnya. Aku…aku geram lihat kau diperlakukan seperti hamba oleh adik-adikmu.” Harum seorang teman baik sering melepas amarah atas hal yang menimpa Kuntum. Hanya senyuman berbalas di bibir Kuntum.

“Biarlah, suatu hari nanti bila Kuntum tiada…mungkin mereka akan sedar.” Harum lekas-lekas melempiaskan telunjuknya yang panjang ke hujung bibir Kuntum. Senyuman Kuntum masih berbekas menghalang kedut duka terbias di wajah teman baiknya.

Kini, Kuntum benar-benar hilang. Kuntum dan bayang-bayangnya tidak pulang lagi ke teratak mewah. Kuntum lesap. Keluarga di teratak mewah itu hanya sekadar menung dan renung. Buntu akan cara untuk melemaskan diri dalam pencarian ahli keluarga mereka yang seorang itu. Pada awalnya, mama dan papa mahu panjangkan usaha pencarian kepada pihak media. Pencawang yang ada di mana-mana ceruk, pasti saja akan ketemu jasad dan nyawa Kuntum.

Tindakan mama dan papa disekat hebat. Usaha mama dan papa ditentang kuat. Mekar lantang bersuara, “Jangan mama, jangan papa! Nanti akan menjejaskan reputasi mama dan papa kerana tidak pandai mengasuh anak hingga lari dari rumah.”

Kuncup turut menyatakan pesanan yang hampir serupa, “Jangan…jangan sekali-kali dipanjangkan kepada pihak media. Reputasi kami, anak-anak mama dan papa yang kemuncak menara gading ini pun pasti dijaga. Pasti ada saja buah mulut yang meludah kepada kami kerana berbuat jahat kepada kakak sendiri.”

Ya, pastinya kalian yang meminta buah-buah mulut meludah kelat perbuatan kalian. Tidak pernah sekali kalian sedar, hati Kuntum bukanlah bola yang mudah disepak ke sana dan ke sini. Perasaan Kuntum bukanlah seguni gula yang boleh disorok dan digadai setamak nafsu. Kuntum sepatutnya kalian hormati. Diam dan sabarnya perlu kalian hargai. Kuntum anak yang baik. Kuntum kakak yang baik. Tapi kalian…sengaja merobek dan menghancur perasaannya. Hingga kini, Kuntum tidak pulang lagi.

“Mama, papa! Mari lihat akhbar hari ini…’Bunuh Diri Lagi.’”

Desas desus angin tidak sayup melintas ruang masa. Mama dan papa laju mendapatkan Mekar yang asyik membelek helaian akhbar. Kuncup langsung senyap di hujung sofa menonton televisyen. Sesekali terdengar gelak tawa yang panjang. Hatinya tidak terusik pada tajuk akhbar yang dilaung Mekar. Beberapa hari lepas saja dia mendengar berita yang sama. Hakikatnya, kisah pujukan diri pada jalan yang salah sering saja berulang-ulang setiap hari. Pada fikirnya, sekarang ini musim menjunanmkan diri ke lantai kiamat. Maut diundang sendiri, jalan paling mudah menyelesaikan masalah.

“Syukurlah bukan Kuntum. Ke mana dia bang? Sampai bila kita akan menanti duduk dan bermenung begini? Mari kita laporkan saja pada media dan pihak polis. Abang?” Papa serba salah mengenangkan rayuan mama. Seolah-olah ada resah yang mengganggu papa apabila mama menyebut nama polis.

Seketika Kuncup mengeluh. Siaran gelak tawanya beralih kepada ‘Berita Terkini’, “Buang bayi lagi! Apa jenis bapaklah, anak sendiri dirogol. Akhirnya melahirkan benih daripada anak kandung. Paling mudah tidak mahu menanggung pekung sendiri, bayi yang tidak berdosa itu dicampak sana sini.”

Amarah yang terlontar disambut tawa ria Mekar. Gempita vokal Mekar melayang dibawa pawana. Seakan dia tidak percaya akan rungutan prihatin Kuncup yang selama ini kejap merampas kebahagiaan Kuntum. Masakan hati Kuncup yang kejam itu berubah sepantas kilat?

Mama dan papa hanya melihat keletah dua anak itu berkejaran mengejek sesama sendiri. Kehadiran Kuntum di teratak mewah ini benar-benar dirasakan hilang dan sepi. Walau pun diam yang kerap disaluti jiwa Kuntum, namun detak nafasnya cukup membuatkan teratak ini bernyawa.

Angin menderu laju, pohon-pohon buahan di kebun Harum ria berpantun, sesekali terdengar jeritan manja si pohon durian tika daunnya gugur disambar bayu. Riang itu disambut pula si pohon rambutan kuning dan si pohon betik tatkala reranting kering si pohon mangga tertampar tanah yang mengakari sekalian mereka. Berbisik masing-masing menyampaikan hasrat cinta kepada Harum, “Senyumlah…Si Kuntum sudah mula berputik. Lihat-lihat, matanya terkebil-kebil menahan cahaya.”

Harum bangkit menadah syukur. Bisikan pepohon ditepis mengelak perasaan malu. Merah padam wajahnya cepat-cepat disembunyikan di balik telapak tangan yang kejap berdoa santun. “Terima kasih Tuhan, Kau lindungilah Kuntum teman baikku. Moga Engkau merahmati atas setiap sabar si Kuntum terhadap keluarganya.” Kuntum mula tersenyum, hatinya berbunga. Masih ada yang sudi mendoakan kesejahteraannya. Ekor mata mula bercerita. Riak manis seri memancar.

Di teratak mewah tiba-tiba mati suara. Riuh-rendah Mekar dan Kuncup diserkup kebuntuan. Mama terpempan melihat papa seperti kurang enak duduk diamnya. Papa bangkit kemudian duduk. Perlakuan itu berlangsung dan berulang-ulang. Biji-biji mata yang melihat kelelahan sendiri.

“Ah, apakah pula selepas ini?” Mekar merayu jawapan.

Papa seolah sengaja menrenggut kekacakan gaya rambut yang tersisip rapi selama ini. Hujung rambut depan yang digayakan tegak mencacak jatuh memuncak. Papa serba tidak kena. Dalam ruang yang mati suara itu bayu yang tidak segan menjamah teratak mewah menebarkan bisik suara papa.

“Apa yang papa racaukan itu, mama?” Nada sayu Kuncup bagai nak pecah cuba meminta kepastian mama.

Mama diam. Mama tidak bersuara. Keadaan mama sekarang sama seperti Kuntum yang selama ini memilih diam atas setiap yang berlaku kepadanya. Mungkin mama tiada penjelasan atas keadaan papa yang tiba-tiba meracau dan merobek emosi sendiri. Atau mama sendiri memang tidak punya alasan untuk diceritakan kepada dua anak itu. Keadaan papa yang mula compang-camping menarik perhatian pembantu-pembantu rumah. Mereka akhirnya berlalu tanpa kata. Diam melarikan diri. Pasti fikir mereka, “tuan aku sudah gila!”.

“Kuntum. Kau tidak mahu pulangkah?” Teragak-agak Harum bersoal.

Pepohon buah-buahan yang memagari teratak usang itu cuba menyelam hati si Kuntum. Gemersik suara pohon mangga apabila Harum menyatakan soalan berupa itu. Walau pun pasti bukan niat Harum untuk menghalau kehadiran Kuntum, namun pepohon masih tidak mahu kehilangan Kuntum yang baik. Pepohon itu sayangkan Kuntum umpama Kuntum buah manis yang lazat.

“Kau tidak suka aku tinggal di sini?” Kuntum berbalas tanya. Matanya jauh merenung dedaun yang berguguran. Liang-liuk tubuh sekalian pohon memahami hatinya yang sedang pilu.

“Kau menangis? Maafkan aku.”

“Tak…kau tidak salah apa-apa padaku.”

“Bukan niat aku untuk menghalau kau, Kuntum. Cuma, aku tidak mahu kau menjadi anak derhaka. Kau boleh duduk di sini selama mana yang kau mahu. Tapi, kau masih punya teratak untuk didiami. Kau masih punya mama dan papa yang melindungi.”

“Hei, tuan Harum. Bagaimana pula dengan Mekar dan Kuncup yang zalim itu?” Si pohon betik melambai bisik suara. Harum akur akan persoalan itu. Namun, apa dayanya. Sebagai teman baik, dia tidak mahu melihat Kuntum yang selama ini penyabar akan dijilat seksa bahang api kerana menderhaka kepada mama dan papa. Seolah-olah sia-sia saja diam dan penyabarnya yang disemat selama ini.

Kuntum beralih duduk. Melarikan pandang dari segenap alam yang bersimpati terhadapnya. Kuntum diam. Sudut kamar sepi menggigit rasa iri. Emosinya keliru. Ada dengki ada pilu. Dengki dengan alam yang masih riang walau simpati kejap menerjah. Pilu akan nasib diri dihantui sifat rakus raksasa-raksasa kejam di teratak mewah.



Kami, (Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan