Utama Pilihan
Pembaca
Terbaharu Wildcard Pilihan
Editor
   
Beg Tangan Gucci
Bab 3
Seth
421
Bacaan





Genre: Alternatif
Kategori: Novel
Paparan sejak 28 April 2016

Pada hari pertama semester pengajian aku yang keempat, aku yang baru selesai mendaftar subjek-subjek bagi semester tersebut, sedang dalam perjalanan pulang ke asrama. Aku berhasrat untuk mandi dan menukar pakaian. Selepas itu aku bercadang untuk ke perpustakaan bagi membuat rujukan sebagai persediaan awal memasuki kelas pertama. Rujukan yang akan aku buat adalah berdasarkan senarai buku-buku yang aku perolehi dari para pensyarah.

Buku-buku tersebut akan aku beli tidak berapa lama lagi. Aku telah pun membuat pesanan dan hanya menunggu penghantarannya sahaja. Namun, sebelum buku-buku tersebut tiba, aku harus mula membuat bacaan dan nota-nota persediaan. Tidak ada cara lain melainkan segera mendapatkannya di perpustakaan. Jumlah buku-buku tersebut yang ada di perpustakaan sangat terhad. Oleh itu, aku harus mendahului pelajar-pelajar lain yang juga mempunyai tujuan yang sama dengan aku.

Jarak di antara bangunan fakulti dan asrama mengambil masa 15 minit dengan berjalan kaki. Sekiranya kalian melalui taman, masa yang diambil akan bertambah sebanyak 5 minit lagi. Walaupun jalan itu lebih jauh, ia adalah laluan kegemaran aku sejak mula menjejakkan kaki di menara gading. Pemandangannya cantik dan udaranya segar. Berjalan melaluinya tidak memenatkan sama sekali.

Laluan-laluan pejalan kaki disediakan di taman itu beserta bangku-bangku di sepanjangnya. Bangku-bangku tersebut sering digunakan oleh pasangan-pasangan bercinta untuk bertemu dan bersandiwara. Aku sering bertemu dengan pasangan-pasangan sebegitu dalam ulang-alik berjalan kaki dari asrama ke bangunan fakulti setiap hari. Aku kurang mahu ambil tahu tentang apa yang mereka lakukan. Namun sesekali mata aku mengambil perhatian juga hanya sekiranya watak perempuannya menarik melebihi standard biasa. Telah aku katakan, aku hanya lelaki biasa.

Pada hari itu, aku melalui jalan yang sama. Pada bangku ketiga aku melihat satu pemandangan yang tidak biasa aku lihat. Aku menjadi sedikit teruja kerananya. Di bangku itu, Maya sedang duduk berseorangan merenung jauh ke arah tasik buatan manusia yang ada di tengah-tengah taman. Pandangannya kosong. Walaupun wajahnya jelas muram namun masih kelihatan cantik di mata aku.

Pada mulanya, aku berhasrat untuk tidak mengendahkannya dan meneruskan langkah. ‘Biarkanlah dia dengan urusannya,’ kata hati aku. Masih banyak agenda dalam jadual aku untuk hari tersebut. Aku tidak mahu ianya terganggu biarpun untuk gadis cantik itu. Tetapi sebaik aku sampai di hadapannya, aku terus berhenti secara langsung kerana terlihat pipinya yang basah oleh air yang mengalir dari matanya. Maya sedang menangis.

Aku mendekatinya perlahan. Dress kuning pendek separas lutut, berlengan pendek yang dipakainya, membaluti tubuhnya dengan elok sekali. Apabila mendekatinya, bau harum dari tubuhnya memasuki lubang hidung. Seperti bau bunga melur.

“Hai Maya! Kau okey ke?” Aku memberanikan diri menegurnya.

Maya memandang aku dan menjawab, “Hey! I’m okay.” Cepat-cepat dia memandang ke arah lain dan menyapu air mata dengan belakang tangannya.

“Kenapa kau menangis? Itu pun kalau kau tak kisah aku tanya.” Aku cuba bertanya dengan sopan.

I’m not crying.Mata Imasuk habuk,” dia menjawab sambil mencari-cari sesuatu dalam beg tangan mahalnya. Nada tidak mempedulikan aku jelas terpancar dari suaranya.

Dua soalan yang aku tanyakan dijawabnya dalam bahasa yang rojak bercampur-campur dengan perkataan-perkataan bahasa penjajah. Aku sering mendengar percakapan begini sejak aku menjejakkan kaki ke IPT ini. Dari pemerhatian yang agak stereotaip, aku membuat teori dan andaian. Aku mendapati ada dua jenis orang yang bercakap seperti ini.

Pertama, orang-orang yang mahir dalam penggunaan kedua-dua bahasa namun tidak menemui perkataan sesuai untuk menerangkan ideanya ketika bertutur dalam bahasa ibunda, maka penggunaan satu atau dua patah perkataan atau satu frasa dalam Bahasa Inggeris dapat menerangkan ideanya dengan ringkas.

Kedua, orang-orang yang merasakan bercakap menggunakan Bahasa Inggeris dirasakan akan menunjukkan martabat dan kadar kebijaksanaan yang lebih tinggi berbanding percakapan dalam Bahasa Melayu semata-mata. Aku meneka mungkin Maya tergolong dalam golongan yang kedua.

Hati aku mula membuat satu teori lagi, iaitu jika sekiranya aku bercakap dengannya dalam Bahasa Inggeris, mungkin dia akan membuka mata dan memberi sedikit perhatian terhadap perkataan-perkataan aku yang seterusnya. Walau bagaimanapun, hati aku turut mengatakan yang teori tersebut adalah sesuatu yang bodoh. Ia lahir dari keegoan aku semata-mata.

Your tears can be spotted from 5 yards away, glistening all over your both cheeks. That ain’t dust. Dust can only cause small amount of tears and it may only happen at either one of your eye. Furthermore, your voice is trembling and your sinus is running. You are definitely crying. Sorry, I didn’t mean to nose around. When a girl is crying, the whole world understand that either she’s in trouble or she’s just sad. I’m simply asking because I’m concern. But if you don’t want to be disturbed, I shall leave you with your thoughts. Good day!

Aku mula berpaling ingin memulakan langkah mahu meninggalkannya.

Sebelum aku mula melangkah, Maya bersuara, “I’m sorry. I didn’t mean like that.

Nampaknya, mungkin ada betulnya juga teori bodoh aku itu. Aku membatalkan langkah dan memandangnya kembali. Ketika itu, Maya juga sedang memandang aku. Pandangan kami bertemu. Hati aku berdebar. Di wajahnya, terukir senyuman yang dibuat-buat.

I failed Financial Accounting II for the second time,” sebaik saja dia habis berkata-kata senyumannya hilang. Maya tunduk sambil menekup kedua tangan ke wajahnya. Tubuhnya mula bergoncang. Dia kembali menangis.

‘Laa, fail paper je pun rupanya. Ingatkan mengandung ke sakit cancer ke apa tadi,’ hati aku memprotes drama yang dilebih-lebihkan oleh gadis itu. Walau bagaimanapun, mulut aku tetap mengeluarkan kata-kata pujukan, “Jangan sedih. It’s not the end of the world.”

Tanpa berfikir panjang, aku terus duduk di sebelah kiri gadis itu. Tujuan aku duduk adalah untuk meneruskan komunikasi dengannya supaya hatinya menjadi tenang. Tetapi sebaik sahaja aku duduk, barulah aku sedar perbuatan aku itu.

‘Kau sedar tak, sebelah sapa kau duduk tu?’ Hati aku memberi peringatan. Darah aku mula bergemuruh.

Now, I only have one more chance. Kalau fail lagi lepas ni, they’ll kick me out of college.”

Jantung aku hampir berhenti apabila Maya mendadak memusingkan tubuhnya mengadap aku dan terus menyembamkan wajahnya ke dada aku sambil menangis teresak-esak. Debaran hati aku bertambah hebat. Peluh dingin mula terbit.


Kami, (Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan