Utama Pilihan
Pembaca
Terbaharu Wildcard Pilihan
Editor
   
ZON THRILLER SK :
CERPEN AKSI THRILLER: ZOMBI APOKALIPS II
S.Kausari
889
Bacaan





Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Julai 2016

Senarai Bab :

ZOMBI APOKALIPS II

KILAT sabung-menyabung di luar helikopter dengan angin kencang dan hujan ribut yang kuat. Sesekali helikopter terhantar ke merata arah kerana pukulan ribut.

Helmi dan Fendi kelihatan cemas di tempat duduk belakang. Hanya Lim, pemandu helikopter yang kelihatan tenang mengendalikan kenderaan yang terapung di udara. Kelihatan lautan bergelora di bawah, sedia menelan kenderaan udara berupa seperti pepatung gergasi itu sekiranya ia menjunam jatuh.

Timbul rasa kesal Helmi kerana mengajak rakan baiknya untuk menyertai satu ekspedisi di sebuah pulau yang terletak di Laut China Selatan. Dia dihubungi sebuah syarikat multinasional untuk menyambut peluang yang julung kali tiba. Mereka akan menyertai sukarelawan lain dengan ganjaran yang besar bersama kos yang ditanggung sepenuhnya. Pada mulanya Helmi teragak-agak kerana dia belum pernah bersemuka dengan pihak penganjur. Namun setelah mendapat wang pendahuluan bersama pengangkutan helikopter ke pulau, dia berubah fikiran. Fendi tidak membantah seperti biasa.

“Kita kena buat pendaratan kecemasan di sebuah pulau lain,” suara Lim menerusi alat perhubungan di telinga mereka.

Helmi dan Fendi hanya mampu bertukar pandangan. Lebih baik buat pendaratan kecemasan dengan selamat daripada tewas dipukul ribut dan tenggelam di tengah lautan yang ganas bergelora.

Dari radar di skrin kawalan helikopter, kelihatan mereka sedang menuju sesuatu yang berupa sebuah pulau.

“Ini Pulau Eurasia,” suara Lim melalui alat perhubungan di telinga.

“Pulau ini pernah jadi tempat kajian senjata biologi. Manusia tak bersalah jadi mangsa, hingga jadi pemakan daging segar dan otak manusia.” Kata Lim.

“Macam zombi?” tanya Helmi.

“Yup!” jawab Lim. “Anak PM diculik untuk memastikan kerajaan menyelesaikan masalah virus tu selesai. Akhirnya tempat ini dimusnahkan oleh bom nuklear. Hanya ada beberapa orang yang berjaya keluar dengan selamat.”

“Nuklear? Selamat ke kita nak mendarat di tempat ni?” Fendi nampak gelisah.

Kedengaran Lim ketawa sebelum dia menjawab. “Itu dah berpuluh tahun yang lepas. Kalau ada pun, takkan kau sanggup nak ambil risiko terkandas dalam laut.”

Fendi terdiam. Kata-kata Lim ada benarnya.

Mereka kemudiannya mendarat dan mencari tempat berteduh. Helmi dan Fendi mencari bangunan yang sesuai dijadikan tempat berlindung. Mereka menunggu Lim tapi masih tiada kelibat lelaki itu.

“Mana Lim?” tanya Helmi.

Fendi jungkit bahu. Matanya melingas melihat hujan ribut hingga pokok kelihatan seperti hampir tumbang.

Selang hampir setengah jam kemudian, ribut mula surut dan hujan mula reda. Cahaya mentari berbalam di langit, mengintai dari sisa awan yang masih berlegar.

Mereka keluar untuk mencari Lim. Anehnya hanya helikopter yang kelihatan. Lim telah hilang entah ke mana.

“Ke mana pulak Lim ni?” Mata Helmi melilau mencari di merata ceruk.

“Takkan dia hilang macam tu aje?” Fendi terasa pelik.

Ketika itu mereka terdengar suara sayup kedengaran. Terlintas di fikiran Helmi yang itu mungkin zombi yang masih berkeliaran di situ.

“Zombi!” Helmi menahan Fendi dengan memegang lengannya.

“Mengarutlah kau ni. Semua dah hancur masa serangan bom nuklear dulu.” Jawab Fendi.

“Mana kau tahu. Entah-entah ada yang masih hidup. Entah-entah bermutasi dengan bahan radioaktif. Jadi super zombi.” Helmi terasa ngeri tiba-tiba.

Jeritan itu semakin kuat.

“Suara siapa tu? Zombi kot?” Helmi mula cuak.

“Itu bukan suara zombi.” Jawab Fendi.

“Mana kau tahu?”

“Aku tahulah. Aku selalu tengok cerita zombi. Bukan macam tu bunyinya.”

“Wei bro! Ini zombi real, bukan lakonan! Mana kau tahu yang betul sama macam dalam filem tu?” Helmi berang.

Fendi terkedu.

“Aku nak tengok jugak,” kata Fendi sebelum berlalu meninggalkan Helmi.

“Wei… Fen…. iish!” Helmi kalut. Akhirnya dia mengekori Fendi dengan malas.

Suara itu datang dari sisa-sisa binaan yang kelihatan seperti pintu masuk ke padang dari bawah stadium. Fendii menjenguk ke dalam dengan Helmi di belakangnya. Fendi masuk dan Helmi ikut walaupun masih teragak-agak.

“Aaaaaah!”

Jeritan itu makin jelas. Suara wanita dalam ketakutan yang teramat sangat. Dia terjelepuk di lantai dalam keadaan menggigil. Di hujung koridor kelihatan manusia… atau mungkin lembaga yang berjalan terhincut-hincut seperti mengheret kakinya yang sudah tidak berfungsi seperti biasa. Pakaian kemeja dan seluar yang dipakai tidak terurus dengan darah bersememeh.

Wanita itu tidak mampu berbuat apa-apa kerana dikuasai panik yang luar biasa. Helmi juga sudah terkedu. Hanya Fendi yang sedang berfikir mencari ikhtiar. Akhirnya dia dapat idea. Dia berlari dan mencapai sebatang besi paip sepanjang lebih dua meter yang ada di lantai bersama sisa-sisa bangunan yang lain. Kemudian dia menuju ke pintu yang memisahkan makhluk itu dan mereka dan menutupnya. Pintu dihadang dengan besi paip dari dinding ke dinding. Dia mencapai sebuah batu blok dan mengentak hujung paip yang terjungkit ke atas supaya tersendal kuat dan menghalang pintu daripada dibuka dengan ditolak dari arah makhluk yang pernah hidup sebagai manusia biasa itu.

“Kita kena pergi cepat! Entah berapa lama besi tu boleh bertahan.” Kata Fendi sambil menghulur tangan kepada wanita yang masih terjelepuk di lantai. Mereka kemudiannya lari meninggalkan tempat itu dan bersembunyi di bangunan tempat mereka berlindung dari ribut.

“Kenapa kau tak pecahkan je kepala benda tu?” tanya Helmi yang tercungap-cungap.

“Kau cakap senanglah! Aku pun belum pernah bersemuka dengan benda macam ni. Yang kau tu lagilah. Ternganga aje tau!” Jawab Fendi. Kemudian dia melihat wanita yang mereka selamatkan.

“Cik okey?” tanya Fendi.

Wanita itu angguk dan memperkenalkan diri. “Lisa… saya Lisa.”

“Macam mana boleh sampai ke tempat ni? Macam mana boleh ada zombi lagi? Kan dan berpuluh tahun tempat ni dibom dengan nuklear dulu?” tanya Helmi. Dia mengamati wajah jelita wanita itu. Umurnya mungkin dalam lingkungan akhir dua puluhan.

“Saya bertugas dengan Astral Lab. Syarikat baru selepas Asstrold. Saya ke sini untuk dapatkan sampel virus yang dipercayai masih terselamat dalam makmal bawah tanah.” Jawab Lisa.

“Kenapa nak dapatkan sampel virus tu? Kan bahaya kalau berjangkit ke tanah besar?” Helmi tidak setuju.

“Sebab itu sampel perlu. Untuk dicipta penawarnya. Selagi tiada penawar, virus ini adalah ancaman sampai bila-bila.” Jawab Lisa.

Helmi geleng, masih tidak setuju. Namun dia tertaik dengan keayuan wajah Lisa yang berkulit cerah.

“Awak datang ke sini dengan siapa?” tanya Fendi.

“Dengan bos saya, Profesor Aiken. Tapi dia dah balik untuk dapatkan tambahan krew. Saya ditinggalkan di sini dengan dua pembantu, Mike dan Romeo.” Lisa memulakan cerita.

“Kami dah dapat pelan untuk ke tempat sampel yang tersimpan seperti yang Profesor Aiken beritahu. Mike yang masukkan sampel itu dalam beg ini.” Lisa menunjuk ke arah beg aneh yang disandang oleh Lisa.

“Tapi rupa-rupanya kabinet tu dah tercemar dengan virus. Mike mula nampak tak sihat. Kami ingatkan kerana cuaca yang tak menentu. Mukanya jadi pucat dan matanya seperti diselaputi katarak. Baru kami tahu dia dah terkena jangkitan virus. Tapi dah terlambat. Romeo kena serang, tapi saya sempat lari dari makmal bawah tanah… sampai ke sini.”

“Bermakna ada dua zombi yang masih berkeliaran di sini?” Helmi terasa seram dengan tiba-tiba.

Lisa angguk. “Yang lain dah musnah masa bedilan bom nuklear. Tapi dalam makmal bawah tanah, saya tak pasti. Setakat yang kami tengok, tak ada.”

Jawapan Lisa menambahkan rasa cuak Helmi.

“Baik kita pergi dari sini naik heli.” Kata Helmi.

“Heli? Kalau ada heli, mesti prof ada di sini.” Lisa nampak teruja.

“Prof awak… pandai pandu heli?” tanya Helmi. Dia dan Fendi saling berpandangan dengan rasa tak sedap hati.

“Ya. Dia datang bersama krew baru.”

Helmi rasa tertipu. Fendi juga menampakkan riak kesal.

“Bermakna ketibaan kita di sini sudah dirancang.” Keluh Helmi.

“Kitalah krew baru yang dimaksudkan. Dan ribut tu sebagai alasan je. Dia dah rancang semua ni.” Fendi bengang.

Muncul kelibat seseorang dari balik dinding.

“Yup! Tepat sekali. Kerja sukarela itu sebagai alasan untuk bawa korang berdua di sini.“ Senyum Lim, atau identiti sebenarnya Profesor Aiken.

“Apa maksud semua ni?” Fendi tidak puas hati.

“Pemegang saham terbesar Asstrold adalah bapak aku. Legasi yang tak patut aku sia-siakan. Kesilapan silam terpaksa aku tebus dengan membuat kajian ke atas sampel virus itu, walaupun risikonya terlampau tinggi.”

“Macam mana kalau ada yang terjangkit nanti? Malapetaka seperti di pulau akan berulang dengan skala lebih besar di tanah besar.” Helmi cuba menyedarkan lelaki itu.

Profesor Aiken ketawa. “Kau ingat aku tak fikir tentang semua itu. Kalau aku dah jumpa penawarnya, semua selesai.”

“Kalau kau jumpa. Kalau tak, macam mana?” Celah Fendi.

“Itu masalah yang akan aku fikirkan kemudian.” Lelaki itu tersengih.

“Bahaya prof. Saya fikir prof akan jalankan kajian di tempat ini seperti rancangan asal. Saya setuju dengan mereka berdua. Saya akan pastikan rancangan prof akan gagal.” Lisa berubah sisi ambil memegang erat beg yang disandang.

“Kau nak halang macam mana. Dengan mamat berdua ni?” Profesor Aiken ketawa sinis.

Fendi bangkit untuk menyerang. Belum sempat dia berdiri, Profesor Aiken mengeluarkan pistol dari dalam poket jeket yang dipakai.

“Serahkan aku beg sampel tu.” Katanya sambil mengacu pistol.

“Apa prof nak buat dengan kami?” tanya Lisa setelah beg itu bertukar tangan.

“Maaf, sebab kubur kau bertiga terpaksa bersemadi di pulau terasing ini. Risiko terlalu besar untuk membiarkan korang hidup. Rancangan tentang sampel virus ini hanya aku sorang saja yang patut tahu. Ada apa-apa permintaan terakhir?” tanya Profesor Aiken sambil mengacukan pistol ke arah kepala Lisa.

Lisa menggigil sambil menahan tangis menjelang akhir hayatnya.

“Kalau tak ada…” Belum sempat Profesor Aiken menghabiskan kata-katanya, satu lembaga menerkam dan memamah lehernya hingga tersembam ke lantai. Pistol yang dipegang tercampak jauh hingga termasuk ke dalam semak.

“Cepat lari!” arah Fendi sebelum mereka bingkas bangun.

“Helmi, kau start heli. Bawa Lisa sekali.” Kata Fendi.

“Aku? Aku mana pandai bawa heli. Memang aku ada belajar, tapi tak pernah bawa betul-betul macam ni!” Helmi menggelabah.

“Cepatlah! Kita tak ada masa ni! Aku nak cari pistol tadi.” Kata Fendi.

Profesor Aiken terbaring dengan nyawa ikan. Matanya terbeliak memandang ke langit. Kelihatan darah mengalir dari bahagian lehernya yang parah dimamah makhluk zombi. Makhluk yang mengejar Lisa tadi sudah berjaya meloloskan diri melalui pintu yang diselak oleh Fendi. Mulutnya bersememeh dengan darah Profesor Aiken.

Fendi menyelak rimbunan daun di celah semak. Pistol yang dicari masih belum dijumpai. Bila-bila masa saja fokus zombi yang menyerang Profesor Aiken akan beralih ke arahnya. Mungkin juga Profesor Aiken yang telah dijangkiti itu akan bangkit menjadi makhluk bangkai bernyawa.

Helmi masih terkial-kial mencari suis di dashboard untuk memulakan helikopter. Sistem kawalan agak berlainan dan lebih canggih berbanding dengan yang dia pelajari secara teori, tetapi dia cuba mengagak fungsi-fungsinya. Akhirnya ia berjaya dihidupkan.

“Mana Fendi ni?” Helmi tidak sabar ingin meninggalkan pulau itu sebelum zombi datang menerkam mereka.

Fendi sempat menjeling makhluk zombi yang meratah daging dan darah Profesor Aiken dengan berselera. “Ke mana pulak pistol ni? Kalau ada mudah aku nak bunuh zombi-zombi ni. Ah! Nampaknya aku terpaksa blah.”

Dia berlari menuju ke arah helikopter. Zombi itu beralih perhatian setelah ternampak kelibat Fendi lalu mengejarnya.

Melihat Fendi, Helmi menghidupkan suis dan kipas helikopter mula berpusing.

“Cepat!” jerit Lisa dalam keadaan panik melihat zombi terhincut-hincut di belakang Fendi.

Fendi sempat masuk ke tempat duduk belakang sebelum betisnya dicengkam oleh zombi. Dia menerajang, tetapi genggaman zombi begitu erat. Sambil berpaut di palang helikopter, dia menerajang menggunakan kedua-dua kakinya dan zombi tercampak keluar dari helikopter.

Helikopter berangkat meninggalkan daratan dan semakin lama semakin jauh dari pulau.

Fendi bersandar dengan rasa lega. Lisa masih menggeletar dengan pengalaman ngeri yang baru dia alami. Helmi sudah mula mahir mengendalikan helikopter buat pertama kali dalam hidupnya.

Masa berlalu dan mereka semakin hampir dengan daratan. Hinggalah Lisa perasan perubahan pada Fendi. Wajah Fendi dibasahi peluh dengan muka pucat sedikit. Dia terpandang seluar Fendi di bahagian betis yang terkoyak selepas serangan zombi tadi. Kelihatan tompokan darah di bahagian itu.

Lisa hilang kata-kata. Dia memegang bahu Helmi untuk memberitahu apa yang dilihat. Belum sempat dia berkata apa-apa, Fendi menerkam ke arahnya dan memamah lehernya semahu-mahu. Jeritan Lisa menyebabkan Helmi panik dan turut menjerit. Helmi memandu tanpa mampu berfikir apa-apa lagi.

Selesai menjadikan Lisa mangsa, Fendi menerkam Helmi pula. Helikopter terhoyong-hayang buat seketika sebelum terjunam ke dalam laut dan hilang dari permukaan.

HELMI tersentak. Hampir-hampir dia terjatuh dari bangku di depan arked video. Kedengaran bunyi kesan khas elektronik dari pelbagai mesin yang berpelanggan.

“Woi! Kenapa kau ni? Terkujat macam orang nampak hantu?” Fendi mentertawakannya sambil mengunyah kentang goreng di dalam kelongsong merah dengan logo KFC.

Helmi dalam keadaan jalu memandang muka Fendi, kemudian bekas kertas merah berisi kentang goreng KFC, diikuti arked video yang begitu riuh ketika itu. Akhir sekali dia terpandang novel Epidemik T di bangku.

“Kau mengigau eh? Ini mesti sebab dah terlampau banyak main game Zombi Apokalips.” Fendi menyeringai kemudian terus mengunyah.

Helmi masih memproses apa yang berlaku. Akhirnya dia menghela nafas lega.

“Kalau aku cerita apa yang aku mimpi, mesti kau tak percaya punya.” Akhirnya dia bersuara.

“Ceritalah,” Fendi acuh tak acuh.

“Aku mimpi kita pergi ke Pulau Eurasia macam novel yang Helmi Effendy tulis.” Beria-ia Helmi bercerita.

“Ai! Hari tu kau kata baca novel boring, tak macam main game. Ini siap sampai mimpi pulak?” Sindir Fendi.

“Yalah, sebab aku dah lama tak baca. Tapi bila dah kena penangan dia, baru aku tahu. Lagi best dari tengok movie bro!” Helmi bersungguh-sungguh.

“Hmm… apa-apalah. Hari tu kononnya beli novel ni sebab ada nama kita berdua. Dah baca baru kau tahu.” Fendi mengekeh ketawa.

“Tapi yang best kan…” Helmi buat muka macam tengah angau.

“Apa dia?” Fendi memerhatikan Helmi dengan rasa pelik.

“Lisa pun ada dalam mimpi tu kau tau!” Helmi menyengih.

“Ye ke? Aku ada tak?”

“Ada.”

“Siapa hero? Aku ke kau?”

“Akulah. Kau side kick aku je.” Usik Helmi sambil ketawa.

“Ceh! Tak best lah mimpi kau. Aku nak sambung main Zombi Apokalips.” Fendi bingkas bangun.

“Eh… Aku nak main dulu!” Helmi turut bangun.

Mereka berebut untuk mencapai alat kawalan permainan arked Zombie Apocalypse. Kelongsong merah berisi kentang goreng yang masih bersisa dan novel Epidemik T tulisan Helmi Effendy ditinggalkan di kerusi tanpa sesiapa di situ.

SEKIAN


Nota:

Kisah Zombi Apokalips 2 ini adalah sambungan kepada Zombi Apokalips, cebisan kisah dalam sebuah manuskrip seram yang sedang dinilai. Harap maklum.



Senarai Bab :
PENGENALAN | CERPEN PSIKOTHRILLER: BUAYA DI DANAU KESUMAT (SEDUTAN) | CERPEN PSIKOTHRILLER: MAWAR SEPULTURA | CERPEN PSIKOTHRILLER: B.A.R.A.N (SEDUTAN) | CERPEN PSIKOTHRILLER: MEGALOMANIA (SEDUTAN) | CERPEN PSIKOTHRILLER: POTRET | CERPEN SAIFAI THRILLER: LIF | CERPEN SAIFAI THRILLER: i-HAWA | CERPEN SAIFAI THRILLER: TETAMU DARI BIMA SAKTI | CERPEN AKSI THRILLER: PERANG NANO | CERPEN AKSI THRILLER: ZOMBI APOKALIPS II |
Kami, (Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan