Utama Pilihan
Pembaca
Terbaharu Wildcard Pilihan
Editor
   
Mak, Aku Ada Saka!
3 : Bro, Jiran kita Bela Jembalang!
Zhar Aruzi Hairi
1026
Bacaan





Genre: Seram/Misteri
Kategori: Alternatif
Paparan sejak 29 September 2016

Senarai Bab :
Hari mula meninggi melepasi pukul 3.00 petang. Dua khemah yang didirikan di hadapan rumah masih ada dua tiga orang tamu yang masih makan. Budak-budak yang makan kali kedua dan ketiga pun ada. Itu yang sah-sah mak mereka yang suruh sebab tak sempat nak memasak di rumah.

“Letih nampaknya tuan rumah” Lebai Noh menepuk belakang Izudin. Dia tersenyum.

“Lebai dah makan” Izudin berbahasa.

“Dah..pengantin pun lepak semeja tadi. Lebai mintak diri dulu, nak tidur sekejap di rumah sebelum masuk Asar” Lebai Noh menghulur salam dengan menyelit note RM 10 yang dikepit dengan ibu jari.

“Terima kasih” Balas Izudin separuh berbisik.




“Macam kecewa je Lebai Noh tu?” suara Imam Semaun yang garau tu kedengaran di belakang. Izudin berpaling untuk menyapa.

“Tak baik Imam cakap macam tu? Kira mengumpat tu”

“Aku cakap apa yang aku nampak je. Nasi minyak dengan kari kambing tadi pun dia makan separuh jer. Sebelum ni kalau ada kambing je, mau dua pinggan dia balas. Datang pun sekejap je, dah nak balik” Jelas Imam Semaun. “Dia tak sangka yang Mak kamu nak kahwin jugak”

“Imam buat saya rasa segan pulak”

“Kalau kamu segan, Aku pun nak balik la…..Eh! Kamu dah betul-betul sihat ke?. Atau Ada tak saka kamu datang melawat?” Tanya Imam Semaun semasa bersalaman. Izudin dapat merasa envelope kertas diselit ke tapak tangannya.

“Dah tak ada apa-apa Imam. Sihat walafiat”

“Mungkin Abdul Hakim tu dah berkeluarga kat Mekah sana kot? Dah tak teringat nak kacau kamu”

“Ai..Pak Imam pun tahu nama tu”

“Mulut Mak kamu tu mana boleh tutup. Tambah-tambah cerita-cerita sensasi macam ni. sekejap je dia viralkan. Harap-harap suami baru dia tu boleh didik dia.”

“Doakan ye…Imam” Imam Semaun mengangguk sambil tersenyum.







“Woi!” Izudin merasa belakangnya ditampar kuat. Bukan tamparan biasa, tapi tamparan yang membuat dia rasa mahu membalas dengan tendangan. Berpinar dia menahan sakit.

“Sakit la! Lain kali beri salam” dia berpaling melihat Badrul tercegat dengan beg sandang sambil tersengih.

“Kalau ada saka kan dah selamat” Dia sempat memerli lagi.

“Kau ni tak habis-habis nak kutuk aku. Kenapa lambat?” Soal Izudin sambil menyambut salam Badrul.

“Lepas uruskan jenazah Haji Salikin pagi tadi, tengahari, baru aku bertolak ke mari”

“Innalillahiwainnailaihirajiun..Dah tak ada rupanay Haji Salikin...Tapi, tak ada sapa cerita pun”

“Memang confirm tak ada orang nak bagi info. Sebab Haji Salikin sorang je admin untuk group wasap orang kampung kita. Tak ada dia, sapa lagi nak bagi info. Telefon dia pun lesap entah ke mana”

“Meninggalnya tu macammana?”

“Sakit jantung. Lepas kejar ayam pagi-pagi lagi”

“Kejar ayam?”

“Ya. Cucu dia yang tiga tahun cabar. Kalau atuk hebat katanya, atuk kejar ayam tu sampai dapat. Tak sampai seratus meter kejar, dia terus padam..”

“Yang cucu dia pun satu hal..cabar yang bukan-bukan”

“Yang paling kesian, lepas sejam baru orang perasan dia meninggal”

“Laa.takkan sampai sejam kot... Cucu dia buat apa?”

“Cucu dia ambil henset yang dia letak atas tangga, bukak youtube..layan Didi n friends. Rupanya dia suruh atuk dia kejar ayam tu sebab dia nakkan henset tu”

“Ya Allah, sampai macam tu mentality budak sekarang ni?” Izudin menarik kerusi di bawah khemah untuk duduk.

“Kau tengoklah apa yang tinggal. Jamah je la apa yang ada” Pelawa Izudin.







Badrul ke meja hidangan untuk mengambil makanan. Begnya diletakkan di atas meja bersebelahan.

“Pengantin mana?” Badrul meliarkan mata mencari Puan Mimi dan pasangannya. “Bukan senang nak datang majlis Mak kawan kahwin ni”

Izudin mencebik dengan kata-kata Badrul. “Dah jodoh la” balasnya ringkas. Dah berkali-kali dia terima gurauan sebegitu. Sejak Mak dia bertunang lagi.

“Siapa lelaki bertuah tu? Bukan calang-calang orang yang boleh tackle Mak kau”

“Kau tengoklah sendiri”

Seorang lelaki bertengkolok dengan sepersalinan songket serba hijau keluar bersalaman dengan tetamu. Berkerut juga dahi Badrul memikirkan gerangan pengantin lelaki tersebut. Memang di kenal sangat dengan orang-orang di situ, sebab dari kecil lagi dia sering berkunjung ke situ dan pernah tinggal seketika di rumah Izudin.

“Allah !” Jeritnya seketika setelah mengecam tahi lalat di pipi kanan pengantin “ Penghulu Bakri rupanya bapak baru Iz. Patutlah susah nak cam..Habis jambang dan misai dicukurnya. Dulu nampak garang macam singa…sekarang ni..dah nampak jambu la pulak..ish..ish”

Penghulu Bakri yang lengkap berinai di tiga jari menghampiri mejanya untuk bersalaman. Izudin pula hilang entah ke mana melayan tamu.

“kamu sorang jer” Tegur Penghulu Bakri.

“Ye tok. Mak ngan Ayah tak dapat datang. Diaorang kirim salam jer”

“Waalaikum salam.”

“Tok nampak hensem la” Puji Izudin. Penghulu Bakri cepat-cepat mendada. Jalannya ditegakkan. Lagaknya mula diubah seakan orang muda.

“Kamu ni ada-ada la. Aku kan dah tua..mana ada hensem” Balasnya dengan senyuman hingga ke telinga.

“Awet muda ni” Hampir sahaja dia ketawa melihat lagak lelaki tua berlagak muda tu. Kalau gambar kahwin ni diupload ke media sosial, mungkin boleh dapat banyak kecaman.

“Hah..Kat sini rupanya” Puan Mimi tersipu-sipu datang dan terus mendakap lengan suaminya.

“Cantik betul Mak Ngah” Puji Badrul melihatkan Puan Mimi dalam sepersalinan songket hijau juga. “Macam anak dara”

Muka Puan Mimi kemerah-merahan kerana dipuji. Makin kuat dia menggenggam lengan penghulu Bakri. Berkerut-kerut muka pengantin lelaki menahan sakit.

“Jadi tak kamu nak kerja sekali dengan Iz?” Tanya Puan Mimi.

“Jadi Mak Ngah. Besar beg yang saya usung ke sini. Nak duduk lama ni”

“ Aku nak nasihat sikit…Kamu berdua duduk membujang ni…jangan buat benda bukan-bukan dah la. Aku dah tak kuasa nak melayan karenah Iz tu..macam-macam... Hantu la..saka..rempit la. Ingat sikit kat tuhan. Ingat kat mak bapak” Leter Puan Mimi. Badrul mengangguk sambil meneguk air sirap.

“Mak.. Hmmm Abah.. ada tamu nak jumpa” Izudin datang menyampaikan pesan.







“Bila kita nak ke rumah sewa tu Bro” tanya Badrul. Lemas juga dia berkongsi bilik dengan Izudin.

“Petang esok. Aku dah janji dengan tuan rumah. Pagi esok kau kena tolong aku kemas-kemas barang kenduri ni dulu. Kalau nak harap Mak aku dengan bapak baru aku tu, lambat la jawabnya. Kesian pulak aku kat diaorang.”

“Aku orait jer. Eh..siapa wakil dari keluarga penghulu tadi?”

“Anak sulung dia jer yang datang. Kak Lina. Yang lain semuanya ada hal”

“Ke diaorang boikot bapa diaorang kahwin lain. Berapa orang anak penghulu Bakri tu?”

“Tiga jer, campur aku jadi empat. Yang dua lagi kat oversea. Yang perempuan kat Mesir dan yang lelaki kat UK”

“Dahsyat juga anak dia kan. Belajar sampai kat sana”

“Bukan belajar la. Sorang kerja misi kat mesir. Sorang lagi Bellboy kat Park Grand London”

“Ooo..faham. Eh..kau dah tengok rumah tu?”

“Tak..Aku tengok gambar dalam iklan FB tu jer. Nampak macam OK. Sewa pun boleh tahan. Ikut rate tempat tu la. Yang penting dekat dengan tempat kerja kita”

Mereka terdiam seketika. Melayan perasaan masing-masing.

“Tak apa la..nanti kita gi tengok sama-sama…Eh.. sunyinya pulak kat bilik bawah tu..Ada chance ke kau nak dapat adik ha..”

Izudin mulai merah telinga. Dia bangun mencapai majalah di atas meja, berhampiran kaki katilnya. Majalah itu digulung bulat menjadi seakan belantan.

“Mangkuk! Mangkuk! Bongok!!..Kau jangan lagi keluar kenyataan macam tu” Jeritnya sambil menghayun belantan majalah tadi ke tubuh Badrul.

Badrul mencengkam gulungan kain pelikatnya sebelum lari keluar dari bilik sambil ketawa berdekah-dekah.







Penghulu Bakri menyorong masuk motosikal EX5nya ke tempat pakir. Bersebelahan kereta Wira milik Puan Mimi. Dia baru sahaja lepas berbual-bual dengan AJK masjid dan beberapa jemaah lain selepas solat subuh dan tazkirah tadi. Selalunya dia akan bersarapan di kedai,kopi Janda Siah, tidak jauh dari Masjid. Tapi dia sudah berjanji dengan isterinya untuk sama-sama bersarapan di rumah. Kalau ke kedai Janda itu lagi, pasti akan jadi perang dunia kedua.

Penghulu Bakri berdehem sebaik masuk ke rumah. Badrul dan Izudin cepat-cepat mencampakkan puntung rokok yang terjuih di bibir tadi. Dia tahu orang tua itu tidak merokok dan bencikan perokok. Pasti dia akan mengingatkan mereka tentang fatwa yang mengatakan rokok itu haram. Badrul cepat-cepat menuang kopi ke dalam gelasnya. Cepat-cepat diteguknya kopi itu. Dia berharap bau rokok dari bibirnya tidak dapat dikesan.

Sebaik melangkah ke ruang makan, hidung Penghulu Bakri sempat mengecam bau rokok. Matanya memandang tajam dua anak muda yang sedang menghabiskan nasi minyak dan lauk baki kenduri semalam. Tiba-tiba sahaja wangian yang dipakai isterinya menghilangkan terus bau rokok yang dikesan tadi.

“Abang nak makan?” Suara lembut Puan Mimi membuatkan hati Penghulu Bakri yang mahu meletup tadi tiba-tiba jinak. Semacam ditarik hidung dia terus duduk di meja sambil memerhatikan Puan Mimi mencedok nasi dan lauk ke pinggannya. Air kopi pula dituang separuh gelas. Sudah lama dia mendambakan layanan sebegini.

Badrul menyepak kaki Izudin dari bawah meja. Geli melihat gelagat pengantin tua di hadapannya. Tiba-tiba sahaja dia merasa panas dikakinya, hampir-hampir sahaja dia menjerit, tapi ditahan-tahan. Izudin tersenyum sambil memegang cawan berisi kopi panas ditangannya. Cairan hitam mengalir di kaki Badrul.

“Padan muka!” Bisik Izudin di dalam hati.




“Pukul berapa kamu nak ke rumah sewa tu?” Tanya Puan Mimi.

“Kami janji dengan tuan rumah dalam pukul 4.00 petang” Balas Izudin.

“Kamu dah nak keluar rumah. Abah baru sahaja nak kenal-kenal kamu” Sampuk Penghulu Bakri. Tapi nada suaranya girang. Macam orang nak dapat BR1M.

“Tak apa la Tok. Janji tok dapat jaga Mak orang baik-baik sudahlah” Jawab Izudin yang malas nak “ber abah”kan Penghulu Bakri.

“Itu kamu jangan bimbang. Mak kamu ni dah jadi tanggungjawab Abah. Insha Allah Abah akan jaga dia elok-elok. Kamu tu, jaga diri baik-baik kat tempat orang”

“Nak minta tolong sikit Tok?” Badrul bersuara. Izudin dan Puan Mimi segera berpaling kepadanya. Badrul masih maintain muka tak bersalahnya.

“Apa yang kamu nak Tok tolong?” Jawab Penghulu Bakri dengan gaya seorang pemimpin. Puan Mimi menjeling bangga.

“Saya nak pinjam sehelai baju kemeja Tok. Nak pakai masa interview nanti”

“Kamu pakai aje la baju Iz tu. Banyak kat dalam almari tu” Celah Puan Mimi.

“Dah try semalam. Tak sama saiz. Macam dugong bunting jer gayanya” Izudin menjawab bagi pihak Badrul.

“Yalah Tok paham. Kita ni jantan spesis sado, dada bidang, lengan ketak-ketak. Rasanya memang kamu saiz Tok. Kejap lagi Tok balik rumah sana ambik selai untuk kamu”

Izudin dan Puan Mimi menggaru kepala. Mata mereka cuba untuk mencari kat mana sado, dada bidang dan lengan ketak-ketak dari kedua-dua individu depan mata mereka. Kalau ukuran atas kecik, bawah kecik dan tengah-tengah membulat. Memang ya!







Izudin menyorong motosikalnya keluar dari parking. Badrul sudah siap menyarung helmet dengan beg sandang di sisi, menyusul dari belakang sambil menolak motor.

Puan Mimi mengikut dari belakang. Beberapa minit kemudian, Penghulu Bakri tiba dengan motosikal membawa satu bungkusan plastik berisi pakaian.

“Nah, kemeja kamu?” Hulurnya pada Badrul. Badrul terus menyelongkar isi beg tersebut sebelum berpaling pada Izudin.

“Kenapa?” Tanya Izudin kehairanan.

“Baju ni boleh pakai gi interview ker?” Badrul menunjukkan baju batik berwarna kuning yang diserahkan Penghulu Bakri tadi. Cepat-cepat Izudin menongkat motosikalnya.

“Kalau baju tu kau pakai nak pergi rasmi pecah tanah boleh la. Kalau nak pakai gi interview, baik kau pakai topeng sekali” Balas Izudin. Badrul segera menyerahkan semula kemeja tadi kepada Penghulu Bakri.

“Kata tadi nak pinjam”

“Tak jadi tok. Nampak belia sangat” Jawab Badrul sambil terus bersalaman dengan Penghulu Bakri.

Izudin pula bersalaman dengan Maknya terlebih dahulu. Berlinang air mata Puan Mimi. Berat rasanya mahu melepaskan anak bujangnya hidup berdikari.

“Mak, orang mintak maaf banyak-banyak. Doakan orang selamat dunia akhirat ya, Mak” Izudin turut mencium dahi ibunya. Puan Mimi hanya mengangguk sebak.

“Ambik ni buat belanja?” Penghulu Bakri menyerahkan gulungan note RM 100 ke tangan Izudin selepas bersalaman. Entah berapa jumlahnya pun dia tak pasti.

“Ish! Banyak ni tok?” Izudin cuba menolak.

“Kamu pun dah jadi anak aku. Ambik buat modal untuk belanja korang” Penghulu Bakri bertegas. Puan Mimi terharu sangat melihat keikhlasan suaminya itu. Izudin tidak mampu menolak lagi.







“Assalamualaikum..kami nak cari Pak Omar” Badrul bertanya. Mereka berdua telah sampai ke kedai runcit seperti yang diminta oleh tuan rumah.

“Waalaikumsalam” Seorang lelaki berbadan gempal keluar dari belakang kedai.

“Izudin kan..Yang telefon tadi” Dia bertanya. Izudin turun dari motosikal sebaik mendengar namanya disebut.

“Pak Omar, Saya Izudin”

“Berapa lama agaknya kamu nak menyewa ni?” Tanya Pak Omar.

“Tak tahu lagi Pak Omar. Rasanya lama kot. Sebab kami nak kerja kat kawasan industri dekat sini jugak”

“Pak Omar minta maaf sebab tak dapat bawak kamu tengok rumah. Nak tinggal kedai ni kat anak sorang-sorang tak berani pulak. Macam ni la..kamu ambil kunci ni dan pergi tengok sendiri. Kalau suka, datang balik sini bayar deposit”

“Bolehlah” Kata Badrul yang mengambil kunci.

“Alamat kamu ada kan” Izudin mengangguk. “Apa-apa nanti kamu telefon jer?”







Rumah sewa mereka terletak berhampiran kawasan ladang sawit. Rumah teres yang akan mereka sewa pula berada di deretan paling hampir dengan kawasan ladang itu. Rumah kos sederhana dengan tiga bilik dan dua bilik air.

“Rumah ni ke?” Tanya Badrul sebaik Izudin memberhentikan motosikal.

“kalau ikut alamat tu, rumah ni lah”

Mereka melihat ke arah rumah yang bercat kuning cair itu. Di sebelah kanan rumah itu, sebuah rumah yang siap diubahsuai dengan gaya mewah. Pagar stainless steel dengan lantai mozek hingga ke gigi jalan. Rumah itu pula bercat kelabu dengan atap berwarna merah. Rumah di sebelah kanan pula hampir sama sahaja dengan rumah yang bakal mereka duduki. Cuma rumah itu adalah penghujung kepada deretan rumah-rumah yang ada. Jalan di hadapan rumah itu pula adalah jalan mati.

“Jom masuk”

Pintu pagar hadapan dibuka. Aura sejuk yang menghembus dari arah dapat dirasakan walau mereka berada di bawah panas matahari. Hampir sahaja mereka meremang bulu roma, tapi cepat-cepat ditenangkan dengan keadaan di dalam rumah yang serba lengkap dengan perabot, peti ais dan televisyen.

“Fully furnished ni!” Izudin teruja. Dalam iklan yang dibacanya tidak dinyatakan secara jelas. Cuma orang yang mengiklankan hanya mengatakan ada perabot.

“Boleh masuk bawak baju je” Mereka mulai meneroka segenap ruang rumah yang ada hingga ke belakang.

“ Bagus la kau pilih rumah ni. Semua bilik ada katil dan kipas angin. Dapur, peti ais dan mesin basuh pun ada. Harga pulak boleh tahan” Puji Badrul.

“Lepas ni kita gi jumpa Pak Omar. Cakap kita setuju duduk sini dan bayar deposit sekali.”

“Beres. Aku nak bawa masuk beg dulu!”







Kipas yang berpusing di siling dirasakan perlahan. Suhu seakan membahang dari tadi. Walaupun hanya berkain pelikat, Badrul masih tidak selesa.

“Panas betul rumah ni” gerutunya. Dia mencapai kotak rokok diatas meja dan berjalan kea rah pintu hadapan.

“Baru pukul 11.00 malam” bisiknya sebaik terpandang jam di dinding. Dia melangkah keluar dengn hanya berkain pelikat.

Suhu di luar pula dirasakan dingin. Angin yang bertiup dari ladang sawit berhampiran memberikan sedikit kedinginan berbanding di dalam rumah.

Sebatang rokok dikeluarkan dan dinikmati sepenuhnya. Asap yang berkepul-kepul keluar memberikan sedikit ketenangan kepada Badrul.

“Alamak!” Cepat-cepat dia cuba mencari sesuatu untuk menutup badannya. Seorang gadis berambut panjang sedang menghayun buaian di rumah sebelah. Tuala Izudin yang tersidai dia ampaian di capai.

“Tak sangka ada awek..boleh jugak buat teman berborak” Bisiknya.

“Hai..Assalamualaikum” Tegur Badrul sebaik merapatkan dirinya ke tembok yagn menghadang antara dua rumah tersebut.

“Hai..salam” Itu jawapan yang kedengaran dari awek yang berpakaian serba putih itu. Dia langsung tidak menoleh.

“Takkan hantu kot..baru pukul 11.00” Bisik hati Badrul walaupun bulu roma di tangannya sudah meremang.

“Malam malam ni cik adik masih main buaian lagi?” Umpan Badrul lagi untuk berbual.

“Malam-malam baru seronok main buaian, tak ada orang kacau”

“Nama sapa ni?”

“Panggil Ruby jer. Baru masuk rumah ke?”

“Ya. Petang tadi. Ruby memang tinggal kat sini ke”

Ruby mengangguk tanpa berpaling lagi. Rambutnya yang panjang menghalang Badrul dari melihat wajahnya.

“Ni memang rumah Ruby. Dah lama dah”

“Tak seram ke malam-malam ni main buai?”

“Nak seram apa? Abang kan ada temankan Ruby” Ruby mengekek sedikit. Bulu roma di tangan Badrul terus menegak. Tapi miangnya mengatasi rasa takut.

Bangga jugak Badrul dipanggil Abang. Suara Ruby yang serak-serak basah itu betul-betul membuat dia tertarik. Tambahan pula ada wangian bunga tanjung yang berkembang di hadapan rumah jirannya itu. Salah satu jenis bauan yang menenangkan.

Telefon bimbitnya di dalam rumah tiba-tiba berbunyi. Badrul segera ke dalam untuk menjawab panggilan. Selesai bercakap dia keluar semula untuk menyambung perbualan dengan Ruby.

Hanya buaian kosong sahaja yang tinggal.

“Ai..cepat betul masuk. Ingatkan nak ayat lagi tadi” Bisik Badrul.







Izudin membetulkan rambutnya yang disikat rapi. Baju kerjanya pula dikenakan dengan jaket denim berwarna biru gelap. Dia menunggu Badrul yang masih bersiap.

“Bro..Jom la..dah lambat ni?” Jeritnya.

Terkocoh-kocoh Badrul keluar sambil membetulkan kemejanya yang disisip ke dalam seluar.

“Apa yang kau nak kelam kabut sangat. Awal lagi” katanya sambil melihat ke arah jam yang terpampang di dinding.

“Kalau kau harap jam dinding tu..Memang sejam la kita akan lambat” Tegur Izudin.

Lambat sejam rupanya jam ni. Jadi malam tadi!..Dia malas untuk berfikir panjang..!

Badrul keluar dari pintu sambil menjenguk-jenguk rumah sebelah. Dia hampa melihat hanya buaian kosong di hadapan rumah.

“Apa yang kau terteleng-teleng tu?”

“Aku nak tengok kalau-kalau anak dara sebelah rumah ni keluar”

“Anak dara mana ni?…rumah tu kan rumah kosong!. Tak ingat ke apa yang Pak Omar cakap”

Tengkuk Badrul kini meremang seketika. Dia mula merasa cuak.

“Abiss..semalam tu aku sembang dengan sapa?” Tanya dia.

Izzudin tersenyum penuh makna.







“So, macammana interview?” Tanya Izudin.

“Ok jer. Cuma aku gugup sikit. Tapi..kerja kat stor tu aku dapat la. Lusa dah boleh stat”

“Bagus la tu. Aku dah cakap, kalau kat sini senang dapat kerja. Lagi senang kalau kau kenal sapa-sapa yang kerja sini. Lepas ni kau nak buat apa?. Kalau nak balik boleh pakai moto aku dulu”

“Takkan aku nak duduk sorang-sorang kat rumah. Awek malam tadi tu pun dah buat aku trauma nak duduk sorang kat rumah”

“Dia tak kacau kita pun. Dah tempat dia, biar la”

“kau tak apa la. Dah ada pendinding. Aku yang kosong ni. nak cari nahas!.”

“Alah..Baca Al-Fatihah dan tiga Qul tu pun dah cukup. Kau nak lepak mana ni?. Nak tunggu aku pukul lima nanti baru habis keje”

“Aku tido surau je lah…Nak balik nanti kau telefon aku”

“Haah..Suka ati kau la”

Motosikal diberhentikan betul-betul di hadapan kedai runcit Pak Omar.

“Nak cari apa?” Badrul menepuk belakang Izudin.

“Cari barang makan la. Takkan nak tapau hari-hari. Bangkrap aku nanti”

“Aku pun nak beli meggi”

Pak Omar yang berkain pelikat keluar menemui mereka.

“Amacam rumah?” Tegurnya.

“Oklah..Cuma kawan saya ni dah tersampuk dengan hantu kat sebelah rumah kosong tu”

“Jumpa hantu perempuan rambut panjang kan?” Teka Pak Omar.

“Macammana Pak Omar tahu?” Tanya Badrul.

“Ada dah penyewa sebelum ni yang jumpa. Jangan takut la…. Dia tak kacau orang”

“Jangan cakap macam tu Pak Omar. Hantu tetap hantu. Tak tenteram kami tinggal nanti” Balas Badrul lagi. Izudin sibuk memilih barang-banrang untuk dibeli.

“Kawan kamu tu rileks jer”

“Dia ada pendinding Pak Omar. Tak apa la” Badrul menjawab, separuh berbisik.

“Kalau rasa tak selamat sangat. Jumpa jiran sebelah kanan kamu tu. Yang rumah pagar besar tu. Dia tu boleh mengubat orang. Orang panggil dia Pak Doni”

“Rumah dia ke tu. Siap renovate bagai. Fuhh…Macam rumah mewah!”

“Rumah sewa tu…rumah aku. Tapi dia buat macam rumah sendiri. Sewa pun tak pernah bayar…Kalau minta siap ugut nak hantar santau bunuh aku” Rungut Pak Omar.

“Tak boleh macam tu Pak Omar. Kena ikhtiar macammana nak halang dia”

“Bomoh besar macam tu sapa yang berani. Silap-silap dia hantar jembalang dia cekik kamu”

“Huh..Orang macam tu pun ada” Getus Badrul.

“Apa yang yang kau nak beli lagi?” Jerit Izudin dari dalam kedai.

“Telur!!” Balas Badrul.







Badrul menahan lenguh memegang kedua-dua bungkusan barang yang dibeli tadi. Dia mengimbang dengan tangan kiri dan kanan. Satu bungkusan lagi diletak di dalam raga motosikal. Sebaik hampir sampai, pintu pagar automatik jiran sebelahnya tiba-tiba terbuka. Seorang gadis berambut pendek, memakai kemeja dan seluar jeans, keluar membuang sampah. Tergamam seketika kedua-dua budak bujang itu melihat keletah gadis itu.

“Baru masuk rumah ke?” Gadis itu menegur.

“Ya..Anak Pak Doni ke ni?” tanya Badrul. Dia teringatkan nama jirannya yang diberitahu Pak Omar tadi.

“Eh taklah..saya isterinya!” Kedua-dua mereka hampir tersedak mendengar pengakuan tersebut. Mata mereka terus meliar melihat gadis itu masuk dan pintu pagar automatik itu tertutup semula.




“Respek aku kat Pak Doni” Ujar Badrul yang menjinjing masuk bungkusan plastik ke dalam rumah.

“Kerja apa ha..Rumah pun dah cantik..Bini pulak muda”

“Bomohhh tu” Bisik Badrul.

“Memang hebat kalau bomoh boleh hidup macam tu”

“Dia ada jembalang tau”

“Mana kau tahu?”

“Pak Omar yang cerita”




Izudin masuk ke bilik dan keluar kembali dengan hanya berkain pelikat.

“ Aku nak tidur sekejap, sebelum Magrib nanti, kalau aku tak bangun, kejut aku” Pesannya.




Izudin bangun sambil melihat jam. Jarum tepat menunjukkan pukul 8.00 malam.

“Tak boleh harap sungguh. Tak pasal-pasal aku lepas solat Maghrib ni” rungutnya sebaik melihat Badrul terbungkam diatas sofa. Cepat-cepat dia ke bilik air mengambil wuduk.

Selesai solat, dia menyarung baju dan seluar untuk keluar sebentar membeli rokok.

“Bad!!..bangun! bangun!” Jeritnya pada Badrul selepas masuk semula ke dalam rumah. Terpinga-pinga Badrul yang bangun kerana terkejut. Dia menggaru-garu kepala sambil mengecilkan mata.

“Ada apa?”

“Pagar rumah masa kita masuk petang tadi bertutup ke bukak?”

“Tutup. Aku yang tutup”

“Tadi aku tengok terbukak”

“Hah! Sapa yang bukak..Takkan Cik adik, jiran sebelah yang bukak..”

“Bukan tu masaalahnya..sekarang ni motor aku dah tak ada!!”

“Siapa yang ambik??”

“Ambik apa?? Rasanya dah kena curi….” Izudin pulak yang menggaru kepala.

“Esok kita nak gi kerja macammana..dah la aku first day kerja” rungut Badrul.

“Kita buat reportpolis dulu”

“Ye la..Nak buat report polis..tapi nak gi balai macammana?”

Mereka berdua termenung seketika.

“Jom!” Izudin menarik tangan Badrul keluar dari rumah.







Izudin menekan loceng di rumah jirannya.

“Aku harap jiran kita ni betul-betul bomoh handal. Minta dia tengokkan siapa yang ambil. Kalau boleh buat orang tu hantar balik moto aku” Beritahu Izudin.

Perempuan muda yang mereka lihat beberapa hari lepas duduk di muka pintu. Pintu pagar automatik terbuka dengan sendiri.

“Ada apa bang?” Tanya perempuan itu lembut.

“Kami nak jumpa Pak Doni. Ada kecemasan sikit”

“Mari masuk” ajak perempuan tersebut.

Seorang lelaki bersongkok menanti mereka di ruang tamu. Berbadan gempal dan berperut buncit. Matanya serius memandang mereka berdua.

“Asaalamualaikum Pak” Izudin dan Badrul menghulur salam.

“Waalaikumsalam” Jawab Pak Doni, Acuh tak acuh. “Apa hajat kamu ke mari?” Tanya dia dengan suara garau. Garang dan kasar kalau didengar. Buleh luruh jantung kalau dia menegur di dalam gelap.

“Saya nak tanya pasal motor Pak Doni?” Sela Izudin.

“Aku merawat orang, bukan bukak kedai motor!” perli Pak Doni. Roman mukanya masih serius.

Badrul dan isteri Pak Doni hanya tersenyum.

“Bukan itu maksud saya Pak. Sebenarnya sebentar tadi saya baru kehilangan motor. Kalau boleh minta Pak Doni tolong tengokkan”

“Hmmm….”

“Budak dua orang ni jiran sebelah kita, Bang” Isteri Pak Doni memberitahu. Pak Doni berpaling kearah isterinya, sebelum memandang ke arah mereka berdua dengan pandangan tajam.

“Tunggu sekejap!” Pak Doni bangun menuju ke arah salah satu bilik.




“Akak ni nampak awet muda. Ada apa-apa ilmu ke?” Badrul memberanikan diri untuk bertanya pada isteri Pak Doni.

“ Ish! Panggil aja Kak Lin. Akak bukan awek muda pun, tapi memang muda. Baru 18 tahun” Jawab Isteri Pak Doni. Badrul dan Izudin tersedak serentak.

“Hah..Muda lagi Kak Lin tapi sanggup kawin dengan lelaki tua macam Pak Doni tu” Mulut cabul Badrul bertanya secara berbisik.

“ Tu la..kerap sangat Mak ngan Abah bawak berubat dengan Pak Doni. Dah lama-lama, Pak Doni ajak kawin dengan dia. Tak payah nak berulang lagi ke sini. Mak ngan Abah terpaksa setuju sebab tak ada pilihan lain. Kata diaorang..biar laki sendiri yang mengubat lagi senang..Tu lah ceritanya..” Jawab Kak Lin dengan nada berbisik jugak.

“Kak Lin sakit apa?”

“Kena Saka..”

“Sama la macam saya” Akui Izudin.

“Ye ke..Kamu boleh sembuh macammana?”

“Saka saya sempat insaf dan bertaubat. Saka Akak pulak macammana?”

“Ye ker. Akak punya dah kena bunuh dengan jembalang Pak Doni” Jelas Kak Lin. Matanya memandang ke arah pintu bilik yang suaminya masuk tadi. Takut kalau-kalau tiba-tiba suaminya keluar.

“Akak minta diri dulu la. Nak ke dapur sekejap. Sediakan air”

“Tak payah susah-susah Kak!” Tegur Badrul

“Ah! Air bujang jer” Jawab Kak Lin sambil menuju ke dapur. Dia berselisih dengan Pak Doni yang baru keluar dari bilik.







“Aku dah nampak budak yang ambil moto kamu. Dia pakai baju belang hitam merah dan seluar jeans. Dia masuk dalam pukul enam petang tadi” Kata Pak Doni sebaik duduk semula di sofa.

“Hebat Pak Doni. Sebab tu orang gelar bomoh terbilang” Puji Badrul.

“Terima kasih Pak. Tapi boleh Pak buat dia pulangkan balik moto saya?”

“Itu susah sikit, sebab Pak tak nampak muka dia dengan jelas. Jauh sikit.”

“Jauh macammana tu Pak?” Tanya Badrul.

Pak Doni mengeluarkan telefon bimbitnya dan diletakkan diatas meja. Izudin dan Badrul diminta duduk bersebelahan.

“Kamu tengok sendiri!” Satu rakaman CCTV menunujukkan seorang pemuda memasuki rumah mereka dan membawa keluar motosikal Izudin.

“Laa..ingatkan Pak Doni guna ilmu batin!”

“Kalau ada teknologi…guna buat apa sakitkan kepala” Balas Pak Doni serius.

“Boleh Pak Doni wasap kat saya. Saya nak ke balai kejap lagi”

“Hrmmm…”

“Berapa pengerasnya Pak Doni” Tanya Izudin lagi.

“Kamu bagi la..dalam seratus ka”

“Seratus!!” Izudin menelan air liur. Dia dan Badrul saling berpandangan.

“Maaf Pak Doni. Saya rasa mahal ni. Lagipun Pak Doni tengok CCTV jer”

Pak Doni hanya tersenyum dengan pandangan yang semakin tajam. Kedua-dua mereka tiba-tiba meremang bulu roma. Seakan ada sesuatu yang sedang menghampiri mereka.

“Aku tak minta banyak pun. Kalau nak dibanding dengan harga barang yang kamu hilang tu!” Seakan ada tangan ghaib yang menghampiri leher mereka secara perlahan. Semakin-lama, mereka dapat merasakan adanya jari-jemari yang mencengkam leher mereka. Kedua-duanya meronta sebaik ditolak hingga ke dinding.

Pak Doni dengan suara garaunya ketawa hingga menakutkan mereka berdua. Izudin mengangkat tangan meminta simpati.

“Itu baru sikit. Aku boleh bagi lebih lagi” Pak Doni bersuara angkuh. Kak Lin yang menatang dulang berisi minuman, melihat adegan itu dengan perasaan terkejut. Hampir sahaja tumpah air di dalam gelas minuman yang ditatangnya, namun sempat ditahan.

“Takkan sampai macam tu, Bang” Tegurnya.

“Aku juga anggap ini sebagai amaran. Jangan cuba-cuba nak main mata atau bersembang dengan bini aku…aku tahu apa yang kamu bualkan masa aku dalam bilik tadi”

“Coi!!! Kalaulah aku ada saka. Dah lama aku lawan” Izudin menderam di dalam hati. Tangannya menyeluk poket dan mengeluarkan dompet. Note seratus beralih tangan kepada Pak Doni.

“Aku tak main-main tau..Bila-bila masa sahaja aku boleh buat korang berdua merana” Pesan Pak Doni penuh ancaman.

“Kami balik dulu” Ucap Badrul acuh tak acuh. Mereka bersalaman dengan Pak Doni sebelum pulang.







“Huh!!” Getus Izudin tak puas hati.

“Boleh tahan jugak orang tua tu. Ugut orang pakai jembalang. Aku boleh rasa satu-satu kuku binatang tu. Seram ooo”

“Kau ada baca apa-apa tak?”

“Tak aaa..macam terlupa sekejap...Tapi kan..saat-saat genting macam tu pun, aku jugak sempat jeling Kak Lin tu atas bawah”

“Patut la Pak Doni tu marah sangat! …Aku pun buat benda yang sama”

Mereka sama-sama ketawa.

“Kalau macam ni la gayanya, bukan Pak Omar sahaja yang tak terima duit sewa..orang Astro, TNB, telekom, air..semua boleh kena ugut macam tu”

“Tak senanglah kalau hidup macam tu!!” Balas Badrul.”Bro..esok kita gi keje macam mana? Takkan first day aku dah kantoi kot”

“Nanti aku try tanya Pak Omar kalau-kalau dia boleh tolong”







Izudin dan Badrul berkelip-kelip tidak terkata memandang kearah objek yang dipinjamkan Pak Omar tadi. Sepatah perkataan pun tidak terucap.

“Aku rasa macam nak suruh Cik Ruby sebelah rumah ni datang cekik aku jer” Badrul bersuara setelah sekian lama. Namun dia dan Izudin tidak berani lagi menyentuh objek tadi.

“Kalau nak pakai ni kita kena gilir, Aku bawak dulu, sampai kat petrol pam Shell kat jalan depan tu. Kau pulak sambung.”

“Tak tergamak aku sebenarnya..Ish..rasa macam lelaki dua alam pun ada…ish” Gerutu Badrul “Kalau tak memikirkan kerja..sanggup aku jalan kaki”

“Syukur Bro, sekurang-kurangnya kita ada jugak kenderaan. Bawak masuk dalam rumah dulu. Kalau hilang nanti, lagi susah.”.

Kedua duanya meyorong masuk basikal perempuan dua tempat duduk yang berwarna merah jambu itu.

“Aku tak kira. Aku nak usahakan dapat moto. Satu hari aku stress kena sindir kat kawan-kawan pasal bonceng basikal tu dengan kau” Marah Izudin.

“Bukan kau sorang yang kena. Aku pun sama. Sampai bangla lembut kat kilang tu pun ajak aku join table diaorang masa makan tengahhari tadi….serammm”

“Sial la Pak Doni..ada jembalang pun tak boleh tolong cari moto!” Marah Izudin lagi. Terasa sangat dia bila kawan-kawan sekerja pakaikan dia gincu dan pengilat mata masa tetidur di meja tadi. Lepas tu masa nak balik baru dia perasan. Setengah hari dia bermuka jambu bergincu tanpa sedar.

“Tapi..kalau dia tolong, lepas tu mintak pengeras seribu ringgit..kau mampu”

“Memang melampau kalau caj harga macam tu..siap ugut lagi..Kita kena buat sesuatu kalau nak tinggal lama kat rumah tu…. Kalau tak, minggu depan je, kita pindah” Tegas Izudin.

“Apa yang kita boleh buat bro. Setakat baca Yassin jer..mungkin sekejap jer dia hilang ..lepas tu datang balik”

“Nak panggil perawat yang tolong aku tu pun..takkan nak pegi sana naik basikal ni!!”

“Kita kena buat sesuatu!”

“Kena buat!” sambung Badrul.







Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi. Izudin sengaja memasang penggera untuk berbunyi pada waktu tersebut. Dia bangun dengan menyarung baju melayu dan berseluar tracksuit hitam. Segera dia ke bilik air untuk berwuduk. Selesai berwuduk, dia menunaikan solat hajat, meminta supaya Yang Maha Kuasa mengembalikan semula motosikalnya.

Surah Yassin yang berada diatas meja diselit ke dalam poket. Dia meluru keluar ke pintu hadapan. Angin sejuk menyusup masuk dari rumah sebelah. Bunyi buaian berayun semakin kuat..

“Yassin dalam poket tu buat apa simpan..nak bagi aku baca..hik..hik..” Tegur suara perempuan dari sebelah rumah.

“Senang hari Cik Ruby malam ni” Jawab Izudin. Sengaja dia tidak mahu bertentang mata dengan makhluk di sebelah rumah tu.

“Dah kenal nama kita ni…Tapi tak kenalkan diri pun” Suara perempuan itu lunak sekali. Kalau manusia, sudah lama dia bertegur sapa.

“Nama kita Izudin..orang panggil Iz..”

“Hik..Hikk…” Tawa Cik Ruby kedengaran dengan haruman bunga tanjung yang semakin memekat.

“Cik Ruby ni apa ek..Langsuir ke..hantu Raya ke..Pontianak ker..”

“He..heeee…Cik Ruby..Cik Ruby la….” Balas makhluk itu.

“Cik Ruby kacau orang tak….”

“Tak..Cik Ruby suka main-main jer…”

“Cik Ruby boleh tolong kacau Pak Doni kat sebelah tak….?”

“EEEeeeeee Tak nak.. Jembalang dia jahat..Dulu..duluu…pernah cekik Cik Ruby..”

“Cik Ruby tak boleh lawan ke?”

“Cik Ruby tak sekuat tu..Orang perempuan la katakana…Benda tu jantan..”

Izudin terdiam seketika. Idea nakal tiba-tiba muncul di benaknya.

“Hah..! Dah kena la tu…” Jerit Izudin.

“Kena Apaaaaaaa….”

“Cik Ruby pergi goda la jembalang tu..boleh jadikan dia peneman Cik Ruby..”

“Eiii..ke situ pulak… Taknak la..”

“Berapa lama Cik Ruby kat sini..Kat rumah ni”

“Lamaaaaaa… Dulu Cik Ruby duduk atas pokok jer…orang dah buat rumah..Cik Ruby duduk la dalam rumah..” Jawab Makhluk itu. Izudin masih tidak memandang ke arah Cik Ruby yang bertenggek diatas besi buaian dengan rambut yang memanjang hingga ke tanah.

“Takkan sampai kiamat Cik Ruby nak tinggal sorang-sorang. Tak nak ke ada anak..ada keluarga..”

“Mmmmmm..Eeeemm..Nak jugak”

“Calon terdekat tu…yang paling dahsyat…Paling kuat….jembalang Pak Doni tu la..Try la Cik Ruby goda dia..dia pun solo rasanya..”

“Ermmm…EEEeeee…Cik Ruby nak cuba la…” Bergegar bunyi buaian besi itu saat Cik Ruby meluncur keatas atap. Hanya kain putih yang Izudin nampak terbang menutupi birai atap sebelum menghilang. Dia berbaring seketika..sebelum terlelap di atas bangku di hadapan rumah.




“Hik!!hik… Bangun Iz..Bangun..” suara Cik Ruby berbisik di telinga Izudin. Bau bunga tanjung pekat dan tusukan benda tajam di pipi membuat Izudin terjaga.

“Arghhhh……” Dia hampir kerasukan sebaik terlihat wajah Cik Ruby yang pucat dengan mata kemerahan.

“Baru nak takut!!” Perli Cik Ruby. Izudin beristigfar seketika sebelum bangun berdiri.

“Hah..Amacam Cik Ruby..Jembalang tu Ok tak..”

“Eeee..Jembalang tu ada nama..Panggil dia Jaafar..Ok sangat-sangat..sebab dia suka Ruby”

“Dah suka..Cik Ruby ajak la dia tinggal sekali..”

“Dia memang nak ikut Cik Ruby..tapi tak boleh..perjanjian dengan Pak Doni buat dia kena ikut segala suruhan orang tua tu.. Sampai Pak Doni mati tau..hik..hik..”

“Minta la dia bunuh Pak Doni…” Jerat Izudin.

“Hehee… Kalau boleh bunuh sesuka hati..Cik Ruby pun nak..tapi dulu dia dah janji nak bertuankan Pak Doni..Kalau dia bunuh Pak Doni, dia pun akan mati sama..Habislah harapan Cik Ruby nanti…”

“Perjanjian apa ni?”

“Perjanjian antara Aku dan Pak Doni..setia dan taat sampai bila-bila..termetri dengan darah dia dan semangat aku..” Suara garau dengan bau tengik yang menusuk hidung mengejutkan Izudin. Hampir-hampir dia melarikan diri kalau Cik Ruby tidak menghalang dia masuk ke rumah.

“Hik..hikkkk….Jaafar ada dengan kita sekarang!” Tegas Cik Ruby. Badan Izudin hampir bergetar ketakutan mendengar suara garau seakan suara Pak Doni tadi.

“Tolong bebaskan akuuuuu…” Suara garau Jaafar masih mengganggu Izudin. Surah yasin dipoketnya digenggam rapat.

“Macammana?” sempat dia bertanya.

“Minta Pak Doni lepaskan aku….”

“Takkan Pak Doni senang-senang nak lepaskan ibu duit dia….” Izudin kini terperangkap antara dua makhluk itu. Berpunca dari rancangan asal dia tadi.

“Bagi aku tidur dulu..malam esok aku janji akan jumpa korang berdua lagi”







Badrul menyerahkan paket panadol dan segelas air kepada Izudin. Izudin yang masih berselimut mengambil dua biji pil dan meneguk dengan air.

“Kau dah kenapa ?..tiba-tiba demam ni. Macam tersampuk hantu je?” tanya Badrul sebaik Izudin mengembalikan gelas yang kosong.

“Meeemang aku tersampuk hantu pun..” Izudin menjawab tergagap-gagap.

“Ye ker..Aku kena hari tu tak sampai demam-demam pun..kau ni lemah semangat la.”

“Kalau kau jumpa..Aku yakin kau boleh pitam..”

“Jumpa siapa ni?”

“Jumpa Cik Ruby dan Jaafar”

“Jaafar..siapa?”

“Jembalang Pak Doni!”

“Ada nama bangsat tu!” Badrul masih tidak melupakan saat-saat dicekik dua hari lepas.

“Kerja tak hari ni?”

“Dah macam ni..Aku MC la..kau?”

“Takkan aku nak naik basikal pink tu sorang-sorang. Nanti aku pikir la nak sakit apa bila kita sama-sama gi klinik nanti”

“aku nak mintak idea kau..macammana nak buat Pak Doni lepaskan si Jaafar tu”

“Maksud kau..Pak Doni buang jembalang dia tu…Ish takkan dia nak buang ibu duit dia tu..”

“Sebab tu la aku mintak idea kau..Kalau jembalang tu terlepas dari Pak Doni..gerenti dia tak boleh buat apa-apa kat kita dah..”

“Kita fitnah la si jembalang tu buat bukan-bukan kat bini dia..Tentu dia mengamuk..”

“Eh Bro…Takkan dia nak cemburukan jembalang yang dia guna nak pikat bini dia tu..Kalau jembalang tu nak kacau bini dia, dah lama dia buat”

“Abis tu..”

“Bagi kau tidur kejap..Kau pegi masak meggi sebab hari ni aku tak nak buat apa-apa kerja pun..Aku nak pikir hal jembalang tu jer..”

Izudin berbaring sambil meletakkan tangan di dahi. Ada misi khas untuk dia tengah malam nanti.

“Ikut suka kau la Bro..”







Pak Doni berdiri di tengah-tengah rumah. Isterinya tiba-tiba kerasukan sebaik tiba waktu magrib tadi. Dia terkumat-kamit membaca mentera sebelum menabur garam ke serata rumah.

“Kenapa kau tak boleh lawan benda tu?” Keras suara Pak Doni memarahi peliharaannya.

“Dia kuat pak..Puteri langsuir..Bukan lawan aku..Besar sekali”

“Heiii…ihek..hek……” Hilaian yang datang dari Kak Lin yang bertenggek diatas almari sambil memandang tajam kearah suaminya. Setiap pergerakan Pak Doni diikuti dengan renungan anak matanya.

“Kau kejamm..” Bentak Kak Lin.

“Siapa yang hantar kau?” Jerkah Pak Doni sambil menabur garam. Dia perlu berhati-hati supaya tindakan yang dibuat tidak mencederakan isterinya.

“Aku sendiri yang mahu berhitung dengan kau…”

“Belum ada orang yang mampu melawan aku…” Pak Doni masih angkuh.

“Apa yang perlu aku buat” Tanya Pak Doni yang kaget dengan situasi yang berlaku. Belaannya tidak pernah kalah sebelum ini.

“Lepaskan aku sepenuhnya..baru aku boleh berlawan dengan sepenuh tenaga..Kalau Pak mahukan isteri Pak selamat!” Belaanya itu memberikan cadangan.

“Kenapa sebelum ini kau mampu lawan walau aku tak bebaskan kau..”

“Separuh tenaga Aku masih pada bapak..sebab itu bapak pun kuat dan tangkas..Aku perlu semua tenaga untuk berlawan dengan langsuir ni...”Makhluk itu memberi alasan.

Pak Doni tidak mampu berfikir panjang. Keadaan isterinya yang bagaikan telur di hujung tanduk itu membuatkan dia begitu terdesak. Apa sahaja tindakan yang boleh dibuat, dia akan menurut.

“Baiklah..Khadam Uzul munzil..yang aku ambil dari rimba raya..yang aku berikan darah dan tubuh sebagai cagaran..berkat amanat guru dan ayahku..Aku lepaskan kamu dari diriku dan seluru keturunanku..” Kata-kata Pak Doni yang bersambut dengan dentuman guruh dan hujan renyai-renyai di luar rumah.




Keadaan sunyi seketika. Kak Lin tiba-tiba melompat dari atas almari dan turun ke lantai. Perlahan-lahan dia menjadi lemah dan terbaring menghadap Pak Doni. Pak Doni terpaku lama di lantai dalam keadaan bersila. Dia mulai merasa lemah dan letih. Perasaan yang tidak pernah ada sebelum ini.

“Abang..apa dah jadi ni?” suara dari isterinya itu sedikit sebanyak menghilangkan gundah dihatinya.







Izudin dan Badrul duduk menghadap televisyen. Masing-masing sedang menghabiskan mee segera yang baru dimasak tadi sambil menonton televisyen.

“Dah hujan rupanya?” ujar Badrul, sebaik mendengarkan bunyi air hujan menuruni atap.

“Esok macammana Bro, kita gi kerja tak?”

“Pergi..Naik van kilang jer. Aku dah kawtim dengan budak yang bawak van tu. Kita naik sampai aku dapat motor lain”

“Kesian kat kau bro. Banyak kenangan dengan motor tu?”

“Alah..dah bukan rezeki aku”




Mereka berdua dapat merasakan adanya gegaran kecil sebelum televisyen tiba-tiba sahaja padam. Badrul terdiam seketika dengan mee segera yang masih berjuraian di bibir.

“Apa pulak ni?”

“Ingat kami tak ?” suara yang sangat dikenali mereka berdua datang dari arah belakang. Serentak dengan bau bunga tanjung.

“Cik Ruby!!” Jerit mereka hampir serentak. Ada bau lain yang agak tengik bercampur dengan bauan bunga tanjung.

“Jaafar” Izudin pula bersuara.

“Kami dan buat apa yang kamu minta.macam yang kita bincang malam tadi...Jaafar sudah bebas sekarang..Kami berdua berterima kasih..”

Izudin dan Badrul mengurut dada. Masing-masing mahu berpaling untuk melihat.

“Jangan tengok kami..rupa kami boleh buat kamu berdua demam lagi..dengar sahaja”

Mereka berdua terpaksa bersetuju. Kalau demam, terpaksa pula mengambil MC lagi.

“Jaafar dah setuju untuk menemani aku seumur hidup..kami akan berkeluarga bersama.sebab tu Cik Ruby berterima kasih sangat..Sebelum kami berdua beredar ke tempat baru kami..ada apa-apa yang kami boleh tolong..”

Izudin dan Badrul saling berpandangan sebelum bersuara serentak.

“Tolong cari moto kami!!!”


Senarai Bab :
1 : Nak Tak? | 2 : Mak, Aku Ada Saka! | 3 : Bro, Jiran kita Bela Jembalang! |
Kami, (Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan