Utama Pilihan
Pembaca
Terbaharu Wildcard Pilihan
Editor
   
GODAAN
GODAAN
mfauzi6079@gmail.com
375
Bacaan





Genre: Islamik
Kategori: Puisi
Paparan sejak 14 Julai 2017

Ada sesuatu yang melintas di fikiran

Lalu ia berkata :

“Amal kebaikanku telah kuhimpun. Bekalan untukku ke Syurga.”

Perasaan riak mula mencuit pintu hati.

Hati hanya mengiyakan. “Ya, aku tahu. Kamu yang sering memimpin aku.

Hai akal!, kamulah yang sering mendahului keinginanku.”

Keinginan hati mula menguak jendela nafsu.

 

Nafsu mula terjaga :

“Wahai akal! tidakkah kau mahu merasai sedikit  sisi sebenar hidup ini?

Apakah salah merasai sedikit nikmat duniawi yang sangat indah?

Kita mesti menerokai segalanya.”

 

Tapi akal berkata penuh kewarasan :

“Menuruti katamu wahai nafsu, binasalah aku, hancurlah kita.

Perlukah aku mengikut katamu?

Menguji dan menggadai keimananku?”


Namun nafsu semakin kuat memberontak 

Membuatkan hati mula terbahagi dua

Mengiyakan pula kepada nafsu yang semakin bergejolak


"Sungguh!, benar", kata si hati yang telah lama memendam rasa.

"Bukan kau tidak pernah melakukan kekhilafan

Sudah lama kita tidak melakukannya. Aku jua rindu pada keseronokan."

 

Nafsu bangkit semakin berani, mahu mencabar kekuatan akal

“Wahai akal, aku sering menuruti kehendakmu.  Hati juga sama seperti aku.

Tidak terkurang amalmu dengan kehendakku yang bergelora.

Bila? Bila lagi mahu kau turuti keinginanku?” keras nafsu mengasak.

 

Dari perbalahan yang menimbulkan was-was

Dan dari sum-sum sulbi, pantas Iblis mendekati  

Berseru si Iblis dengan lunak suara :

“Wahai nafsu, apa lagi ditunggu?, pimpin baik-baik keinginanmu,

Ku tahu hati yang berbolak-balik itu akan menurutimu. Tewaskanlah akalmu.”

 

“Lakukan! lakukanlah semahunya sekehendak hati. Aku sentiasa melorongkan jalan.

Silakan! nikmatilah lazatnya dunia yang belum pernah kau rasa.

Rasai dahulu syurga dunia.  Tidak lengkap hidup ini tanpa maksiat. 

Ku tahu semua orang melakukannya.  Kau dan aku bukan makhluk  sempurna. 

Bukankah Tuhan Maha mengetahui?  Baik dan buruk, segalanya Dia yang menciptakan?.

Minta ampun saja padaNya nanti.  Bukankah Allah itu Maha pengampun?”

 

Menderu suara halus  mengguggah :  Di sisi kanan dan kiri

“Bangun! bangkitlah wahai hati!

Jangan mengukur baik dan buruk

walau sebesar zarah akan dihitung.  Sebaliknya tambahkanlah Iman, Amal dan Taqwa.

Tunggulah pembalasanmu di sana!”

 

Hati mula tersedar.  Insaf Beristighfar, mohon keampunan.

Nafsu itu roh yang licik, bukanlah menjadi ikutan. 

Akal yang ditunjangi iman itulah yang layak memimpin.     

Akal dan hati kembali bersatu, menghunjam godaan hawa nafsu ke lubuk asalnya.

 

Di satu sudut gelap

Sayup kedengaran bisikan Iblis  :

“Janganlah berputus asa wahai anak cucu adam. Dunia itu adalah syurga.

Aku adalah sahabatmu. Akukan sentiasa berada disampingmu setiap waktu.

Percayalah, aku dan bala tenteraku juga tidak pernah berputus asa

sehingga hari kebangkitan nanti.”



Kami, (Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan